LANGGAN

Sisi Seni Berbeza BamBam

Rancak menyerlahkan lagi identiti Thailand melalui muzik, fesyen dan personaliti yang tetap mengilustrasi aliran trend semasa.
Published: February 11, 2026
TEMU BUAL ASAL SANTICHAI APORNSRI PENATAAN GAYA DOOOHO, KIM YEZI DIBANTU OLEH DULYADEJ SANGFUENG, PHORAPHAT RATTANAKHAM PENGARANG FESYEN RATCHAKRIT CHALERMSAN FOTOGRAFI WAROON KIEATTISIN

Mungkin ramai lagi yang belum mengenali sosok pemuda berbakat ini tetapi tahu lagu-lagu kumpulannya yang pernah hit seperti yang berjudul ‘PYTHON’ dan ‘You Calling My Name’. BamBam atau nama penuhnya Kunpimook Bhuwakul merupakan seorang selebriti yang berasal dari negara Thailand.

Walaupun ada segelintir peminat yang sudah cukup lama mengetahui dirinya sebagai salah seorang ahli kumpulan K-Pop, GOT7, baru-baru ini BamBam muncul pula untuk lebih dikenali sebagai penyanyi genre T-Pop (Pop Thailand) dengan album berbahasa Thai pertamanya ‘HOMETOWN’. Album ini jelas mencerminkan representasi identiti bahasa ibundanya dan ‘Thai-style’ dalam dirinya. Lebih ketara berbunyi lokal dan mengangkat visual latar belakang dirinya. 

Temu bual ini merupakan satu lagi sisi yang berjaya dicungkil ELLE Men dalam mengenal lebih dekat lagi karakter BamBam sebagai seorang penghibur dan selebriti.

ELLE Men: Dalam album terbaru ‘HOMETOWN’, BamBam telah banyak mempromosi negara Thailand daripada pelbagai sudut pandang. Boleh ceritakan sedikit tentang idea mempromosi identiti negara asal BamBam yang dimasukkan ke dalam album ini dan mengapa?

BamBam: Idea untuk mempromosi dan memasukkan elemen tentang negara Thailand adalah tentang ‘Thai-style’ yang bukan diolah dalam bentuk yang biasa dilihat oleh pelancong asing dalam kebanyakan iklan dan berita. 

Jika sesiapa yang pernah menonton video muzik saya, anda akan kelihatan dan terbiasa dengan babak ‘Thai-style’ dengan cara saya yang sering berkaitan dengan kehidupan seharian sejak kecil. Sama ada gerai di tepi jalan, stesen kereta api atau kawasan perumahan lama. 

Kesemuanya adalah tempat atau kisah tentang Thailand yang benar-benar ada dan dapat dikaitkan dengan diri saya. Saya suka memasukkan elemen-elemen tersebut tanpa perlu ditambah dengan elemen tradisional Thailand lain atau elemen yang kita biasa tunjukkan kepada orang luar sebagai promosi pelancongan. Masyarakat Thailand sendiri akan tahu apabila melihatnya bahawa inilah realiti negara Thailand sebenar. Semua tempat yang ditunjukkan merupakan tempat yang berada dalam ingatan saya.

Jaket bomber dan seluar, kesemuanya daripada Loius Vuitton.

EM: Bagaimana pula penerimaan peminat? Adakah album ‘HOMETOWN’ ini membuatkan mereka dapat melihat sisi lain BamBam?

BB: Terdapat banyak perkara yang membuatkan saya rasa sangat bangga dengan album ini. Pertama sekali, penerimaan daripada mereka yang bukan di kalangan peminat saya sendiri. Ramai orang yang bukan pengikut K-Pop saya atau peminat setia mula membuka hati terhadap karya yang saya hasilkan. Kebanyakan mereka dilihat sudah mula menyukai dan menghargai ‘Thai-style’ dalam gaya muzik T-Pop saya. Perubahan membawa bahasa Thailand ke peringkat antarabangsa membuatkan saya rasa sangat dihargai dan ingin bekerja lebih keras lagi.

Satu lagi perkara yang saya tersentuh merupakan kata-kata "BamBam adalah kebanggaan negara." Saya sendiri agak ragu-ragu semasa mendengarnya tetapi ia adalah satu penghormatan yang besar. Selain itu, terdapat juga mereka di luar sana yang menyatakan tentang cara persembahan saya di atas pentas yang semakin baik. 

Akhir sekali, saya yakin melalui album dengan penggunaan bahasa Thai ini saya dapat keluar daripada zon selesa saya sendiri, mencuba perkara baru dan mencuba genre muzik yang berbeza daripada sebelum ini.

EM: Sebagai duta atau House Ambassador jenama Louis Vuitton, bagaimana peranan ini mempengaruhi cara kerja atau stail gaya peribadi BamBam?

BB: Sejak kebelakangan ini, saya banyak mencontohi gaya yang diperagakan oleh Pharrell Williams. Dia berpakaian dengan cara yang sangat ringkas tetapi nampak sangat kemas seperti memasukkan kemeja ke dalam seluar dengan teliti. Nampak sangat cool dan saya mendapat banyak inspirasi daripadanya. 

