LANGGAN

Meerqeen Bersama Manifestasi Olfaktori YSL Beauty

Suatu kebangaan YSL Beauty mengangkat Meerqeen sebagai wajah baharu buat haruman Le Vestiaire des Parfums, koleksi haute parfumerie inspirasi gerobok pakaian Yves Saint Laurent. 
Published: February 23, 2026

Suatu kebangaan YSL Beauty mengangkat Meerqeen sebagai wajah baharu buat haruman Le Vestiaire des Parfums, koleksi haute parfumerie inspirasi gerobok pakaian Yves Saint Laurent. 

Memulakan kerjasama sebagai wajah YSL Beauty Malaysia, dan kini dilantik menjadi muse buat koleksi haruman ikonik ini telah menandakan satu evolusi baharu buat Meerqeen dan YSL Beauty. Pelantikan menerusi haruman Muse, sebuah aroma yang meraikan keunikan diri, semangat artistik serta keyakinan yang bersahaja sedikit sebanyak menzahirkan ciri-ciri selari dengan gaya peribadi Meerqeen sendiri yang dilihat semakin matang. 

YSL Beauty

Bukan sekadar haruman Muse, Tuxedo juga diangkat sebagai antara haruman ikonik menyinari koleksi Le Vestiaire des Parfums ini. Telah diinspirasikan oleh seni jahitan legenda Yves Saint Laurent bersatu bersama keanggunan kota Paris, haruman ini cukup berstruktur namun memiliki suntikan sensual yang hangat. Ia juga mencerminkan keseimbangan dalam kekuatan dan kehalusan, seiring dengan personaliti moden elegan yang dipotretkan oleh Meerqeen. 

Visi Yves Saint Laurent Membentuk Le Vestiaire des Parfums

YSL Beauty

Sebagai seorang visioner sejati yang merevolusikan fesyen wanita menerusi pendekatan berani terhadap feminiti, Monsieur Saint Laurent meraikan keindahan tubuh wanita dengan sensualiti yang belum pernah diterokai sebelum ini. Semangat inilah yang menjadi ilham kepada penciptaan Le Vestiaire des Parfums. 

Dia menterjermahkan inti pati rekaan ikoniknya menjadi haruman beraroma eksklusif. Setiap haruman yang dihasilkan dicipta penuh teliti bersama pakar haruman tersohor dan terbaik di dunia. Seperti estetika jenama ini yang cukup dikenali dengan gaya ikonik sepanjang zaman, elegan tanpa kompromi serta berani dalam bersifat avant-garde, semuanya menggambarkan busana couture idaman. 

Marie Salamagne, Juliette Karagueuzoglou, Quentin Bisch, Carlos Benaim, Alberto Morillas, Amandine Marie, Dominique Ropion, Annick Menardo, Fabrice Pellegrin, Cécile Matton dan Julie Massé masing-masing menyumbangkan sentuhan artistik serta visi tersendiri kepada Le Vestiaire des Parfums. Karya yang dicurahkan oleh pakar haruman ini ternyata menolak batas seni olfaktori biasa. Mereka menghasilkan jejak haruman yang cukup meninggal kesan, berkuasa dan kekal relevan merentas masa. 

Kuasa haruman koleksi ini diperluaskan lagi dengan ritual deria menerusi koleksi sabun tubuh dan tangan. Dengan ini, koleksi ini menawarkan pengalaman sensori secara menyeluruh. Bukan sekadar wangian buat kulit, Le Vestiaire des Parfums membuka dimensi baru ke alam haruman kediaman menerusi koleksi lilin beraroma eksklusif sebagai tanda penghormatan destinasi paling ikonik YSL seperti 70 Paris, 66 Marrakech dan alamat legenda seperti 37 Rue de Bellechasse, 24 Rue de l’Université dan 6 Place Saint-Sulpice. 

Sleek, Sharp & Sensorial

Setiap perincian kelalang Le Vestiaire des Parfums menyuarakan nama Yves Saint Laurent. Dicipta oleh Suzanne Dalton, siluet kaca yang elegan mengimbau siluet ikonik jenama ini. Lambang YSL Cassandre menghiasi penutup botol berona hitam bersama tekstur yang mengingatkan kepada fabrik tuksedo ikonik Yves Saint Laurent, grain de poudre. Label hitam yang disarungkan pada bingkai kaca pula menampilkan nama-nama ikonik koleksi ini.

Tentang Haruman Muse

YSL Beauty

Pakar Haruman, Marie Salamagne, menyatukan nota kayu utuh bersama iris yang bertekstur lembut dan berbedak, disempurnakan dengan vanila Bourbon yang sensual. Hasilnya terciptalah sebuah “haruman kulit yang meletus” seindah daya tarikan muse-muse ikonik Yves Saint Laurent.

Topics: ,
Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down