LANGGAN

LAUNCHPAD: Platform Menaikkan Bakat Baru Asia Tenggara

Mahu mempercepatkan perjalanan bakat sia Tenggara dengan persembahan langsung, pendedahan media, kolaborasi jenama dan kandungan digital.
Published: August 18, 2026

Fast Track Entertainment (FTE) bersama rakan penjenamaan Sony Music Malaysia memperkenalkan LAUNCHPAD. Ia merupakan sebuah platform pembangunan artis baharu yang dirangka mempercepatkan perjalanan bakat muda ke pentas serantau. Lebih-lebih lagi menerusi fokus utama pengalaman persembahan secara langsung yang lebih meluas. Platform ini juga dibina mencerminkan usaha menyediakan ruang yang lebih tersusun kepada artis baru mengembangkan potensi dan membina hubungan bersama. Dalam masa sama untuk meneroka peluang dalam landskap industri muzik Asia Tenggara.

Pelancaran LAUNCHPAD telah berlangsung di PJ Performing Arts Centre menerusi sebuah acara eksklusif yang menghimpunkan penggiat industri, media, rakan strategik, rakan kolaborasi serta peminat muzik. Acara tersebut menjadi platform untuk memperkenalkan visi dan pendekatan LAUNCHPAD. Selanjutnya acara tersebut telah memberi gambaran awal mengenai bagaimana platform ini berhasrat menghubungkan bakat tempatan dan antarabangsa dengan audiens menerusi pengalaman muzik secara langsung.

Barisan Selebriti Di Acara Pelancaran

Kemuncak acara diserikan dengan persembahan daripada KIIRAS, kumpulan gadis K-pop global enam anggota dari Korea Selatan. Kehadiran kumpulan tersebut membawa nuansa muzik Korea ke pentas Malaysia sekali gus memperlihatkan potensi LAUNCHPAD sebagai ruang pertemuan bakat antarabangsa dan komuniti muzik tempatan. Persembahan kemudiannya diteruskan oleh UPRIZE. Sebuah kumpulan lelaki tujuh anggota dari Vietnam yang turut mencerminkan kepelbagaian bakat dan pengaruh muzik yang semakin berkembang.

Turut tampil siang itu, Yusry Abdul Halim. Satu nama yang cukup dikenali dalam industri hiburan Malaysia sebagai penyanyi, pelakon, pengarah, komposer dan penerbit. Sebagai artis di bawah Sony Music Malaysia, penglibatan Yusry memberikan dimensi tersendiri kepada acara berkenaan. Ini diperlihatkan menerusi kesinambungan antara pengalaman artis yang telah lama berkarya dengan generasi baru yang sedang membina laluan mereka sendiri.

Misi LAUNCHPAD

Jelas, LAUNCHPAD dibangunkan dengan visi untuk merapatkan hubungan antara artis dan audiens di seluruh Asia Tenggara. Dalam landskap muzik hari ini yang mencabar, peluang untuk artis berkembang tidak lagi terhad kepada pasaran tempatan semata-mata. Akses kepada audiens serantau, kandungan digital dan jaringan industri menjadi antara elemen yang perlu dititikberatkan dalam membentuk perjalanan kerjaya mereka.

Sehubungan itu, LAUNCHPAD turut mahu sentiasa membuka ruang kepada artis untuk mendapatkan pendedahan media, membina kerjasama bersama jenama, menghasilkan kandungan digital asli serta meneroka peluang kolaborasi rentas negara. Pendekatan ini membolehkan perkembangan seseorang artis dilihat daripada perspektif yang lebih luas. Tidak hanya melalui muzik dan persembahan tetapi turut merangkumi identiti, kreativiti, kandungan serta hubungan bersama komuniti.

Kerjasama antara FTE dan Sony Music Malaysia juga memperlihatkan kepentingan jaringan industri dalam menyokong perkembangan bakat baharu. Dengan menggabungkan kepakaran, rangkaian dan akses kepada pasaran yang lebih luas, LAUNCHPAD berpotensi menjadi titik mula kepada lebih banyak pertukaran idea kreatif.

Pelancaran sulung ini akhirnya menandakan permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih besar. Dengan misi dan visi jelas, LAUNCHPAD mahu membina jambatan yang menghubungkan mereka dengan apa sahaja peluang di luar sempadan. Dalam usaha menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah ekosistem muzik yang dinamik, LAUNCHPAD layak diangkat sebagai ruang pemula untuk sesiapa sahaja bereksperimen dan melangkah lebih jauh.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down