LANGGAN

Transisi Seni Hael Husaini

ELLE Men mempersembahkan Hael Husaini sebagai wajah muka hadapan edisi debut.
Published: August 4, 2025
Gambar: Weeyang Arahan Seni: Mahirah Nadzlim Penataan Gaya: Ardi Idewani bersama Athirah Zahra dibantu Nuha Adam Video: Dennis Kho Pengarah video: Sri Azni di bantu Nurhani Natasha Grooming: Khir Khalid Dandanan: CKay Liow

Apa yang dijalani hari ini adalah hasil daripada kerja keras yang dipasak tidak datang dengan sekejap waktu. Awal membidik dalam kesamaran, hari ini Hael Husaini bertumbuh sebagai figura Pop yang segarnya malar lebih sedasawarsa. Hafizan Mohd menelusuri kisahnya. 

Saya mula menulis cover story ini dengan memasangkan melodi ‘Haram’ yang saya letakkan sebagai lagu terbaik yang pernah dia rakamkan. Dan ketika penggambaran muka depan ini berjalan sambil dia disolek Khir Khalid saya kongsikan hal ini dengannya. Hael menyambut “Sebenarnya masa lagu tu diedarkan, saya tak rasa orang ready dengan sound macam tu.” Saya mengiyakan sebelum menyahut “Tapi saya rasa itu sound Pop yang pasaran muzik kita perlukan masa itu.”  Buktinya, ‘Haram’ memiliki momen tersendiri buat Hael dan memberi kejutan manis ketika diangkat sebagai Juara di acara Anugerah Juara Lagu ke-33. 

Bersama ‘Haram’ juga Hael meneruskan kelangsungan karier yang cukup panjang ke hari ini. Barisan hits the new evergreen seperti ‘Jampi’ ,‘Hajat’, ‘Diam’ sehingga ‘Kelentang-Kelentong’ yang kini sudah bergerak sebagai national anthem sambutan kemerdekaan - menjadikan Hael is the real deal. Ideanya mengalir laju bagai tiada apa lagi yang mampu menghadanginya untuk terus bergerak dalam radar kreatif.

Tapi apa yang pasti di setiap kejayaan itu tidak akan pernah sunyi dengan kepayahan. Hael melalui satu transisi besar dalam hidupnya sebagai pemuzik. Fasa pembuktian dilaluinya sekuat semangat yang ada. Saat ada yang memandang rendah, mentertawakan atau tidak mempedulikan usahanya, dia betah pada situasi yang mendesak. Pertemuan dengan Ezra Kong satu titik penentu ke mana arah yang harus ditujui “Jampi asalnya saya hasilkan untuk penyanyi lain tetapi ditolak.”

Namun ‘Jampi’ sebenar mengena pada Hael Husaini. Ia titik mulanya, dia tahu jika dia berhenti dan menoleh ke belakang peluang ini tidak akan datang kembali. ELLE Men melewati kisah susah senang Hael Husaini dalam meneruskan asa dan daya yang ada atas landasan minat serta bakat yang dikurniakan buatnya.

Baju panas, seluar dan kasut daripada Hermès

ELLE Men: ‘Antonim’ beredar tahun lalu dan menjadi satu lagi milestone untuk karier Hael. Apa signifikannya perkataan ‘Antonim’ itu untuk Hael sendiri?

Hael Husaini: Saya selalu mahu lakukan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang yang saya pernah lakukan. Keluar daripada zon selesa dan ia ditafsirkan dalam setiap lagu yang ada di EP tersebut. Jadi pabila fans dengar mereka dapat sesuatu yang berbeza daripada apa yang saya pernah hasilkan sebelum ini. 

EM: ‘Antonim Pt.2’ menjadi rencana seterusnya, apa yang peminat boleh expect kali ini?

HH: Sesuatu yang lebih berbeza pastinya. This is a full album dan akan diedarkan selepas konsert saya nanti. Dua single sudah diedarkan iaitu ‘Alangkah’ (OST Thariq Ridzuwan: His Treasure) dan satu lagi berjudul ‘Peluk’. Perancangannya sebelum album penuh diedarkan akan ada satu lagi lagu yang akan saya perdengarkan untuk peminat.

EM: Bercakap tentang konsert, finally konsert sulung ‘Hael Husaini & Repertoire bakal berlangsung bulan ini. Apa yang membuat Hael excited tentang konsert ini?

