Oleh: Hafizan Mohd.
Perjalanan team editorial ELLE Men melunaskan penggambaran muka depan isu yang pertama ini berjalan jauh ke tanah seberang. Bertemu salah satu bakat pelapis industri perfileman Indonesia, Angga Yunanda menjadi kejutan manis buat kami. Bersambut senyuman dan keramahan – Angga menyapa semua krew yang tiba awal di salah sebuah suite mewah The Langham, Jakarta.
Tahun ini menjadi perjalanan penting bagi Angga. Tidak hanya di cabang kerjaya yang semakin konsisten dengan beberapa filem yang menanti jadual tayangan tetapi juga menjadi tahun paling bahagia buatnya. Menikahi Shenina Cinnamon yang juga seorang aktres, pada awal tahun ini membuka lembaran baru buat Angga meniti perjalanan hidup pada usia 25 tahun dengan tanggunjawab dan komitmen yang baru.
Apa yang pasti perjalanan yang dilaluinya hari ini tidak lagi antah berantah tetapi berbalut realiti yang semakin jelas masa depannya. Cukup matang di usia muda, ELLE Men mendekati pemikiran, keperibadian dan sudut pandang Angga Yunanda yang kini sedang meniti titian kedewasaan.
ELLE Men: Angga pastinya sedang sangat sibuk saya kira. Mungkin boleh ceritakan apa hal yang mengujakan akhiran ini?
Angga Yunanda: Sibuk dengan beberapa projek filem tapi yang paling saya nantikan adalah ‘Para Perasuk’ atau judul inggerisnya ‘Levitating’. Ini merupakan filem kedua saya bersama pengarah Wregas Bhanuteja yang sebelum ini mengarahkan saya menerusi filem ‘Budi Pekerti’. Rencananya filem kedua bersama Wregas ini akan membuka panggung di salah sebuah festival filem antarabangsa yang belum boleh saya kongsikan. Tetapi ia menjadi keterujaan baru buat saya kerana buat kali keduanya filem kerjasama bersama Wregas mendapat perhatian festival luar negara.
EM: Apa yang Istimewa tentang filem ‘Para Perasuk’ ini?
AY: Ada elemen horror tetapi ia datang dengan idea dan dimensi berbeza. Filem ini mengangkat kepercayaan salah satu budaya yang ada di Indonesia. Kalau kebiasaan orang mendengar perkataan rasuk itu pasti akan membayangkan hal-hal yang menakutkan tetapi dalam filem ini kerasukan itu digambarkan sebagai satu euforia, seperti satu pesta. Ceritanya berkisah tradisi di sebuah desa yang merasuk manusia tetapi untuk menjadi happy bukan jadi menakutkan.
EM: Interesting. Dirasuk tetapi happy. Sudah ada jadual tayangan umumnya?
AY: Berkemungkinan penghujung tahun antara November atau Disember cuma belum ada tarikh yang ditetapkan lagi. Selain ‘Para Perasuk’ ada beberapa lagi filem saya yang bakal tayang iaitu ‘Tale of the Land’ dan ‘Dopamine’. Kedua-duanya saya lakonkan bersama isteri, Shenina Cinnamon.
EM: Angga sudah berlakon lebih sedekad. Menerusi perjalanan yang panjang ini bagaimana Angga melihat transisi diri dalam karier?
AY: Saya bermula dengan sinetron dan itu menjadi medan untuk saya belajar banyak hal yang membantu saya menjadi lebih baik sebagai pelakon filem. Proses berlakon sinetron itu sangat cepat dan sebagai pelakon saya terlatih untuk ada satu photographic memory bagi membayangkan bagaimana babak yang akan dirakamkan sebelum penggambaran bermula. Pengalaman itu membantu saya menjadi pelakon filem yang baik.
Hari ini saya bertuah kerana kesempatan yang ada untuk bekerjasama dengan one of the best production team membuatkan saya belajar tentang karakter, plot cerita dan lain-lain. Pengarah yang saya sudah bekerjasama juga benar-benar membebaskan saya sebagai pelakon untuk mewarnakan karakter yang ada. Hal-hal begini yang membuatkan saya senang menjadi pelakon sehingga hari ini.
EM: Saya difahamkan berlakon tidak ada dalam kamus cita-cita Angga. Sebetulnya Angga mahu menjadi apa ketika membesar?
AY: Saya dibesarkan dalam keluarga yang latarnya pendidikan. Kedua-dua orang tua saya merupakan guru dan ada terfikir juga kalau saya akan end up menjadi seorang guru. Tapi dulu pernah ada keinginan menjadi doktor juga tapi pabila difikirkan semula jika saya tidak berlakon maybe I’m in education juga.
EM: Jadi bagaimana peluang berlakon itu datang dalam hidup?
