LANGGAN

Dua Inisiatif Mengangkat Kuala Lumpur Sebagai Hab Kopi Asia

Pelancaran Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 menghubungkan budaya, komuniti dan industri.
Published: August 18, 2026

Kuala Lumpur bakal menjadi titik pertemuan baru buat komuniti kopi Asia. Hal ini dilakukan menerusi dua inisiatif besar yang dirangka untuk memperluas jaringan industri, pertukaran pengetahuan dan peluang kerjasama serantau.

Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 telah diperkenalkan sebagai platform menghubungkan penggiat kopi tempatan dengan komuniti antarabangsa. Selain itu, inisiatif ini juga ditubuhkan untuk memperkukuh aspirasi ibu negara sebagai salah satu hab kopi penting di rantau ini.

Kedua-dua acara tersebut diperkenalkan pada sebuah majlis rasmi di Pavilion Damansara Heights. Acara perasmian tersebut berjaya menghimpunkan pemain industri, pengusaha kopi, rakan strategik, komuniti pencinta kopi dan rakan media. Inisiatif berkenaan turut telah mendapat sokongan Tourism Malaysia. Ini jelas mencerminkan potensi budaya kopi sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang mampu memperkenalkan sisi Malaysia yang lebih kontemporari dan dekat dengan gaya hidup bandar.

Dari Kopitiam Ke Kafe Moden

Budaya kopi Malaysia sememangnya berakar dengan sejarah dan kehidupan seharian masyarakat. Daripada secawan kopi O, kopi C dan kopi tarik yang dinikmati di kopitiam. Landskap kopi tempatan kita berkembang dengan kemunculan kafe moden, pemanggang biji kopi serta komuniti kopi khusus yang semakin berpengaruh.

Peralihan ini mencerminkan evolusi cita rasa pengguna dan turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia memperkenalkan identiti kopinya kepada khalayak ramai. Rutin meminum kopi kini bukan lagi hanya untuk sebelum memulakan hari, sebaliknya berkembang menjadi sebahagian daripada budaya dan pengalaman sosial.

Dalam konteks pelancongan, pengalaman menikmati kopi juga menawarkan perspektif berbeza terhadap sesebuah destinasi. Pengunjung berpeluang meneroka mercu tanda dan tarikan popular sambil mengenali budaya tempatan menerusi makanan, minuman, ruang sosial dan perniagaan yang membentuk kehidupan sesebuah bandar.

Menghubungkan Komuniti Kopi Di Asia

Antara perkembangan utama yang mengiringi inisiatif ini merupakan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA) yang berpangkalan di Korea Selatan. Kerjasama tersebut menjadi asas kepada penganjuran Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Dirancang berlangsung pada 2 hingga 4 April 2027, sidang kemuncak ini akan dianjurkan serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027. Ini turut dirancang dengan penyertaan melibatkan pelbagai lapisan industri termasuk pengeluar kopi, pemanggang biji kopi, pengusaha kafe, usahawan dan pembuat profesional kopi seluruh Asia.

Tidak hanya bakal menjadi sebuah perhimpunan pertemuan pengusaha industri, sidang kemuncak ini turut dilihat berpotensi menjadi ruang pertukaran idea dan perspektif mengenai industri kopi. Pada masa sama, ia membuka peluang kepada penggiat tempatan membina hubungan perniagaan serta meneroka kolaborasi baharu di peringkat serantau.

Merayakan Industri Tempatan

Sebelum berlangsungnya sidang kemuncak tersebut nanti, satu Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan membuka tirai terlebih dahulu pada 6 hingga 9 November 2026. Festival ini dijangka menjadi ruang untuk orang ramai dan pelawat antarabangsa menyelami kepelbagaian budaya kopi Malaysia. Kemuncak agenda 2027 pula bakal diserikan dengan Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia pada malam 3 April. Ia merupakan sebuah pengiktirafan yang memberi tumpuan kepada kafe dan pengusaha yang mencipta standard baharu dalam industri kopi rantau ini.

Kopi Sebagai Pengalaman Bandar

Dengan ekosistem gaya hidup yang semakin dinamik, Kuala Lumpur dan Selangor memiliki landskap sesuai sebagai destinasi kopi serantau. Penganjuran acara berskala antarabangsa seperti ini turut dilihat akan membawa kesan baik merentasi industri. Lebih-lebih lagi khusus kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan serta pelancongan. Pelancaran laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak Kopi Asia turut telah dilakukan bersama membuka akses lebih mudah kepada pemain industri dan bakal peserta mendapatkan maklumat mengenai program serta pelbagai peluang penyertaan.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down