HH: Saya percaya semua penyanyi akan excited kalau diberi peluang untuk membuat konsert. Ia macam satu penghargaan dan selepas lebih sepuluh tahun saya bergelar Hael Husaini baru saya berpeluang mengadakan sebuah konsert. Apa yang sangat menarik tentang konsert ini seperti semua maklum akan ada ramai penyanyi undangan yang saya sudah bekerjasama sebelum ini seperti Dayang Nurfaizah, Nabila Razali, Nadeera dan Wany Hasrita. Akan ada sesuatu yang sangat menarik sudah dirancang dan saya tak sabar untuk persembahkan pada semua fans yang akan datang nanti.

EM: Untuk mencapai apa yang Hael sudah ada hari ini saya kira ia satu perjalanan panjang. Dalam transisi yang bermacam-macam cabarannya ini Hael pernah kecewa atau give up?

HH: Of course. Kecewa ada, burn out ada dan give up pun ada. Tapi saya rasa itu hal yang menariknya dalam proses matang yang saya lalui. Semua rasa itulah yang membuatkan saya mahu teruskan dan ke depan. Kalau tak ada rasa-rasa tu semua dan selesa sahaja dengan apa yang saya ada, i’m not going to be who I am now

Sebelum ‘Jampi’ tu memang saya dah give up kalau diikutkan dan saya jumpa Ezra Kong. Saya beritahu dia maybe it’s not my luck to be a successful singer so I decided untuk buat lagu sahaja. Daripada situ saya mula belajar buat lagu dengan Ezra dan antara lagu yang awal saya buat untuk Amira Othman (Hati-Hati) juga Nabila Razali bagi lagu ‘Cemburu’.

Masa yang sama juga ‘Jampi’ ditolak penyanyi lain. Jadi masa tu saya fikir, okey tak apa untuk survive kita kena teruskan kehidupan dan buat apa yang kita patut buat patut masa tersebut. Masa ‘Jampi’ diedarkan, saya ingat lagi orang ketawakan saya, kenapa ada gelak-gelak dalam lagu ni. It went viral sebab orang make fun of the song tapi selepas lagu itu menjadi OST drama dah ada orang yang mula appreciate dan bagi perhatian.

Jaket dan seluar daripada Emporio Armani

EM: People make fun of ‘Jampi’ but it managed to be juara.

HH: Itulah yang buat saya rasa, like finally. I consider myself as a late bloomer tapi sampai nak jadi juara AJL tu memang impian cuma tak sangka sebab bermula dengan rejection, ditolak penyanyi lain lepas tu bila dah release lagu jadi bahan ketawa orang. Lepas tu, ‘Jampi’ jadi juara. Journey yang sangat full of surprises.

EM: Selepas itu saya rasa Hael tidak membuang banyak masa. Satu per satu lagu dikeluarkan dan diterima terbuka oleh pendengar. No turning back?

HH: Betul. Sebab saya rasa saya dah tunggu terlalu lama untuk dapat momen itu. Jadi saya tak boleh nak sia-siakan peluang yang ada. Banyak lagu-lagu yang saya edarkan masa tu most of it lagu-lagu yang dah saya ciptakan masa saya awal melibatkan diri dalam  bidang muzik. Contohnya macam lagu ‘Hari Ini’ dan ‘Bintang’ kedua-duanya lagu yang saya cipta masa saya muda.

EM: ‘Haram’ sudah dirakam solo sebelum diputuskan untuk diedarkan duet bersama Dayang Nurfaizah.

HH: Betul. I remember masa tu management dah ready nak release lagu tersebut cuma saya ada instinct yang something is missing with that song. Sampailah saya teringat, satu gurauan bersama Dayang dan pihak pengurusannya, dia kata kalau nak duet dengan Dayang kena menang AJL dulu. Dan selepas saya menang tu, saya redeem. Tak ambil masa yang lama sebenarnya untuk Dayang rakamkan bahagiannya. 

Masa satu sesi dengar bersama pihak pengurusan, saya pasangkan versi solo terlebih dahulu dan kemudian versi duet. Which is semua terkejut sebab saya memang tak inform sesiapa yang saya sudah rakam vokal Dayang untuk lagu tersebut. Alhamdulillah ‘Haram’ menjadi seperti apa yang saya harapkan.

EM: Tapi personally Hael tak rasa ke kalau ia diedarkan secara solo single, impaknya masih sama?

