Gagasan LEGASI melalui jangkauan mata fikir serta perjalanan pengalaman insan dari profil dan latar belakang berbeza. Mereka membawa tafsiran distingtif – merintis laluan untuk mencipta legasi, menyambung peninggalan legasi keluarga dan membentuk diri untuk menjadi legasi. Bersama Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, berbicara tentang membangunkan jenamanya, Rizman Ruzaini sebagai empayar yang menitis jejak legasi untuk pereka fesyen generasi mendatang.
Hasrat yang mereka tanam ini luhur. Rizman Ruzaini membimbit matlamat untuk memahatkan tekad, menjadi yang terbaik dalam arena fesyen tanah air sementelahan sudah dua dekad membina empayar. Cita-cita mereka beragaman – selepas tawan internasional, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil membuka laluan. Buat generasi mendatang, biar legasi mereka bersinambungan.
Setelah 20 tahun jenama Rizman Ruzaini dibangunkan, apakah pencapaian yang anda kira menjadi penanda aras bagi jenama ini?
Rizman Nordin : Selepas 20 tahun, akhirnya pandangan kami jernih. Himpunan kesedaran tentang haluan jenama Rizman Ruzaini begitu nyata dan boleh lihat sejauh mana ‘legasi’ kami akan pergi. Kami mengharungi 20 tahun ini untuk memahami pengurusan perniagaan sedalam-dalamnya, di samping hal-hal kreatif. Untuk membina legasi, kita harus faham kedua-dua aspek ini ada keseimbangan. Kerana pada akhirnya nanti, legasi empayar yang kita bina perlu kekal mapan dan memastikan aliran perniagaan tidak terhambat di pertengahan. Kami sudah tahu bagaimana mahu memposisikan jenama Rizman Ruzaini – yang terbahagi kepada Rizman Ruzani Couture dan RR by Rizman Ruzaini.
Ruzaini Jamil : Kejelasan perjalanan perniagaan ini menerangi pemahaman dari segi julat harga produk-produk kami. Siapa clientele kami, siapa muse kami. Ini adalah formula terbaik dalam membangunkan jenama Rizman Ruzaini selepas 20 tahun. Pada waktu dahulu, kami masih lagi belajar. Ada lagi ruang-ruang untuk memperbaiki Rizman Ruzaini. Saya selaku pengarah kreatif jenama, saya mengukur pencapaian jenama menerusi pengalaman yang kami lalui. Apa yang saya boleh katakan adalah penceritaan yang kami jalin dalam setiap rekaan yang bertunas menjadi kesenian. Contohnya, himpunan ‘Seri Gumum’ yang dipentaskan di Dubai Fashion Week dan merupakan debut Rizman Ruzaini di Dubai, menandakan jejak kejayaan kerana kami beroleh kejayaan dalam mengetengahkan warisan craftsmanship Malaysia.
Tentang visi yang datangnya daripada dua kotak fikir individu yang berbeza. Bagaimana anda memperteguh visi kreatif tersebut?
RN : Kami berdua sentiasa semuafakat bila menyentuh bab visi utama. Kami berdua berkongsi visi untuk meletakkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Dari aspek tugas, kami sudah ada dikotomi itu. Saya memfokuskan kepada pengurusan perniagaan, manakala Ruzaini memberikan tumpuan kepada hal-hal kreatif. Pembahagian ini memperkemas kerja-kerja kami.
RJ : Persetujuan untuk mengerjakan sesuatu rekaan, mengolah idea dan langkah-langkah selepas itu, saya akan berbincang dengan Rizman terlebih dahulu. Daripada situ, barulah kami akan menggerakkan sesuatu idea itu dengan melakukan kajian yang lebih mendalam dan sebagainya. Dalam pada saya mengepalai bahagian kreatif, saya tetap akan cuba untuk menyerasikan ia dengan ‘mata komersial’ dan ‘minda bisnes’ Rizman.
Bagaimana dialog seni yang terjalin antara anda berdua? Apakah adanya kebebasan intelektual untuk menyelidik seni di sebalik ilham rekaan?
RJ : Pertembungan idea saya dengan Rizman tidak akan berhujung dengan kebelengguan. Imaginasi atau ideologi itu lazimnya keluar daripada kepala kami berdua. Misalnya, pabila Rizman mencadangkan sesuatu, tiada bantahan keras daripada saya. Saya akan mengambil masa untuk merapatkan diri dengan cadangan tersebut, akan tersisip sekali idea saya sendiri, kemudiannya saya akan merangka konsep, skima warna dan sebagainya. Saya seorang yang amat menyukai storytelling dan ia membenarkan saya untuk mengembangkan kreativiti. Huraian tersebut bersemi menjadi penerokaan dan pengubahsuaian yang membawa satu penemuan.
Perkara yang menjadi pengajaran anda setelah menghadapi kesukaran membina empayar?
RN : Membina timbunan 20 tahun tak mudah. Kita terkadang perlu memperjudi nasib, gagal sepuluh kali dan menerapkan kesedaran betapa rumitnya nak membangunkan empayar. Jadilah seorang yang realistik. Apa yang orang nampak secara luaran mungkin ‘kemenangan’ dan mereka tidak merasai kegagalan yang kita hadapi. Namun kegagalan inilah yang merangka keberanian kita untuk terus berkembang, mendewasa dan mematangkan diri. The most important thing is, the destination of your journey. Kami tidak mahu sekadarkan menikmati apa yang ada sekarang. Kami memikirkan jangka masa panjang dan suatu hari nanti akan mencipta legasi. Legasi yang menjadi rujukan generasi akan datang.
