BOSS melancarkan pembukaan stor flagship terbaharu di One Bangkok. Detik bersejarah ini mengukuhkan dedikasi jenama terhadap kecemerlangan, inovasi dan pengalaman beli belah bertaraf mewah di Asia Tenggara. Lebih menarik binatang Thailand, Dunk Natachai hadir sebagai tetamu istimewa serta menjadi barista di BOSS Cafe.

Menggabungkan beli belah dan hospitaliti tanpa sempadan, stor ini menampilkan BOSS Cafe pertama di rantau ini. Lantas, menawarkan pengalaman yang imersif dan melangkaui dunia fesyen semata-mata. Koleksi pakaian lelaki dan wanita BOSS musim luruh/dingin 2025 yang baharu turut dipamerkan di dalam stor. Ini mencerminkan gaya sofistikated serta ketukangan unggul yang menjadi identiti jenama ini.
Reka bentuk stor flagship diperbaharui untuk mencerminkan konsep terkini BOSS, menggabungkan keanggunan abadi dengan ketepatan kontemporari. Fasad yang dicirikan oleh geometri linear yang berani dan kemasan marmar hitam mencipta pintu masuk yang sofistikated dan imersif. Di bahagian dalaman pula, elemen kayu, travertine dan logam digabungkan dengan permukaan berkilat tinggi untuk mewujudkan suasana seimbang antara kehangatan dan kemodenan. Sebagai penghormatan kepada warisan budaya Thailand, sentuhan hasil karya artis tempatan menambah keunikan melalui lapisan tekstur dan tona. Sekali gus mewujudkan dialog visual yang harmoni dengan reka bentuk seni bina keseluruhan stor.

BOSS Cafe ini menawarkan pilihan pastri gourmet dan minuman istimewa yang eksklusif. Masing-masing diinspirasikan oleh tradisi kulinari Thailand yang kaya serta budaya tempatan yang penuh warna. Makanan dan minuman menggunakan bahan-bahan tempatan. Ini untuk menghargai keaslian, ketukangan dan hubungan tulen dengan komuniti setempat. Daripada penyajian artistik hingga keseimbangan rasa yang halus, setiap ciptaan disusun dengan teliti selaras dengan sofistikasi dan gaya BOSS.

Stor di One Bangkok turut menawarkan perkhidmatan eksklusif BOSS Made to Measure. Ia adalah pengalaman jahitan peribadi yang menggabungkan ketepatan ketukangan dengan ekspresi individu. Setiap helaian pakaian merangkumi kualiti dan kehalusan terkenal jenama ini, diperkaya dengan pilihan pelapik, monogram serta sentuhan kemasan khas.
Lebih daripada sekadar destinasi fesyen, BOSS melambangkan satu gaya hidup lelaki hari ini. Ia meraikan seni pertukangan, kreativiti dan seni reka menikmati kehidupan yang berkualiti. Stor baharu dan BOSS Café di One Bangkok menjadikan falsafah ini satu realiti, menawarkan pengalaman menyeluruh yang menyatukan gaya, budaya dan cita rasa di bawah satu visi yang sofistikated.