Robert Pattinson bukan lagi sekadar nama yang sinonim dengan kisah cinta vampire menerusi ‘Twilight’. Sepanjang perjalanan kariernya di Hollywood, pelakon British ini telah membuktikan kemampuan untuk membawa pelbagai karakter dengan latar, personaliti dan genre yang berbeza. Daripada seorang pelajar Hogwarts, vampire yang menjadi pujaan ramai, hinggalah seorang adiwira yang melindungi Gotham City, setiap watak hadir dengan identiti tersendiri.
Menariknya, Robert sekali lagi menjadi perhatian apabila namanya dikaitkan dengan watak James Bond atau ejen 007. Terbaru, Robert sekali lagi menjadi perhatian apabila beliau disahkan bakal menggalas watak James Bond atau ejen 007. Pemilihan ini membuka lembaran baru dalam karier lakonannya, sekali gus mencetuskan keterujaan peminat untuk melihat interpretasi Robert terhadap karakter legenda tersebut.

Ini antara lapan watak yang pernah dan akan didukung oleh Robert Pattinson:
Sebelum namanya dikenali di seluruh dunia, Robert telah mencuri perhatian menerusi watak Cedric Diggory dalam ‘Harry Potter and the Goblet of Fire’. Membawa karakter seorang pelajar Hufflepuff yang berbakat dan disegani. Kemunculannya dalam filem ini menjadi antara langkah awal yang membuka ruang lebih besar buat Robert di Hollywood. Walaupun bukan watak utama, Cedric kekal sebagai karakter yang diingati peminat francais tersebut.

Tidak lengkap rasanya membicarakan perjalanan karier Robert tanpa menyebut watak Edward Cullen. Menerusi francais ‘Twilight’, Robert membawa watak vampire yang jatuh cinta dengan seorang manusia bernama Bella Swan. Karakter misteri dan romantik itu menjadikannya fenomena dalam kalangan peminat filem romantik fantasi. Malah, watak Edward turut melonjakkan popularitinya sehingga menjadi antara wajah paling dikenali dalam budaya pop era.

Daripada vampire kepada seorang adiwira, Robert sekali lagi membuktikan kemampuannya menerusi karakter Bruce Wayne dalam ‘The Batman’. Berbeza dengan beberapa adaptasi Batman terdahulu, versi arahan Matt Reeves ini mengetengahkan sisi Bruce yang lebih gelap dan penuh konflik. Penampilannya sebagai pelindung Gotham City memberikan dimensi baru kepada karakter ikonik DC Comics itu, sekali gus memperlihatkan sisi lakonan Robert yang lebih serius.

Kali ini, Robert membawa penonton ke dunia fiksyen sains menerusi ‘Mickey 17’ arahan Bong Joon-ho. Menggalas watak Mickey Barnes, seorang pekerja yang menjalani misi berbahaya sebagai individu yang boleh dicetak semula selepas kematian, Robert memperlihatkan kebolehan membawa karakter dengan pelbagai emosi dan personaliti. Menariknya, watak ini turut memberi peluang kepadanya untuk meneroka elemen komedi gelap yang berbeza daripada karakter-karakter terdulu.

Antara transformasi lakonan Robert yang turut mencuri perhatian ialah menerusi ‘Primetime’. Dalam filem ini, beliau membawa watak Chris Hansen, seorang pengacara televisyen Amerika yang dikenali menerusi rancangan penyiasatan ‘To Catch a Predator’. Berbeza dengan karakter fiksyen yang pernah dibawakannya, peranan ini memerlukan Robert menghidupkan figura sebenar yang cukup dikenali dalam dunia penyiaran. Satu lagi pilihan watak yang memperlihatkan keberaniannya meneroka genre dan karakter di luar kebiasaan.

Robert kini bakal menggalas satu lagi karakter paling ikonik dalam sejarah perfileman iaitu James Bond. Pada 16 November 2026, Amazon MGM Studios secara rasmi mengumumkan pelantikannya sebagai pelakon seterusnya yang membawa watak ejen 007, menggantikan Daniel Craig. Filem baru ini bakal diarahkan oleh Denis Villeneuve dengan skrip tulisan Steven Knight.

Menerusi ‘The Drama’, Robert bergandingan dengan Zendaya dalam sebuah filem yang mengangkat kisah hubungan dan kejutan menjelang perkahwinan. Beliau membawa watak Charlie Thompson, seorang lelaki yang hubungannya mula berdepan cabaran apabila satu pendedahan tidak dijangka mengubah perjalanan kisah cinta mereka. Filem ini turut memperlihatkan sisi Robert dalam genre komedi dramatik, sekali gus menambah variasi kepada senarai karakter yang pernah dibawakannya.
Mengakhiri senarai ini, Robert turut muncul sebagai Antinous dalam filem epik ‘The Odyssey’ arahan Christopher Nolan. Berdasarkan karya klasik Homer, filem ini membawa penonton mengikuti perjalanan Odysseus selepas Perang Trojan. Antinous pula merupakan salah seorang lelaki yang berusaha memenangi hati Penelope ketika Odysseus masih belum pulang ke Ithaca. Watak ini sekali lagi memperlihatkan kecenderungan Robert untuk menerima karakter yang mempunyai latar dan personaliti berbeza, khususnya dalam karya berskala besar.
