Membakar kepincangan, membawa diri ke alam bebas yang mengheningkan cita-citanya yang sudah lama dikepal erat. Dari Brunei Rizal Rasid datang, berhijrah ke Kuala Lumpur, memburu impian dan kini, dia sudah berpijak di atas persada hiburan sebagai seorang penyanyi serta penghibur. Menyertai pertandingan ‘Big Stage : Alpha’, lalu meraih tempat ketiga dan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan Alpha – Rizal mempertaruhkan suaranya sebagai lead vocalist, merangka harmoni dalam kumpulan Alpha.
“Sudah sedasawarsa sudah saya berada dalam industri ini. Saya mula betul-betul membuat persembahan di atas pentas adalah pada tahun 2013 dan dari situlah terbit suatu aspirasi yang pupuk dalam diri untuk menjadi seorang penyanyi,” kongsi Rizal, membongkar kisah silamnya. Pabila sudah memposisikan diri dalam boyband, ia adalah suatu pengalaman yang di luar kebiasaannya. Kerana Rizal sebelum-sebelum ini bertumbuh sebagai penyanyi solo. “Saya mahu mencuba kelainan. Saya seorang yang selalu bereksperimen dan saya selalu anggap percubaan itu memperlihatkan actual growth.”
Apakah gaya peribadi yang sinonim dengan Rizal Rasid?
Stail saya lebih terarah kepada gaya kasual jalanan. Pada masa yang sama, saya suka bereksperimen dan senantiasa mahu mengenakan gaya yang mencabar kelaziman. Terutama sekali bila menghadirkan diri ke event. Setiap acara yang saya hadir itu, saya akan ‘kaji’ terlebih dahulu, faham tema acara tersebut dan mengadaptasikan diri dengan atmosfera.
Bagaimana anda tertarik kepada dunia fesyen dan gaya hidup?
Saya pada asalnya bekerja sebagai pramugara. Makanya, acapkali merantau jauh ke destinasi-destinasi seperti London, Australia atau Dubai, saya terdedah dengan dunia fesyen luar dan sekali gus, terbetik rasa suka berfesyen.
Dalam banyak-banyak destinasi yang pernah ditujui, kota raya yang mana satu anda rasakan sangat-sangat stylish?
Tokyo, Jepun. Apalagi bila saya ke Shibuya dan melihat setiap individu di Tokyo sangat stylish. Tak kiralah usia atau rupa. Ia menuai satu harapan tinggi, malah mempengaruhi cara saya berpakaian.
Oh, bagaimana fashion scene di Brunei?
Memang ada stylish people di Brunei. Fashion scene di Brunei sebenarnya agak memberangsangkan. Rujukan-rujukan kami tentang fesyen agak meluas dan kami mengadaptasikan aspek fesyen tersebut dalam kehidupan harian. Oh, dan saya perasan anak-anak muda di Brunei banyak terpengaruh dengan gaya-gaya Y2K.
Jenama high fashion yang anda taasub?
Saya suka jenama Balenciaga. Terkadang saya akan thrift pakaian-pakaian saya untuk memimik look Balenciaga. Haha!
Siapa figura stylish yang anda pandang tinggi? Baik lokal atau antarabangsa.
Saya sangat menyukai gaya Gajen Chandra. Saya suka cara pembawaan dirinya, malah dia berpakaian ringkas pun tetap nampak stylish. Kalau antarabangsa, saya banyak merujuk gaya-gaya pempengaruh fesyen David Guison dari Filipina. Cara dia kurasi laman Instagram-nya juga teratur dan ada penceritaan.
Semenjak menjadi sebahagian daripada Alpha, apakah gaya anda turut berubah?
Semenjak saya menjadi Alpha, saya menerokai kepelbagaian dalam bab berfesyen. Apalagi bila sudah berkumpulan, koordinasi atau keseragaman gay aitu amat penting dalam membentuk imej. Untuk Alpha, kami menelaah gaya-gaya K-pop dan mengutip keserasian gaya untuk dipadankan dengan diri kami.
Item fesyen yang tidak patut pudar?
Checkered pants! Pernah suatu ketika dahulu, semua orang pasti menggayakan seluar bercorak petak sebegini. Lebih-lebih lagi zaman Ska. Kita patut mengembalikan checkered pants.
Produk grooming yang anda obsess sekarang?
Spray rambut OSiS. OSiS+Hold Fixation, secara spesifiknya.
Pesan anda untuk anak-anak muda yang mahu berfesyen?
Buat apa sahaja yang anda mahu. Jangan membataskan diri dan terlalu memikirkan sangat apa orang lain cakap. If you think you look great, go for it.