LANGGAN

5 Destinasi Wajib Lawati Di Abu Dhabi Bersama Etihad

Etihad Stopover Programme
Published: September 28, 2026

Dari Kuala Lumpur ke Milan, Etihad Airways menawarkan lebih daripada sekadar perjalanan udara menerusi pengalaman Business Class dan Stopover Programme percuma di Abu Dhabi.

Ada perjalanan yang sekadar membawa kita dari satu destinasi ke destinasi lain. Namun, apabila perjalanan bermula dari Kuala Lumpur menuju Milan untuk menghadiri Milan Men’s Fashion Week 2026, setiap detik terasa seperti sebahagian daripada pengalaman itu sendiri.

Abu Dhabi

Kali ini, saya terbang bersama Etihad Airways, syarikat penerbangan kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kabin Business Class. Dari Kuala Lumpur, penerbangan membawa saya ke Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Milan. Namun, pengalaman tersebut tidak berakhir sebaik sahaja mendarat. Dalam perjalanan pulang, saya memilih untuk memperlahankan rentak dengan menghabiskan dua malam di Abu Dhabi menerusi Stopover Programme percuma Etihad. Sebelum meneruskan penerbangan kembali ke Kuala Lumpur.

Abu Dhabi merupakan destinasi yang menarik kerana ia berjaya mengimbangi warisan budaya dengan pembangunan moden. Daripada sebuah penempatan kecil di pulau yang berkembang selepas penemuan sumber air, Abu Dhabi kini berubah menjadi ibu kota UAE yang kosmopolitan. Lengkap dengan tarikan budaya, seni, pantai, hidupan liar, pengalaman keluarga serta acara sukan bertaraf antarabangsa.

Nama Abu Dhabi sendiri bermaksud ‘Tanah Gazel’ dalam bahasa Arab. Menurut kisah tempatan, emiriah ini bermula apabila seekor gazel membawa sebuah suku pengembara menuju sumber air di sebuah pulau yang ketika itu hanya mempunyai kira-kira 300 pondok barasti, beberapa bangunan karang dan kubu pemerintah. Daripada penempatan sederhana itu, Abu Dhabi berkembang menjadi sebuah kota moden dengan latar pencakar langit dan kehidupan urban yang dinamik.

Jika anda mempunyai masa untuk meneroka Abu Dhabi ketika melakukan stopover, berikut lima destinasi yang wajar dimasukkan dalam jadual anda:

1. TEAMLAB PHENOMENA ABU DHABI

Dibuka pada 2025, teamLab Phenomena Abu Dhabi merupakan muzium seni digital imersif di Saadiyat Cultural District, hasil karya kolektif seni antarabangsa teamLab. Berbeza daripada galeri seni konvensional, karya di sini berubah mengikut pergerakan pengunjung. Cahaya, udara, air dan pergerakan manusia bergabung untuk menghasilkan dunia visual yang sentiasa berubah. Setiap kunjungan juga menawarkan pengalaman yang berbeza.

teamlab abu dhabi

Antara instalasi yang menarik ialah Order in Chaos, di mana sapuan warna yang tidak terhitung jumlahnya berubah dan tersusun semula apabila pengunjung bergerak di dalam ruang, menghasilkan corak yang muncul dan menghilang. Light Vortex pula membawa pengunjung ke dalam struktur berpusar yang diinspirasikan oleh pergerakan arus lautan. Ia bukan sekadar tempat untuk melihat seni, tetapi sebuah pengalaman yang perlu dirasai sendiri.

2. ZAYED NATIONAL MUSEUM

Bagi mengenali sejarah UAE dengan lebih dekat, Zayed National Museum merupakan antara destinasi utama di Saadiyat Cultural District. Muzium ini meraikan budaya dan sejarah UAE, selain mengangkat legasi Bapa Pengasas UAE, Allahyarham Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan. Pengunjung boleh menyelusuri lebih 300,000 tahun sejarah manusia di rantau ini menerusi enam galeri tetap serta pameran sementara.

Zayed National Museum

Selain meneroka koleksi dan pameran, pengunjung turut boleh menyertai pelbagai program serta lawatan berpandu untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah dan perkembangan UAE. Muzium ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 8 malam.