AY: Sebetulnya saya bermula dengan modelling tapi tak lama dalam tujuh hingga lapan bulan. After that I was discovered by this casting director to shoot a drama series. Ia hanya sekadar fasa mencuba awalnya, kalau tidak menjadi saya akan pulang ke Lombok dan teruskan kehidupan seperti biasa. Namun rezeki berpihak untuk saya kekal dalam bidang lakonan di Jakarta.
Awalnya ada ketakutan sebab banyak perbezaan gaya hidup dan budaya di Jakarta yang lebih fast paced berbanding kehidupan di kampung asal saya di Lombok. Ada kesulitan tapi saya bertuah memiliki keluarga yang sangat mendukung dan terbuka. Mama dan papa selalu menerapkan pemikiran untuk sentiasa melihat pro dan cons dalam satu-satu hal. Mereka bukan jenis yang akan terus say no tetapi sentiasa siap untuk mendengar dan mudah dibawa berbincang.
EM: Ada apa dengan bidang ini yang Angga benar-benar suka?
AY: Saya seorang yang boleh dikatakan mudah bosan kalau harus melakukan hal yang sama. Namun menerusi lakonan saya menemukan pekerjaan yang tepat dengan karakter kerana kalau shooting satu-satu projek ia akan ambil masa mungkin dua ke tiga bulan dan selepas projek tamat saya berpeluang untuk melakukan projek berbeza. Setiap projek pula memerlukan saya melakonkan watak berbeza jadi ia sesuatu yang exciting untuk saya. Setiap kali adanya projek baru ia akan bagi dinamik yang berbeza, watak berbeza dan peluang bekerja dengan orang berbeza.
EM: Bercakap tentang projek berbeza saya pasti setiap satunya memberikan pengalaman berharga buat Angga. Kalau boleh saya tahu projek yang mana memberi impak besar untuk Angga?
AY: Kalau untuk saya ‘Dua Garis Biru’. Projek itu memberi definisi Angga yang baru kerana ia memberi satu impak berbeza dalam karier saya. Orang mula mengenal Angga Yunanda itu siapa dan selepas filem ini jugalah membuka peluang untuk saya memilih peran dan karakter sendiri. Sebelum ini saya masih dianggap baru dan tak terlalu banyak pilihan yang ada. Namun kerana ‘Dua Garis Biru’ ia menjadi turning point untuk karier saya bertumbuh.
EM: Dan setelah itu, perjalanan karier lakonan Angga semakin mudah jalannya. Angga sendiri sudah berlakon dengan hampir kesemua pengarah kelas satu Indonesia. Selain Wregas Bhanuteja ada juga projek bersama Hanung Bramantyo, Angga Dwimas Sasongko antaranya. Siapa lagi yang ada di wishlist Angga Yunanda?
AY: Wild dream saya mahu berlakon di bawah arahan pengarah Korea Selatan iaitu Bong Joon Ho. ‘Parasite’ itu salah satu filem yang saya tonton berulang kali sebab saya sangat sukakan craftmanship dan caranya mengolah cerita. Kalau di Indonesia saya masih belum berkesempatan berlakon bersama Joko Anwar dan saya rasa itu adalah every actors’ dream untuk berlakon di bawah arahannya.
EM: Awal tahun ini Angga selamat bergelar suami kepada Shenina. Kalau boleh saya tahu sebahagia apa seorang Angga itu sekarang?
AY: Really happy. Bernikah itu bagai top tier of happiness bagi saya. Shenina adalah wanita yang sangat sempurna untuk bersama saya selamanya. Saat kami memutuskan untuk menikah awal tahun ini ia satu kenyataan yang paling membahagiakan. Mengenali Shenina selama lima tahun itu sudah cukup membuatkan saya siap bergelar suami.
Shenina membuat saya bertumbuh sebagai seorang lelaki yang lebih dewasa. Bersamanya juga membuka banyak ruang untuk saya menghargai hal-hal kecil dalam hidup dan mengubah sudut pandang tentang kehidupan. Boleh dikatakan separuh daripada perjalanan saya bergelar pelakon saya lalui dengan adanya Shenina.
EM: Shenina itu sebetulnya datang dalam hidup Angga ketika Angga mencari cinta atau secara tidak sengaja?
AY: (Tertawa) Tidak sengaja dan tidak ada dalam perancangan sebetulnya untuk saya benar-benar mencari cinta ketika itu. Tetapi bertemu Shenina mengubah semuanya. Dia memiliki keperibadian yang mengena dengan apa yang saya suka pada wanita. Personalitinya, kecantikannya dan dia juga seorang wanita yang memiliki sense of humor. Satu hal yang paling saya sukakan tentang Shenina, she’s full of energy yang baik. Setiap hari bersamanya tidak pernah menjadi hari yang biasa, akan sentiasa ada keseronokan dan ia benar-benar menjadi hal yang saya syukuri.
*Baca artikel penuh menerusi ELLE Men edisi debut September - Oktober di pasaran