LANGGAN

IMMERSIO 2026: PASAR Mengangkat Kreativiti Dan Seni

Acara ini berlangsung 11 hingga 27 September 2026 di GMBB KL, Muzium Telekom, Ombak KLCC dan REXKL.
Published: September 22, 2026

Bayangkan suasana pasar di serata Asia Tenggara yang cukup dekat dengan kehidupan seharian kita, serba meriah dan mempunyai keunikan tersendiri. Suara penjual melaungkan harga, papan tanda tulisan tangan yang terselit kreatif antara barangan, perbualan yang berselang-seli dalam pelbagai bahasa dan loghat. Ia termasuk lautan manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing.

Melalui idea, pemerhatian dan pengalaman ini, IMMERSIO 2026: PASAR mengangkat konsep pasar sebagai titik tolak melihat semula perkara yang sering kita lalui ini dengan lebih kreatif. Edisi ketujuh festival seni media baharu anjuran Filamen ini berlangsung daripada 11 - 27 September 2026 di GMBB Kuala Lumpur, Muzium Telekom dan REXKL. Ia menghimpunkan lebih 100 pengkarya dan pengusaha teknologi kreatif dari seluruh Asia. Lebih 70 karya merangkumi instalasi digital dan interaktif, unjuran, karya visual serta arca dipamerkan.

Mengapa Konsep PASAR Ditakrif Sebegitu oleh Filamen?

Di seluruh Asia Tenggara, pasar biasanya menjadi tempat untuk membeli dan menjual barangan. Ia merupakan ruang pertemuan, tempat peniaga tawar-menawar, terserempak dengan kenalan lama, membeli bahan mentah dan makanan yang sudah siap dimasak. Sementara di sudut lain pula sudah tentu kedengaran suara peniaga bersahut-sahutan daripada segenap penjuru. Lebih menarik lagi, suasana kedai atau warung di mana golongan tua sedang menghirup kopi sambil berbual cerita di sekitar mereka.

Bagi sesetengah individu, pasar menyimpan memori zaman kanak-kanak. Bagi yang lain, ia mungkin sekadar tempat mendapatkan barang harian dan rutin kelengkapan. Walaupun pengalaman ini dikongsi merentasi rantau dalam apa jua suasana, apa yang berlaku di mana-mana pasar kepada seseorang boleh sahaja ditafsirkan oleh seorang pengkarya seni dalam bentuk yang sangat berbeza dan paling kreatif.

Itulah yang berlaku untuk IMMERSIO 2026. Tafsiran apa jua suasana yang berlaku di pasar-pasar tersebut diambil dan diolah dalam pelbagai bentuk seni yang tidak dijangka. Perdagangan batu akik yang pernah popular di Indonesia diterjemahkan menjadi sebuah permainan video, manakala kenangan terhadap pasar basah Singapura dihidupkan semula menerusi dunia digital yang dihuni penjual berkepala ikan. Di negara kita sendiri, konsep ikat tepi yang sering dilihat di pasar dengan simpulan plastik yang cukup sinonim dengan sebungkus kopi atau teh diangkat menjadi karya seni.

Perspektif ini turut diperluaskan menerusi penyertaan penggiat seni dan kolektif dari Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Hong Kong. Ia sudah tentu menjadikan PASAR sebuah titik pengalaman, pemerhatian dan cara melihat yang berbeza dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Apa Kata Penganjur?

Pengasas bersama Filamen, Abdul Shakir turut berkongsi kepada media yang hadir pada hari pertama festival, menyatakan perkara yang begitu biasa dalam kehidupan seharian sering kali membuatkan kita berhenti sejenak memberikan perhatian. Melalui PASAR, festival ini mengajak pengunjungnya untuk melihat semula sesuatu yang mungkin sudah dilalui ratusan kali, kali ini menerusi perspektif yang berbeza.

Di GMBB, PASAR mengambil alih Aras 5 dengan kira-kira 45 karya daripada penggiat seni dan kolektif mapan serta generasi baharu. Diketuai oleh Koh Kai Ting, pameran ini direka seperti sebuah perjalanan merentasi pasar. Para pengunjung boleh bergerak dari satu karya ke karya lain, menemukan pelbagai bentuk visual, objek, bunyi dan pertemuan yang tidak dijangka dari seluruh Asia Tenggara.

Pengalaman IMMERSIO 2026 turut berada di dua lokasi lain. Di Muzium Telekom, tumpuan diberikan kepada amalan seni media baharu yang sedang berkembang. Antaranya karya para pelajar daripada MMU, UNIMAS dan The One Academy. Sementara itu, di REXKL, lokasi persembahan menjadi fokus sesi perkongsian bersama penggiat pada hujung minggu terakhir festival.

Lokasi Istimewa

IMMERSIO turut memperluaskan programnya ke Ombak KLCC. Ini dilakukan menerusi pengalaman mesra keluarga yang mengajak kanak-kanak mencipta dinosaur imaginasi mereka sendiri sebelum melihat makhluk tersebut dihidupkan menerusi unjuran teknologi digital. Sejak diperkenalkan pada 2017, IMMERSIO berkembang sebagai sebuah platform untuk perkembangan seni digital dan media baharu di Asia Tenggara. Ia dilihat berpotensi mempertemukan penggiat seni baharu dan mapan untuk bereksperimen, berkarya serta berhubung dengan khalayak. Untuk edisi kali ini, IMMERSIO mahu mengajak orang ramai dan pencinta seni melihat kepelbagaian PASAR dalam bentuk yang paling menarik.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down