HH: Tak, sebab macam saya kata tadi versi solo tu ada something yang tak lengkap. Masa siap versi duet tu, baru saya rasa lagu itu betul-betul ready untuk diedarkan. ‘Haram’ satu proses yang akan saya ingat. Lagu itu pertama kali diperdengarkan pada umum ketika Anugerah Meletop ERA dan dinyanyikan secara langsung bersama Dayang ketika itu. Antara Impian dalam checklist yang dah jadi kenyataan.

EM: Kita bercakap tentang penciptaan lagu. Pertemuan dengan Ezra Kong itu saya kira magical moment untuk Hael.

HH: Ezra pun ada beritahu saya sebelum kami bekerjasama, dia kerja dengan banyak orang berbeza tapi bezanya bekerja dengan saya adalah chemistry yang ada antara kami. Saya rasa buat lagu dengan Ezra ada keserasian dan dia faham visi yang saya ada. Pabila difikirkan balik bagi saya inilah yang orang katakana sebagai rahsia tuhan kan. 

EM: Setelah pertemuan itu Hael dan Ezra saya boleh katakan on demand. Untuk mengekalkan relevansi saya pasti bukan lagi sesuatu yang sukar kan? 

HH: Oh, itu apa yang orang nampak tapi sebenarnya pilihan yang saya ada ketika itu untuk teruskan dan move forward sahaja. Peluang yang ada ini saya tahu bukan datang selalu jadi kena kerja keras. Bukan senang nak convince penyanyi hebat macam Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan lain-lain untuk menyanyikan lagu ciptaan saya. 

EM: Susah buat lagu untuk penyanyi lain?

HH: Kalau saya perlu buat lagu untuk penyanyi lain, saya kena faham betul-betul penyanyi itu. Kalau perlu buat lagu untuk Datuk Siti, saya akan study dan bayangkan sepenuhnya cara dia menyanyi. That’s how I connect the dots. Setiap penyanyi ada karakter berbeza that’s why setiap kali kena buat lagu untuk penyanyi lain ia akan memakan masa. Lagu saya ciptakan tak banyak tapi Alhamdulillah hasilnya diterima oleh penyanyi tersebut dan juga pendengar.

EM: Selepas Ezra, Hael bertemu magis lain bersama Iqie Hugh dan MFMF. antaranya. Apa yang membezakan proses itu?

HH: Setiap produser muzik yang saya bekerjasama ada kelebihan masing-masing dan itu satu hal yang sangat menarik pabila kita buat muzik. Akan sentiasa ada input berbeza dan sound baru yang saya dapat. Saya labelkan kami sebagai grup terasakiti - in a way kita start daripada bawah, build strong structure together and get the right recipe untuk produce lagu yang bagus. 

Masa saya jumpa Iqie pun dia sebenarnya masih baru dan masih mencari direction tapi saya tahu dia talented. Jadi dengan pengalaman yang ada saya bagi sikit tunjuk ajar tentang Pop music and how to make music that sells. Apa yang saya dapat daripada kesemua mereka adalah kesefahaman untuk produce music yang saya mahukan. 

Baju panas dan seluar daripada Hermès

EM: Rujukan muzik Hael itu sebenarnya daripada mana?

HH: If you want me to be honest, I don't have any reference. Rujukan saya adalah apa yang saya rasa (tertawa). Saya rasa lebih genuine untuk saya berkarya dengan menjadi diri sendiri tanpa terikat apa yang patut menjadi rujukan. I just enjoy making music dan saya rasa itu saja yang menjadikan seseorang pemuzik itu lain antara satu sama lain. Sebagai contoh tahun ini, saya ada hasilkan lagu raya bersama Nadeera, ‘Meriah Lain Macam’ ia terhasil dalam masa lima belas minit. Just be silly with the melody and magic happens. 

EM: Proses kreatif Hael bekerja itu bagaimana sebenarnya?

HH: Dalam membuat muzik saya kena bermula kosong. Dalam otak saya tak boleh ada macam-macam. Sebab itu pabila awak tanya tentang rujukan tadi saya tak boleh nak jawab. Setiap kali orang bagi reference saya jadi stuck. Sebagai pemuzik saya rasa kebebasan itu perlu ada pada semua artis sebenarnya. Saya percaya kebanyakan artis yang berjaya mereka semua diberi kebebasan untuk menjadi diri sendiri dan buat apa sahaja yang mereka mahu juga percaya. 

