LANGGAN

Shadow Combat League Malaysia: Apabila Manusia Bertarung Melalui Mesin

Robot vs. robot, dikawal sepenuhnya oleh manusia!
Published: October 10, 2026
shadow combat league malaysia

Shadow Combat League Malaysia mencipta sejarah! Memperkenalkan pertarungan luar biasa.

Bagaimana agaknya jika tubuh manusia tidak lagi menjadi tubuh yang bertarung secara fizikal? Jika segala gerak-geri, naluri, strategi dan tindak balas itu dipindahkan kepada sebuah mesin? Barangkali kedengaran seperti satu gambaran masa hadapan yang terasa seperti jauh untuk dicapai. Namun, di Kuala Lumpur, masa hadapan itu sudah mula membuka gelanggangnya!

Pada 3 Oktober lalu, Pavilion Arena di Pavilion Damansara Heights menjadi saksi kepada satu bentuk pertarungan yang asing namun mengujakan. Shadow Combat League (SCL), sebuah platform sukan dan hiburan dari Malaysia, memperkenalkan New Dawn Malaysia – sebuah pertandingan yang mempertemukan manusia dan teknologi, melalui tujuh perlawanan humanoid robot secara langsung.

shadow combat league malaysia

Yang menjadi keunikan adalah robot-robot ini tidak bertarung sendiri. Sebaliknya, di belakang setiap pergerakan, ada manusia yang mengawalnya. Setiap hayunan, tindak balas, strategi dan keputusan dikendalikan oleh Combat Pilots  menerusi teknologi motion-capture teleoperation. Manusia masih menjadi ‘dalang’ utama, sementara robot menjadi tubuh baharu untuk naluri pertarungan mereka.

Mungkin di sinilah letaknya daya tarikan Shadow Combat League. Ia bukan sekadarkan robot melawan robot. Ia sebenarnya adalah manusia melawan manusia, cuma tubuh mereka telah dipindahkan ke dalam bentuk yang lebih futuristik.

Apa yang mencuri perhatian adalah gelanggang utama Pavilion Arena mempertemukan dua nama yang cukup dekat dengan sejarah sukan Malaysia. Safee Sali, merupakan ikon bola sepak negara, mendepani Koo Kien Keat, yakni bekas pemain badminton kebangsaan. Dua dunia sukan yang berbeza. Dua jenis pergerakan. Dan dua pengalaman bertanding di bawah tekanan. Kali ini, segala pengalaman tersebut diterjemahkan melalui humanoid robot.

Tiga kategori pertandingan dibahagikan oleh Shadow Combat League

Shadow Combat League turut membahagikan pertandingannya kepada tiga kategori - ICON, GLADIATOR dan NETRUNNER.

shadow combat league malaysia

ICON menghimpunkan personaliti hiburan dan budaya popular, GLADIATOR pula memberi ruang kepada atlet serta pengamal seni mempertahankan diri, manakala NETRUNNER membuka gelanggang kepada ahli teknologi, pemain permainan video, pencipta kandungan dan penggiat teknologi.

Tiga juara dinobatkan daripada ketiga-tiga kategori utama tersebut. Koo Kien Keat menjuarai NETRUNNER selepas mendepani Safee Sali. Manakala dalam kategori GLADIOATOR, atlet tinju Aiman Abu Bakar menumpaskan Adli Goldenboy dan Theeban pula menjadi johan dalam kategori ICON setelah melawan Daniella Sya. 

Perlawanan dilanjutkan dan menyaksikan pertembungan Alip Blastoff dengan atlet Muay Thai professional, Isaac Quinn Lee. Dan Isaac memenangi pusingan tersebut. Dalam pertarungan lain, Alexis Grace muncul sebagai juara selepas mendepani Daniel Fong dan pasangan kembar Michelle Teo Jia Yin dan Mabelle berlawan sesama sendiri, sehingga Michelle mengalahkan Mabelle. Yuan Teng turut menjuarai perlawanannya dengan Eugene Chung. 

Namun, di sebalik sorakan dan pertembungan di dalam gelanggang, ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku. Setiap perlawanan menjadi ruang untuk menguji humanoid robot dalam keadaan sebenar. Ia bergerak, hilang imbangan, menerima impak, bangkit semula dan bertindak pantas, memimik pergerakan manusia. Sesuatu yang sukar disempurnakan hanya di dalam makmal.

Visi Shadow Combat League tidak hanya terletak pada hiburan. Pengasasnya, Dr Ian Tan Wei Lun, melihat teknologi ini sebagai satu cara untuk membuka ruang penyertaan kepada lebih ramai manusia, termasuk individu yang mempunyai kekurangan fizikal dan mungkin tidak berpeluang menyertai sukan pertarungan secara konvensional.

Malah, New Dawn Malaysia hanyalah permulaan. Selepas tiga juara pertama dinobatkan, Shadow Combat League kini melihat kepada penganjuran acara seterusnya yang dirancang untuk berlangsung pada suku pertama 2027, selain usaha membawa liga ini ke pasaran antarabangsa.

Dari Malaysia, Shadow Combat League kini mengintai pentas yang lebih luas, dengan cita-cita untuk mengembangkan liga humanoid robot ini ke rantau Asia Pasifik dan pasaran antarabangsa. Mungkin inin dikira sebagai permulaan sebuah genre sukan yang baharu. Mungkin juga, ini hanyalah langkah pertama.

Yang pasti, manusia masih di tengah-tengah gelanggang. Cuma kali ini, tubuh yang bertarung bukan lagi miliknya!

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down