
ZENITH terus menegapkan tingkatan darjatnya dalam buana horologi mewah, memperkenalkan novelti-novelti baharu yang akur kepada warisan serta legasi. ZENITH memperkenalkan Chronomaster Sport Skeleton, Chronomaster dwi-rona, G.F.J Bloodstone dan G.F.J Tantalum.
CHRONOMASTER SPORT SKELETON
Berakar umbi daripada kaliber El Primero yang diperkenalkan lebih lima dasawarsa lalu, ciptaan Chronomaster Sport Skeleton membuktikan kejituan masa yang berbancuh dengan inovasi, lantas menjadi teras utama ZENITH. Rangkaian Chronomaster sepanjang masa bersendikan kejuruteraan yang memiliki frekuensi tinggi. Dengan detik masa 36,000 getaran sejam, ia malah memperlihatkan revolusi tradisi yang tidak meminggirkan jati dirinya. Tafsiran baharu Skeleton ini membuka ruang kepada apresiasi terhadap visual, menampilkan struktur dalaman yang kompleks dan dramatik.
PENCIPTAAN TERBUKA – Rekaan dail lut sinar menjadi tumpuan utama Chronomaster Sport Skeleton, memperlihatkan kesenian mekanikal kaliber El Primero 3600SK. Mainan rona gelap ke lut sinar pada permukaan dail mencipta dimensi visual yang sofistikated. Elemen tri-warna ikonik pula dikekalkan sebagai tanda penghormatan buat model asal dan memperkukuh identitinya. Kefungsian menjadi keutamaan, berbekalkan kemampuan mengukur 1/10 saat dengan lebih intuitif dan menjadikan prestasi teknikal ini memuaskan si pemakai.
INOVASI ERGONOMIK – Melangkaui aspek mekanikal, ZENITH turut memperkenalkan clasp lipat yang direka dengan pendekatan ergonomik dan memberi keselesaan maksimum serta mesra pelarasan mikro. Perincian ini memperlihatkan bagaimana inovasi kecil mampu memberi impak besar dalam pemakaian harian.
KESINAMBUNGAN WARISAN – Chronomaster Sport Skeleton hadir sebagai simbol ‘kesinambungan’ El Primero yang mengintegrasikan keunggulan teknikal, reka bentuk yang berani dan citra moden. Dalam dunia jam tangan yang tidak pernah menoktahi revolusi, ZENITH membuktikan bahawa warisan bukan sekadar untuk diingati semata, namun untuk terus diolah mengekori kerelevanan.
CHRONOMASTER SPORT
CHRONOMASTER Sport dengan memperkenalkan edisi baharu yang menggabungkan keluli dan emas ros – satu tafsiran halus terhadap ciptaan kronograf berprestasi tinggi. Masih berteraskan naratif identiti El Primero, penciptaan ini tidak mengubah asasnya. Sebaliknya memperhalus ekspresi dengan pendekatan yang lebih matang dan versatil.

PENCIPTAAN DWI-TONA – Menampilkan bekas 41mm, gabungan keluli tahan karat dan emas ros menghidupkan keseimbangan kontras antara daya tahan dan kemewahan. Ia bukan sekadarkan cuma jam sukan, namun adalah satu objek memudahkan keserasian diri untuk pelbagai situasi. Dail mother-of-pearl pula memperlihatkan kilauan halus yang berubah mengikut cahaya, manakala susun atur sub-dail ‘3-6-9’ mengekalkan identiti klasik El Primero.
TERAS PRESTASI – Dikuasakan oleh El Primero 3600 berfrekuensi tinggi, jam ini mampu mengukur detik masa sehingga 1/10 saat dengan pergerakan jarum kronograf dinamik. Kejuruteraan ini bukan hanya sebagai fungsi tambahan, namun dicipta daripada seni bina mekanikalnya.
KESINAMBUNGAN MODEN – Dipadankan dengan gelang dwi-rona dan clasp lipat yang menjamin keselamatan, model ini menyerlahkan keseimbangan antara estetika dan kepraktisan. Terhad kepada 50 unit sahaja, ia menjadi simbol eksklusif evolusi dunia kronograf mewah.
G.F.J BLOODSTONE
ZENITH melanjutkan kesinambungan dengan memperkenalkan edisi terbaharu G.F.J., koleksi yang memusatkan perhatian kepada asas sebenar horologi: yakni ketulenan kronometri. Singkatan ‘initial’ dikutip sempena nama pengasasnya, Georges Favre-Jacot, model ini menandakan apresiasi buat Sejarah dan juga satu pernyataan jelas terhadap keunggulan teknikal yang terus relevan.