Sebenarnya, saya sangat suka memakai seluar kaki lebar dan apabila Louis Vuitton mula menghasilkan lebih banyak seluar dengan gaya itu, ia sangat sesuai dengan cita rasa saya. Selain itu, visi muzik Pharrell sendiri sebagai Pengarah Kreatif di Louis Vuitton juga memberikan inspirasi kepada saya. Malah, dalam persembahan konsert saya, terdapat lagu-lagu yang dipengaruhi oleh muzik Louis Vuitton yang mempunyai unsur koir dan vokal harmoni. Pada saya, kami (BamBam dan Pharrell) seolah-olah menggunakan 'bahasa' budaya yang sama untuk berkomunikasi.

Baju panas, kemeja dan sniker, kesemuanya daripada Louis Vuitton.
Sut, kemeja, tali leher, kasut dan kaca mata hitam kesemuanya daripada Louis Vuitton.

EM: Untuk sesi penggambaran hari ini, gaya manakah yang paling BamBam suka dan pada peluang acara apakah stail itu akan digayakan semula?

BB: Saya sangat suka gaya yang ringkas tetapi mempunyai perincian yang menarik seperti padanan jaket dengan seluar pendek sahaja. Ia nampak sangat mudah digayakan. Jika saya mahu menukarnya menjadi gaya yang lebih formal pula saya hanya perlu menukar seluar pendek tersebut kepada seluar panjang. Kesemua gaya tersebut sesuai untuk semua acara dan persembahan serta selesa bila-bila masa.

EM: Sebagai seorang selebriti dengan identiti dan gaya yang tersendiri, bagaimana pengaruh fesyen memainkan peranan dalam membina karakter dan penceritaan lagu untuk album baru ini?

BB: Apabila bercakap tentang lagu dalam bahasa Thailand dan jenama Louis Vuitton, kedua-duanya menyeronokkan. Ini kerana padanan kedua-duanya termasuk pakaian dan imej visualnya adalah tepat seakan mentakrif 'BamBam dalam kehidupan seharian' yang digabungkan dengan cita rasa muzik tersendiri. 

Dengan mengenakan pakaian Louis Vuitton, saya tidak terasa terlalu berlebihan kerana saya dapat menjadi diri BamBam yang sebenar. Serba ringkas yang tahu datang dari mana tempat asalnya, Thailand. Fesyen secara umumnya sangat membantu diri saya memahami mesej muzik yang ingin disampaikan sejak saya mula menyanyi lagi.

Blazer, kemeja, seluar dan sniker, kesemuanya daripada Louis Vuitton.

EM: Kembali ke tanah air untuk album bahasa Thai ini, adakah BamBam menemui sesuatu yang baru tentang diri sendiri atau tempat asal sendiri?

BB: Ia membuatkan saya lebih sedar bahawa kesederhanaan itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Dahulu, saya mungkin berfikir bahawa saya perlu sentiasa nampak menonjol atau berpakaian yang menarik perhatian ramai sahaja. Tetapi sekarang, saya rasa lebih yakin menjadi diri sendiri yang sentiasa ringkas. Saya suka melihat diri saya yang tidak perlu 'berlakon'. Ia membuatkan saya rasa lebih dekat dengan peminat dan tanah air saya sendiri, Thailand.

Sut, kemeja dan tali leher kesemuanya daripada Louis Vuitton.
Baju, kemeja, seluar dan kasut kesemuanya daripada Louis Vuitton.

EM: Sepanjang perjalanan dalam industri muzik dan fesyen, apakah cabaran yang membuatkan BamBam yakin berkembang sebagai seorang idola muzik?

BB: Muzik dan fesyen kedua-duanya adalah kerja kreatif. Saya rasa saya tidak menghadapi banyak cabaran baharu pada tahun 2025. Cabaran yang sebenar mungkin adalah percubaan menyanyi dan mencipta lagu dalam bahasa Thai. Namun, semasa menulisnya, saya tidak hanya memikirkan tentang negara Thailand, saya percaya muzik tidak mempunyai bahasa atau terikat pada mana-mana negara, ia boleh didengari oleh semua orang. Bagi saya, ia bukanlah satu cabaran, tetapi lebih kepada menjadi diri sendiri. Saya melihat diri saya dengan lebih jelas sekarang. Imej saya semakin nyata. Saya rasa tahun ini adalah tahun di mana segalanya menjadi lebih jelas berbanding tahun sebelum ini. 

PEMBANTU FOTOGRAFI PROMPONG DECHPOL, RATCHAPOOM YAEMNET, NATTAPON SANGSAWANG

SOLEKAN LEE EUNJU, BAEK EUNJIN UNTUK TEAMBYBLOOM

DANDANAN YOOJAE DI MIZANGWON OLEH TAEHYUN

PAKAIAN LOUIS VUITTON

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down