Louis Vuitton buat pertama kalinya melangkah jauh ke dunia automotif menerusi kerjasama bersama Singer Vehicle Design, atelier dari California yang terkenal dengan kerja restorasi dan personalisasi Porsche 911.
Hasil kolaborasi ini ialah dua buah Porsche 911 Reimagined by Singer yang hadir dengan karakter berbeza iaitu Classic dan Classic Turbo. Kedua-duanya mengekalkan DNA Porsche 911 tetapi diberi sentuhan baru melalui material, warna dan perincian eksklusif Louis Vuitton.

Model pertama tampil sebagai sebuah coupé dengan kombinasi warna saffron, cobalt blue dan kuning. Warna tersebut bukan sekadar pilihan estetik tetapi turut mengambil inspirasi daripada sejarah Louis Vuitton dan dunia trunk perjalanan Maison tersebut.

Rekaan luar masih mengekalkan bentuk klasik Porsche 911 yang ikonik, namun beberapa elemen diberikan sentuhan baru. Antaranya ialah rak bumbung khas yang direka untuk membawa trunk, papan luncur atau ski menjadikan kereta ini seolah-olah dibina untuk perjalanan jauh.
Bahagian belakang turut menerima sentuhan halus seperti corak geometri daripada inisial L dan V pada gril pengambilan udara enjin.
Kabin dibalut dengan kulit rona natural yang diinspirasikan daripada material VVT Louis Vuitton. Jahitan kuning digunakan pada tempat duduk, pintu dan beberapa bahagian lain manakala corak berlian pada tempat duduk dan ruang bagasi mengambil inspirasi daripada teknik malletage yang sinonim dengan trunk Louis Vuitton.
Hampir setiap komponen dalam kabin turut diberi perhatian. Tombol, suis, kunci dan ventilasi udara yang biasanya menggunakan plastik digantikan dengan kemasan logam dan disiapkan secara manual.
Salah satu elemen paling menarik ialah jam mekanikal Tambour. Jam ini boleh ditanggalkan dan digunakan sebagai jam meja, menjadikannya bukan sekadar aksesori tetapi sebahagian daripada pengalaman memiliki kereta tersebut.
Jika Classic hadir dengan karakter yang lebih berani, Porsche 911 Reimagined by Singer Classic Turbo tampil dengan pendekatan yang lebih sofistikated.
Model cabriolet ini direka di bawah visi Nicolas Ghesquière, Artistic Director of Women’s Collections Louis Vuitton. Berbeza daripada Classic, ia menampilkan kemasan putih Calcaire Lutétien, dipadankan dengan aksen emas, kulit natural dan elemen kayu.
Inspirasi utama model ini datang daripada dunia automotif dan nautika. Elemen kayu digunakan pada bahagian kabin dan ruang penyimpanan belakang, memberikan suasana seperti sebuah bot klasik.
Bahagian belakang turut menampilkan spoiler besar yang menegaskan karakter turbo model ini. Pada masa sama, ruang bagasi belakang direka dengan kemasan kayu yang menyerupai dek bot.