MENEPATI WARISAN – Sejak akhir abad ke-19, ZENITH membina reputasinya dalam merangkul anugerah kronometri. Calibre 135 lahir dalam kegemilangan ini, yang dihasilkan khusus untuk ujian ketepatan. Versi 135-O mencipta rekod tersendiri dengan 235 kemenangan, termasuk lima kejuaraan berturut-turut di Observatori Neuchâtel. Diberi nafas baharu untuk abad ke-21, kaliber ini mengekalkan binaan asal namun dipertingkatkan oleh teknologi moden. Dengan rizab kuasa 72 jam, mekanisme pelarasan tepat dan pensijilan COSC, ia mengekalkan standard ketepatan tinggi sebagai teras utama.
PENCIPTAAN BERKARAKTER – Edisi ini tampil dalam bekas emas kuning 39.5mm yang elegan. Dailnya menggabungkan batu bloodstone unik, kaunter saat kecil mother-of-pearl serta corak guilloché yang diinspirasikan daripada fasad kilang ZENITH di Le Locle membentuk komposisi visual yang seimbang dan distingitif.
NADI MEKANIKAL – Melalui caseback lut sinar, Calibre 135 memperlihatkan kemasan klasik seperti Côte de Genève dan sentuhan ruthenium gelap. Struktur simetri dan roda imbangan besar menegaskan falsafahnya sebagai sebuah mekanisme yang dibina berasaskan ketepatan.
KESINAMBUNGAN LEGASI – Terhad kepada 161 unit, G.F.J. memperkukuh kedudukannya sebagai manifestasi moden kepada legasi kronometri ZENITH – menyatukan sejarah, inovasi dan kehalusan dalam satu penciptaan.
G.F.J. TANTALUM
Terhad kepada 20 unit Sahaja. ZENITH terus menolak sempadan kehalusan ciptaan horologi dengan memperkenalkan edisi paling eksklusif G.F.J. yakni G.F.J. Tantalum. Diperbuat daripada logam tantalum, dihiasi berlian potongan baguette, penciptaan ini memperlihatkan bagaimana ketepatan kronometri boleh diterjemahkan dalam bentuk yang lebih artistik dan mencabar.

PENCIPTAAN MATERIAL – Penggunaan tantalum menjadi teras model ini. Dikenali dengan kepadatan sifat material dan tahan kakisan, logam ini mencerminkan ketelitian tinggi dalam setiap proses pembuatan. Hasilnya, bekas 39.5mm tampil dengan karakter yang dilihat berwibawa, menzahirkan satu keindahan yang bersifat understated namun penuh intensity.
ESTETIKA TERKAWAL – Dailnya menampilkan komposisi monokrom yang sofistikated, dengan permukaan onyx hitam di bahagian tengah dan kaunter saat kecil mother-of-pearl pada posisi enam. Corak guilloché pula berilhamkan seni bina kilang ZENITH, manakala indeks berlian menambah dimensi tanpa mencelakan keseimbangan visual.
TERAS PRESTASI –Calibre 135 adalah nadi utama rekaan jam tangan ini – pergerakan diperhalusi untuk standard moden. Dengan ketepatan tinggi, rizab kuasa 72 jam dan pensijilan COSC, ia mengekalkan reputasi sebagai antara kaliber kronometri terbaik.
KESINAMBUNGAN EKSKLUSIF – Sebagai edisi terhad, G.F.J. dalam tantalum ini mencerminkan gabungan antara kejuruteraan, material jarang dan estetika terkawal. Menterjemahkan simbol kemewahan yang serasa cukup untuk dihargai oleh mereka yang memahami.