3. LOUVRE ABU DHABI

Terletak di Saadiyat Island, Louvre Abu Dhabi merupakan muzium universal pertama di dunia Arab dan antara mercu tanda budaya paling ikonik di bandar ini.

Lourve Abu Dhabi

Konsepnya dibina berasaskan satu idea bahawa tamadun manusia sebenarnya mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Koleksinya merangkumi karya yang mempunyai kepentingan sejarah, budaya dan sosiologi, daripada zaman purba hingga era kontemporari. Bagi pencinta seni dan budaya, Louvre Abu Dhabi menawarkan perspektif yang luas tentang bagaimana manusia, masyarakat dan tamadun saling berkait merentasi sempadan dan zaman.

4. SHEIKH ZAYED GRAND MOSQUE

Tidak lengkap kunjungan ke Abu Dhabi tanpa menjejakkan kaki ke Sheikh Zayed Grand Mosque. Salah satu mercu tanda paling mengagumkan di UAE. Masjid ini merupakan antara yang terbesar di dunia dan lahir daripada visi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan untuk mewujudkan sebuah ruang yang terbuka, inklusif dan mampu memperkenalkan keindahan seni bina serta budaya Islam kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang. Pembinaannya sendiri merupakan satu bentuk kolaborasi budaya antarabangsa, melibatkan tenaga mahir dari seluruh dunia. Antaranya ialah 1,300 pengukir wanita yang menghasilkan secara manual permaidani di ruang solat utama yang pernah diiktiraf sebagai permaidani terbesar di dunia.

Zayed Mosque

Di dalam kompleks marmar ini, pengunjung dapat melihat pelbagai perincian luar biasa. Termasuk candelier bersalut emas dan dihiasi kristal Swarovski, mozek marmar berskala besar di halaman serta kolam reflektif yang menyerlahkan deretan tiang dihiasi amethyst dan jasper. Di luar, empat menara masjid setinggi 106 meter menjadi antara ciri seni bina yang paling menyerlah.

5. ST. REGIS SAADIYAT ISLAND RESORT

Selepas seharian meneroka bandar, apa yang lebih baik daripada memperlahankan rentak di sebuah resort pantai lima bintang? Menghadap pantai Saadiyat yang masih terpelihara, perairan biru Teluk Arab serta Saadiyat Beach Golf Club. The St. Regis Saadiyat Island Resort menawarkan pengalaman percutian yang lebih tenang, tidak jauh dari pusat bandar Abu Dhabi dan Saadiyat Cultural District.

St. Regis Abu Dhabi

Tetamu boleh menikmati rawatan di The St. Regis Spa, berenang di kolam renang dalaman atau salah satu daripada tiga kolam renang luaran, sebelum bersantai di pantai persendirian Abu Dhabi. Pilihan gastronomi turut menjadi sebahagian daripada pengalaman dengan enam restoran dan bar. Bilik serta suite pula menggabungkan seni bina berinspirasikan Mediterranean. Dengan interior kontemporari dan material semula jadi, lengkap dengan balkoni peribadi serta perkhidmatan St. Regis Butler yang tersedia sepanjang hari. Untuk stopover selama dua malam, resort ini menawarkan ruang yang sesuai untuk berehat sebelum kembali kepada rentak perjalanan.

LOUNGE BUSINESS CLASS ETIHAD

Abu Dhabi Airport
Terminal A - Lounge

Sebelum meneruskan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, penumpang Business Class boleh menikmati kemudahan Etihad Business Lounge yang luas dan selesa di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed. Daripada ruang untuk berehat kepada pilihan makanan dan minuman, lounge ini menjadi tempat ideal untuk memperlahankan rentak sebelum kembali ke rutin harian. Kemudahan daftar masuk bagasi yang tersedia di ruang lounge turut menjadikan proses sebelum penerbangan lebih lancar dan selesa.

Akhirnya, pengalaman terbang dari Kuala Lumpur ke Milan bersama Etihad membuktikan bahawa perjalanan tidak semestinya hanya tentang destinasi terakhir. Dengan Stopover Programme, Abu Dhabi boleh menjadi sebahagian daripada cerita perjalanan itu sendiri. Sama ada untuk menikmati seni, memahami sejarah, mengagumi seni bina atau sekadar memperlahankan rentak sebelum meneruskan perjalanan seterusnya.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down