EM: Saya pasti ramai generasi muzik hari ini look up to your success. What would be your advice untuk pemuzik baru?

HH: Ada yang datang kepada saya dan tanya, how to be Hael Husaini?. Saya katakan pada mereka just be yourself and take the risk. Tak perlu jadi Hael Husaini untuk berjaya. Keluarkan apa juga karya yang sudah tersedia dan move forward. Jangan ada doubt dengan karya sendiri.

EM: Hael juga sangat aktif dalam lapangan fesyen. Adakah involvement dalam bidang ini sebenarnya untuk mengekalkan Hael dalam radar popular?

HH: Saya rasa fesyen dan muzik itu berkait rapat. Saya boleh katakan peluang berada dalam bidang fesyen sangat membantu saya dalam membina imej dan juga penampilan. Menjadi penyanyi hari ini bukan setakat naik pentas dan menyanyi. Kita kena ada presence dan saya harus sentiasa look presentable baik di atas mahupun di bawah stage. Saya bertuah dikelilingi orang-orang sekeliling yang banyak membantu saya memahami keperluan fesyen dalam membentuk imej yang seiring dengan muzik yang saya bawa. 

EM: Sebagai pemuzik hari ini saya rasa Hael sudah bergerak bebas. Atas segala yang sudah diusahakan selepas tujuh lapan tahun ‘Jampi’ diedarkan dengan kejayaan yang bersilih ganti, adakah Hael rasa sudah berbaloi semua yang diusahakan?

HH: Yes. Kalau nak diikutkan secara menyeluruh ya saya rasa berbaloi. Tapi by saying that tak semestinya semua benda yang saya buat itu menjadi. Ada juga lagu yang saya personally rasa sangat bagus tapi tak begitu menjadi. One of my favorite song ‘Sama Seperti Dulu’ kurang mendapat perhatian. Saya anggap boleh jadi lagu itu keluar tak tepat pada waktu. Ada benda yang jadi ada yang tidak tapi bukanlah bermaksud kalau tak menjadi ia tidak bagus kadang-kadang saya rasa it’s just a matter of time

EM: Seronok menjadi Hael Husaini yang hari ini?

HH: Seronok. (Tertawa) Kalau dibandingkan dengan Hael Husaini yang dulu dengan yang sekarang saya seronok dan saya bersyukur. Sebabnya apa yang impikan sejak habis sekolah saya dapat dan itulah yang saya jadi sekarang. Apa yang saya ada hari ini juga satu peringatan untuk diri sendiri untuk jangan mengeluh. Kadang-kadang memang penat tapi kena sentiasa ingat ini yang saya mahukan, jadi saya kena kuat dan saya kena buat. I just have to deal with it.

EM: Ini mungkin soalan yang impossible untuk dijawab, but if one day you are done, how would you end your career? 

HH: Tak ada dalam kamus untuk berhenti. Saya dah berjanji dengan diri sendiri ini yang saya nak buat seumur hidup dan saya akan terus buat. Until my last breath.

Transisi yang dilaluinya hari ini adalah sebuah jaluran kematangan. Saya mengakhiri perbualan kami dengan persoalan apa yang membahagiakan seorang Hael Husaini hari ini? “Saya senang dan bahagia setiap kali karya saya dihargai. That's the best part of the journey. Itu saja, pabila ada yang datang jumpa saya and cakap – well done, good job. Itu cukup.”  

Seraya bercerita tentang kebahagiaan, saya mencuba juga bertanya. “Adakah Dayang Nurfaizah itu sebahagian daripada kebahagiaan Hael hari ini?” - Hael hanya membalas ketawa besar. Mungkin belum ada hal yang boleh dikongsikan biar kuat angin berpuput akan kisah cinta dua superstar ini. Apa yang saya pasti jika sampai waktunya perkhabaran yang baik pasti akan kita semua terima terbuka.

Berbual dengannya membuatkan saya tersihir leka dengan kesungguhan yang dia ada. Hael Husaini hari ini sangat jelas dengan apa yang dia mahukan untuk meneruskan satu kelangsungan hayat dalam berkarier terutamanya. Huge Entertainment House yang sedang diusahakan secara perlahan-lahan kini akan menjadi agenda dan fokus seterusnya. It’s always music yang menjadi drive untuk persona ini terus bertumbuh dalam kedewasaan. Dan ya, dia melakukannya dengan sepenuh keupayaan.



Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down