Gagasan LEGASI melalui jangkauan mata fikir serta perjalanan pengalaman insan dari profil dan latar belakang berbeza. Membawa tafsiran distingtif – merintis laluan untuk mencipta legasi. Bersama Jared Chuah, pengasas Nateskin, membicarakan tentang mencabar norma dan mengubah persepsi ramai tentang penjagaan diri lelaki.
Setiap legasi bermula dengan satu langkah berani. Bagi Jared Chuah, langkah itu adalah satu keputusan untuk mendefinisikan semula maksud penjagaan diri lelaki moden. Dari idea kecil yang lahir daripada keinginan untuk mengubah persepsi masyarakat, Nateskin kini menjadi legasi yang meraikan keyakinan, keaslian, dan keberanian lelaki moden.
Boleh kongsikan bagaimana perjalanan anda dalam industri penjagaan diri lelaki bermula dan apa yang menginspirasikan anda untuk menceburi bidang ini?
JC: Saya sentiasa rasa penjagaan diri lelaki itu menarik kerana ia sangat berkait rapat dengan keyakinan diri. Semasa saya di Australia, waxing dan rawatan laser sudah dianggap biasa untuk lelaki. Tiada siapa pun yang rasa pelik. Tetapi apabila saya kembali ke Malaysia, ia boleh dikatakan sesuatu yang tidak biasa untuk lelaki disini.
Fikiran saya mudah saja, kalau lelaki Australia ada masalah bulu berlebihan, lelaki Malaysia pasti juga ada dan kalau mereka tidak bersedia untuk membayar servis ini, mereka pasti mahukan sesuatu yang berkualiti yang boleh digunakan sendiri. Dari situlah Nateskin lahir. Kami melancarkan Bush Trimmer, direka untuk menyelesaikan masalah lelaki yang tidak membicarakannya secara terbuka.
Apakah cabaran terbesar yang anda hadapi dalam membina bisnes ini dan bagaimana anda mengatasinya?
JC: Untuk membuktikan idea ini boleh berjaya, saya habiskan lima bulan dengan pop-up di Publika. Ia memang meletihkan. Dalam pada masa yang sama, saya tertanya-tanya sama ada bisnes ini akan berjaya atau tidak. Tetapi setiap perbualan dengan pelanggan beri saya pandangan baru dan ia menjadi asas mesej kami yang kemudian diterjemahkan dalam iklan atas talian. Dari situlah jualan mula meningkat dan setiap bunyi notifikasi “cha-ching” bila ada jualan online masuk, itulah perkara yang saya inginkan.
Apabila tiba masa untuk mengembangkan perniagaan, cabarannya jauh berbeza. Saya bukan hanya buat pemasaran, tetapi terlibat dalam operasi, kewangan, rantaian bekalan, seperti belajar MBA secara pantas dalam kehidupan sebenar. Lengkung pembelajaran paling sukar ialah menjadi pengurus yang lebih baik. Pada mulanya, tiada struktur sebenar dan pasukan bekerja agak tidak terarah tetapi selepas beberapa tahun kami lebih struktur dan fokus.
Apabila anda fikir tentang ‘legasi,’ apa maknanya bagi anda secara peribadi dan profesional?
JC: Saya lebih fokus untuk mencipta sesuatu yang bermakna pada masa kini. Tanggapan pertama sangat penting. Sama ada seorang lelaki memegang produk Nateskin buat kali pertama atau rasa keyakinan selepas menggunakannya, itulah impak yang saya pedulikan.
Jika Nateskin boleh bantu lelaki rasa bangga menjaga diri dan tampil yakin, itu lebih bermakna bagi saya daripada nama saya diabadikan sebagai legasi jangka panjang.
Apakah langkah atau strategi utama yang anda rasa penting dalam membina reputasi dan kepercayaan terhadap jenama anda di pasaran?
JC: Kepercayaan adalah segalanya. Sebab itu sejak hari pertama kami tawarkan polisi pulangan wang tanpa soal. Kurang daripada satu peratus pelanggan gunakan polisi itu, bermakna mereka benar-benar percaya pada produk kami.Sebelum dilancarkan, setiap produk melalui tempoh ujian enam hingga lapan bulan oleh saya dan pasukan. Kami perhalusi sehingga layak membawa nama Nateskin.
Dan apabila kami mahu melangkah lebih besar, kami bawa masuk Johan Ghazali, atlet ONE Championship sebagai duta jenama. Kami perlukan seseorang yang melambangkan keyakinan dan kemenangan dalam hidup. Kempen “With Nateskin, I fight clean” meletakkan Nateskin sebaris dengan jenama besar dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran.
Apakah matlamat masa depan jenama anda dan bagaimana anda merancang untuk memastikan impaknya berkekalan?
JC: Bab seterusnya untuk Nateskin akan lebih berani. Fokus kami ialah mencipta produk yang lelaki benar-benar suka sambil meletakkan keyakinan lelaki sebagai perkara utama. Kami sedang usahakan kerjasama yang lebih besar, pengedaran lebih luas dan akhirnya pengembangan ke negara lain. Tetapi perkembangan tidak bermaksud kami akan ambil jalan pintas. Setiap produk baru mesti meningkatkan piawaian dan mengekalkan kepercayaan pelanggan.
Matlamatnya mudah, dengan menjadi jenama yang lelaki percayai untuk tahun-tahun yang akan datang.
Apakah nasihat yang anda akan beri kepada anak muda yang mahu membina legasi peribadi atau menceburi industri ini?
JC: Nasihat untuk anak muda yang mahu membina legasi peribadi atau masuk ke industri ini, pertama sekali, kelilingi diri anda dengan orang hebat yang akan angkat anda lebih tinggi. Pasukan yang kuat akan dorong anda berkembang dengan cara yang anda tidak mampu lakukan seorang diri. Kedua, tanya soalan dari awal dan sekerap mungkin. Itu cara paling cepat untuk belajar. Jangan lupa untuk bina keyakinan dengan ambil peluang walaupun anda belum bersedia, dari situ anda akan belajar melalui pengalaman. Kekalkan perasaan ingin tahu dengan membaca dan sentiasa berfikir dengan cara usahawan. Idea terbaik selalu datang dari luar bidang anda sendiri. Akhir sekali, percayakan pasukan anda.
Penyelaras : Hafizan Mohd & Nurhani Natasha | Arahan seni : Nabihah Nizam | Fotografi : Aiman Yazid