Apakah babak jenama Rizman Ruzaini yang seterusnya?
RN : Babak seterusnya adalah terus mendominasi global dan perluasan jenama kami. Apalagi bila sudah memiliki rakan kerjasama, yang banyak membantu dalam membentukkan perjalanan Rizman Ruzaini dan tahu bagaimana hendak melorongkan perniagaan ini. Sudah tentu, mimpi kita besar. Impian kencana mahu ke Paris, ke sana, ke sini. Namun, kami perlu memberi pertimbangan dari aspek memperkukuhkan dahulu asas jenama. Lantaran itu, kami bermula dengan pasaran Indonesia. Dari Indonesia kami akan mengembangkan jenama ke pasaran antarabangsa yang lain.
RJ : Saya menyeleraskan pertumbuhan jenama ini dengan objektif yang ditetapkan. Seperti yang sudah dijelaskan, sudah tentu, konsentrasi saya adalah kepada bahagian kreatif dan selepas ini, beriringan pula dengan perluasan jenama, saya akan menerokai rekaan-rekaan yang relevan dengan pasaran serta memahami sesuatu budaya. Menjadikan Rizman Ruzaini lebih versatile, tidak membataskan kreativiti dan mungkin mementaskan sesuatu yang di luar jangkaan. Saya menyimpan impian agar jenama Rizman Ruzaini boleh menetapkan satu ‘acuan’ sebagai formula untuk meneladani yang lain.
Rizman Ruzaini mengambil langkah berhati-hati dan menakluki pasaran Asia terlebih dahulu?
RJ : Kami tidak mahu terburu-buru. Contohnya menakluki pasaran Asia dahulu, terutama sekali Indonesia. Lebih-lebih lagi pasaran Indonesia yang sangat besar, purchasing power juga berlainan dengan kita di Malaysia. Dan oleh itu, Rizman Ruzaini juga akan berpangkalan di Jakarta, Indonesia dan dengan mengambil langkah ini, ia membuka peluang kepada kami untuk mengamati budaya di sana. Visi dan misi yang kuat ini membabitkan pengorbanan yang tinggi jika kami benar-benar mahu membawa nama kami ke sana. Memang benar asimilasi perniagaan ini menggementarkan, tetapi berbancuh dengan satu keterujaan. Kerana ini adalah satu pengembaraan. Sungguhpun ke sana, kami tetap tidak akan menyisi DNA Rizman Ruzaini.
Untuk mencipta legasi, pertumbuhan perniagaan semestinya mampu sederap melangkah dengan permintaan kekinian. Terutama sekali generasi baharu. Bagaimana Rizman Ruzaini merancang untuk berdiri setara dengan hal sedemikian?
RN : Kami mahu menjadi ‘juragan’ bahtera fesyen Malaysia. Berbalik kepada ‘acuan’ atau templat sebagai formula, ia berkaitan dengan membekalkan ilmu kepada generasi baharu untuk memenangkan industri fesyen Malaysia.
RJ : Apa yang kami buat ini bukan sahaja untuk diri sendiri. Malah untuk generasi yang akan datang juga. Bila menyentuh perkara tentang membina legasi… kami sangat-sangat serius.
Di samping rekaan pakaian dan seumpamanya, apa lagi impak atau nilai yang menjadi tinggalan Rizman Ruzaini pada masa akan datang?
RN : Mengisi kanvas fesyen Malaysia dengan bekalan ilmu dan berkongsi ilmu yang terbaik. Kami memasang niat untuk suatu hari nanti, akan menubuhkan sebuah sekolah atau maktab fesyen. Kami membayangkan sekolah fesyen ini menampilkan sukatan pelajaran yang tepat dan ideal, membantu bakat-bakat muda dalam menyedari potensi mereka untuk meronai arena fesyen glokal. Penubuhan ini seharusnya bertunjangkan pengalaman yang datangnya daripada kami. Dalam erti kata lain, Insya-Allah seandainya bila sudah menginjak umur satu abad nanti, pengetahuan serta pengalaman yang dirangkul setengah abad itu akan diturunkan sebagai panduan kepada mereka.
Pegangan yang kami paut dalam jiwa adalah, sejauh mana kami merantau, setinggi mana kami daki, baik ke Eropah atau ke mana-mana benua, umbi kaki Rizman Ruzaini sentiasa bertumpu kepada Malaysia. Kami sentiasa tidak mahu melupakan warisan dan tradisi Malaysia.
Jika jenama Rizman Ruzaini ditulis sebagai babak yang bertemakan ‘Legasi’, apakah judulnya?
RJ : ‘Rizman Ruzaini Abadi’ – kata-kata kuncinya adalah ‘selama-lamanya, sejarah, kesempurnaan’ yang terkandung dalam definisi ‘abadi’.
RN : ‘Rizman Ruzaini : Ikon Malaysia’ – kerana saya bangga membawa nama Malaysia itu.
Penyelaras : Hafizan Mohd & Nurhani Natasha | Arahan seni : Nabihah Nizam | Fotografi : Aiman Yazid | Lokasi : Butik Rizman Ruzaini