Tommy Hilfiger berganding bersama Jung Hae-in untuk satu kolaborasi gaya yang menyatukan pesona bintang Korea Selatan ini dengan estetika klasik barat. Koleksi Musim Luruh 2025 yang dinamakan ‘The Hilfiger Racing Club’ tersebut turut menyerlahkan fesyen layerings yang sofistikated. Selain itu juga menonjolkan lagi keanggunan fesyen santai serba memikat.
ELLE Men (EM): Bagaimana anda mentakrifkan gaya peribadi apabila mengenakan rekaan Tommy Hilfiger?
Jung Hae-in (JHI): Saya mendapati gaya Tommy Hilfiger sangat mudah diserasikan dengan personaliti saya yang selalu kasual, preppy dan santai. Ia menyerlahkan lagi sisi saya yang lebih muda dan bersemangat, namun tetap kekal elegan. Warna-warnanya juga sangat serasi dengan karakter saya dan yang paling penting, saya berasa sangat selesa sepanjang penggambaran ini. Saya sentiasa suka bahawa Tommy Hilfiger mewakili gaya yang terasa klasik namun penuh dengan karakter.
EM: Apa pandangan anda tentang kempen ini secara keseluruhan?
JHI: Ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Gaya yang dibawakan ini sangat natural bagi saya dan itu menjadikan keseluruhan proses penggambaran ini lebih lancar dan menyeronokkan. Saya suka apabila gaya yang dipakai dapat memberi kejutan dan apabila helaian pakaian yang klasik diubah suai menjadi butiran yang tidak dijangka, membuatkannya terasa baharu sepenuhnya. Kempen ini membawa mesej tersebut dan sungguh mengujakan untuk menjadi sebahagian daripada cerita yang meraikan kedua-dua tradisi dan pembaharuan semula.
EM: Secara peribadi, bagaimana anda mendeskripsikan diri anda, berbeza daripada persona yang sering dilihat dalam drama?
JHI: Saya seorang yang agak pendiam dan introspektif. Saya lebih gemar suasana yang tenang dan lebih memilih untuk hadir dalam perjumpaan kecil bersama orang yang rapat berbanding suasana sosial yang besar. Dalam kempen ini, saya cuba untuk mempamerkan karisma yang mudah didekati dan keyakinan yang tenang yang menjadi ciri saya.


EM: Apakah rutin anda untuk merehatkan diri dan mengembalikan semula tenaga?
JHI: Jika di rumah, masa bersama keluarga adalah saat paling menenangkan buat saya. Saya juga akan cuba untuk bersenam secara konsisten bukan sekadar untuk kecerdasan fizikal namun juga untuk kesejahteraan mental. Rutin ini membantu saya untuk kekal tenang, fokus dan yakin dalam mengemudi perjalanan saya sendiri, sama seperti metafora perlumbaan dalam kempen ini.
EM: Selain lakonan, apakah pula hobi yang sering anda lakukan?
JHI: Selain bersenam, saya sangat mengambil berat tentang kesihatan diri dan juga suka pergi mengembara. Dua perkara ini banyak membantu saya untuk kekal seimbang secara fizikal dan emosi. Bagi saya, keseronokan perlumbaan adalah seperti metafora untuk kerjaya saya sendiri ia memerlukan fokus, ketenangan dan tenaga yang berterusan.

EM: Sebagai figura yang sering menjadi perhatian umum, bagaimana anda mengekalkan autentik diri sendiri?
JHI: Keseimbangan antara kehidupan profesional dan peribadi sangat penting. Saya percaya tubuh yang sihat adalah asas kepada segalanya. Oleh itu, saya akan memastikan saya kekal aktif dan sentiasa menjaga kesihatan. Mental yang sihat juga akan membantu saya kekal konsisten dalam menghadapi tekanan kerja.
EM: Siapakah individu yang menjadi inspirasi utama dalam hidup?
JHI: Sukar untuk memilih hanya satu nama. Namun, ayah saya banyak memberi pengaruh kepada diri. Beliau seorang individu yang sangat berdisiplin, penyayang dan sentiasa membantu orang lain. Dia mempunyai ciri-ciri figura yang saya kagumi dan saya cuba terapkan sifatnya dalam diri saya.

EM: Apakah salah tanggapan yang sering diterima tentang diri Jung Hae-in?
JHI: Saya sejujurnya tidak terlalu risau atau memikirkan tentang tanggapan orang terhadap diri saya. Saya percaya, masa yang akan membuktikan siapa diri kita yang sebenar.
EM: Apa yang membuatkan anda begitu komited terhadap dunia lakonan?
JHI: Dunia lakonan memberi saya ruang untuk berekspresi secara lebih mendalam. Kepuasan itu akan datang apabila setiap projek lakonan saya ditayangkan kepada umum dan menerima reaksi positif. Ia menaikkan semangat dan memotivasi diri saya untuk terus berkarya.

EM: Selepas pelbagai kejayaan diraih, apakah harapan untuk diri sendiri?
JHI: Saya ingin terus menempa nama dalam pelbagai projek lakonan yang memberi impak dan kegembiraan kepada orang ramai yang menonton. Itu matlamat jangka panjang saya.
EM: Boleh kongsikan sedikit tentang projek terbaharu?
JHI: Projek terbaharu saya melibatkan genre yang benar-benar berbeza bagi saya. Ia mencabar tetapi sangat menyeronokkan. Saya tidak sabar untuk berkongsi hasilnya dengan semua nanti.