Penyanyi dan penulis lagu yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Ahns bakal membawa jelajah album Southeast Express ke seluruh Malaysia menerusi Satellite. Ia merupakan sebuah siri jelajah yang akan berlangsung dari September hingga November 2026. Jelajah ini akan singgah di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Dalam masa sama setiap persembahan akan diiringi bersama pemuzik tempatan serta sesi mendengar eksklusif menjelang pelancaran rasmi album pada 16 Oktober 2026.
Berteraskan pertukaran muzik, tempat dan cerita, Satellite mencerminkan rasa ingin tahu yang menjadi nadi kepada muzik Ahns. Ia memperlihatkan cara bermuzik yang melangkaui apa yang jelas di hadapan mata untuk menemukan sesuatu yang mungkin membuatkan kita mahu berhenti sejenak, memerhati dunia sekeliling dan mengenalinya dengan lebih dekat.

Southeast Express kini berkembang menjadi sebuah album sulung yang mengandungi 10 lagu. Ia dibentuk oleh pengalaman sendiri di rumah yang dilanda banjir, kawasan pinggir bandar yang sarat dengan pembangunan industri, memori keluarga serta sudut-sudut kehidupan seharian yang sering terlepas daripada pemerhatian. Ditulis sepanjang tempoh sedekad, album ini meninjau semula pengalaman peribadi tersebut daripada perspektif Ahns hari ini. Dengan kata lain, segala memori merumuskan lagi tempat dan detik yang kelihatan biasa akhirnya boleh menjadi ingatan yang dibawa sepanjang hidup.
Sebagai contoh, menerusi lagu Swimming, pengalaman banjir ketika zaman kanak-kanak Ahns diangkat sebagai sebuah kenangan yang tidak disangka-sangka menggembirakan. Ketika air mula memasuki rumah, dua beradiknya itu melihatnya dengan rasa teruja. Sedikit pun tanpa memahami sepenuhnya keresahan yang sedang berlaku di sekeliling kota mereka. Situasi yang sukar akhirnya menjadi memori zaman kanak-kanak yang bahagia buat Ahns dan adiknya. Keadaan tersebut menjadikan situasi itu sebuah kontras yang memperlihatkan kecenderungannya mencari sisi gembira di tempat yang pada awalnya mungkin tidak menjanjikannya apa-apa.
Di satu situasi lain, rasa ingin tahu itu turut membawa Ahns melangkaui persekitaran zaman kanak-kanaknya. Ketika berkunjung ke Port Klang, dia menyusuri kawasan di bawah sebuah jambatan, menjangkakan pemandangan yang keras dan asing. Sebaliknya, dia menemukan sebuah komuniti nelayan yang menjalani kehidupan mereka di sebalik kawasan tersebut. Apa yang mungkin kelihatan seperti sebuah lokasi biasa atau kurang menyenangkan bertukar menjadi ruang untuk berehat. Selain ruang meneroka dan menemukan sesuatu yang baharu, sekali gus mengukuhkan ketertarikannya terhadap tempat-tempat yang hanya memperlihatkan sisi sebenar apabila kita berhenti dan melihatnya untuk kali kedua.
Pertembungan antara rupa sesebuah tempat dan pengalaman mereka yang menghuninya menjadi antara tema yang berulang dalam Southeast Express. Ahns tidak cuba meromantisasi persekitaran tempat dia membesar. Sebaliknya, dia mencari cerita, karakter dan detik keterhubungan manusia yang tersembunyi di dalamnya.
Rasa terhadap tempat yang sama turut diterjemahkan dalam persembahan langsung Ahns. Menerusi setiap persembahan, muziknya digandingkan dengan rakaman visual yang dirakam dan disunting sendiri sepanjang beberapa tahun. Visual tersebut membuka ruang buat penonton menyaksikan manusia, persekitaran serta detik-detik harian yang membentuk dunia Southeast Express — membawa pengalaman album itu melangkaui lagu-lagu yang didengarkan.
10 Oktober 2026
Kuching — Purrfect Studio
11 Oktober 2026
Kota Kinabalu — TakeOneKK
16 Oktober 2026
Kuala Lumpur — Raptroom
16 Oktober 2026
Southeast Express — Pelancaran rasmi album