Tahun 2025 menandakan kematangan baharu dalam dunia permainan video di mana skala produksi besar bertemu keberanian kreatif dan inovasi tidak lagi terhad kepada teknologi semata-mata. Dalam masa sama ia tetap mementingkan permainan emosi, naratif cerita dan rekaan pengalaman pemain.
Daripada sekuel yang dinanti-nanti sekian lama hingga judul bebas yang mencabar batas konvensi genre, tahun ini membuktikan bahawa permainan video terus berevolusi sebagai medium hiburan yang berpengaruh dan berbudaya. Pilihan ELLE Men ini menyorot lima judul permainan video paling menonjol yang menetapkan penanda aras baharu dan boleh menjadi pilihan untuk tahun mendatang.
Tahun ini dibuka dengan sekuel kepada salah satu RPG sejarah paling imersive pernah dihasilkan. Berlatarbelakangkan Bohemia abad ke-15 yang bergolak akibat perang saudara, Kingdom Come: Deliverance II memperhalusi segala kekuatan pendahulunya, bermula daripada sistem pertempuran pedang yang realistik hinggalah keputusan peranan yang memberi kesan mendalam.
Diceritakan dari perspektif orang pertama, permainan ini menuntut kesabaran, strategi dan kepekaan terhadap realiti sejarah. Untuk pemain yang menghargai realisme dan kedalaman naratif, ini adalah sebuah pengalaman yang tidak boleh dilepaskan.
Hazelight Studios sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju permainan ko-operatif berasaskan cerita. Selepas kejayaan It Takes Two, Split Fiction muncul sebagai evolusi seterusnya. Kini lebih matang, kompleks dan mencabar.
Setiap detik permainan menuntut kerjasama mutlak antara dua pemain dengan teka-teki berasaskan fizik, platforming yang dinamik serta elemen aksi dan tembak-menembak yang mendebarkan. Ia diciptakan tidak hanya sebagai permainan bersama tetapi sebuah pengalaman hubungan yang direka dengan penuh kecerdikan.
Antara kejutan terbesar tahun ini, Blue Prince adalah bukti bahawa inovasi sebenar sering lahir daripada ruang indie. Permainan ini menggabungkan elemen roguelike dan teka-teki seni bina dalam sebuah rumah agam magikal yang sentiasa berubah.
Pemain perlu membina laluan dengan memilih bilik secara strategik, sambil mengurus bilangan “langkah” harian yang terhad sebelum dunia direset. Hasilnya adalah pengalaman intelektual yang hidup di mana struktur, logik dan misteri saling berkait dengan elegan.
Donkey Kong kembali dengan penuh gaya dalam Bananza, sebuah platformer 3D sandbox yang meraikan kreativiti dan kehancuran namun masib terkawal. Bersama Pauline, pemain perlu meneroka dunia luas yang boleh dimusnahkan, digali dan dibentuk semula.
Transformasi haiwan unik menambah variasi permainan, sementara fokus terhadap penerokaan bawah tanah memberi nafas segar kepada francais klasik ini. Bananza membuktikan bahawa ikon lama masih mampu berevolusi tanpa kehilangan identitinya.
Sebagai sekuel kepada Ghost of Tsushima, judul ini meneruskan keindahan sinematik Jepun abad ke-17 dengan pendekatan yang lebih luas dan berani. Penambahan elemen baharu seperti senjata api dan teropong pengintip memperkayakan mekanik permainan, selari dengan perubahan era.
Paling menonjol, variasi aktiviti sampingan yang dirancang dengan teliti menjadikan dunia permainan terasa hidup dan bermakna tidak hanya sebagai pengisian. Ia muncul sebagai antara eksklusif PlayStation 5 paling kuat dan berkelas tahun ini.
Lima nama besar permainan video ini mencerminkan 2025 sebagai tahun di mana permainan video tidak lagi terikat pada satu definisi. Ia boleh menjadi realistik, mendebarkan, mencabar minda dan meriah. Semuanya dalam satu medium yang semakin matang. Untuk lelaki moden yang menghargai rekaan, cerita dan pengalaman yang bernilai inilah permainan yang mendefinisikan sebuah tahun luar biasa dalam dunia gaming.