Bagi kebanyakan individu, uban merupakan salah satu tanda penuaan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, pemerhatian umum menunjukkan bahawa lelaki lebih cenderung untuk beruban pada usia yang lebih muda berbanding wanita.
Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku? Kami akan membincangkan beberapa sebab utama mengapa lelaki lebih cepat beruban berbanding wanita. Ini termasuk daripada segi faktor genetik, hormon, gaya hidup juga penjagaan diri.
Faktor Penyebab Lelaki Beruban
Seperti semua sedia tahu, faktor genetik sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam menentukan bila seseorang individu itu akan mula beruban. Sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat seperti ayah atau datuk yang mula beruban pada usia muda, kemungkinan besar anak lelaki mereka juga akan mengalami perkara yang sama.
Dalam tubuh manusia, warna rambut ditentukan oleh sejenis pigmen yang dipanggil melanin. Melanin ini dihasilkan oleh sel-sel khas dalam kulit dan folikel rambut. Genetik pula memainkan peranan dalam mengawal berapa banyak melanin dihasilkan dan berapa lama sel-sel ini boleh terus menghasilkan melanin.
Kajian sains menunjukkan bahawa gen-gen yang mengawal penghasilan melanin boleh diwarisi daripada ibu bapa. Maksudnya, jika ibu bapa seseorang cepat beruban, kemungkinan besar anak mereka juga akan mengalami keadaan yang sama. Tetapi yang menariknya, cara gen-gen ini berfungsi tidak sama antara lelaki dan wanita.
Dalam kes lelaki, gen yang berkaitan dengan penghasilan melanin ini lebih cepat menjadi "lemah" atau kurang aktif, menyebabkan pengeluaran melanin menurun lebih awal berbanding wanita. Apabila melanin berkurang, rambut akan mula kehilangan warnanya, ini yang menyebabkan rambut menjadi kelabu atau putih, atau dalam kata lain, beruban.
Selain itu, hormon juga memainkan peranan penting dalam proses beruban. Lelaki mempunyai paras hormon testosteron yang lebih tinggi dan hormon ini mempengaruhi kesihatan folikel rambut. Paras testosteron yang tinggi boleh mempercepatkan keguguran melanin di dalam folikel rambut, menyebabkan uban tumbuh lebih awal. Bagi wanita pula, hormon estrogen membantu melambatkan proses penuaan rambut, memberikan mereka lebih masa sebelum mengalami masalah uban.
Gaya hidup turut menjadi faktor penyumbang kepada masalah uban awal dalam kalangan lelaki.
Kebanyakan lelaki lebih cenderung untuk menghadapi tekanan kerja, kurang tidur serta mengamalkan tabiat buruk seperti merokok atau mengambil alkohol secara berlebihan. Semua faktor ini boleh mempercepatkan kerosakan sel, termasuk sel-sel melanosit yang menghasilkan warna rambut. Tekanan oksidatif yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat menyebabkan penghasilan melanin berkurangan seterusnya menyebabkan rambut menjadi putih lebih cepat.
Akhir sekali, perbezaan dalam penjagaan diri juga memberi kesan terhadap kadar pertumbuhan uban. Secara umum, wanita lebih mengambil berat tentang penampilan mereka berbanding lelaki. Wanita cenderung menggunakan produk penjagaan rambut yang membantu mengekalkan kesihatan rambut dan melindungi folikel daripada kerosakan. Lelaki pula selalunya lebih ringkas dalam rutin penjagaan diri, menyebabkan rambut mereka lebih terdedah kepada kerosakan akibat matahari, pencemaran atau bahan kimia dari produk rambut yang tidak sesuai.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada fenomena lelaki beruban lebih awal daripada wanita. Genetik, hormon, gaya hidup dan tahap penjagaan diri semuanya memainkan peranan penting. Walaupun proses beruban adalah sebahagian daripada penuaan semula jadi, gaya hidup sihat dan penjagaan diri yang baik boleh membantu melambatkan proses ini. Oleh itu, adalah penting bagi lelaki untuk lebih prihatin terhadap kesihatan rambut mereka agar dapat mengekalkan penampilan muda lebih lama.