LANGGAN

Apple Memperkenalkan iPhone Duo

iPhone pertama Apple dengan reka bentuk boleh lipat dengan dua skrin, cip A20 Pro dan teknologi iOS 27.
Published: September 22, 2026

Apple secara rasmi memperkenalkan iPhone Duo, model iPhone pertama yang didatangkan dengan reka bentuk boleh lipat. Menggabungkan kemasan premium, prestasi pro dan pendekatan baharu terhadap penggunaan skrin, iPhone Duo direka untuk menawarkan pengalaman lebih fleksibel tanpa mengorbankan identiti Apple serta kemudahan penggunaan yang sinonim dengan iPhone.

Ciri Luaran

Apabila dibuka, iPhone Duo menampilkan skrin dalaman Super Retina XDR berukuran 7.6 inci — skrin terbesar pernah ditawarkan pada sebuah iPhone. Permukaan nano-texture pula membantu mengurangkan pantulan cahaya dan silau, selain menjadikan kesan lipatan pada skrin kurang ketara. Apabila dilipat, ia beralih kepada skrin luaran berukuran 5.4 inci yang menawarkan 90 peratus keluasan skrin iPhone 18 Pro. Tentunya menjadi reka bentuk yang lebih kompak dan mudah dimasukkan ke dalam poket. Kedua-dua skrin menggunakan nisbah aspek yang sama bagi memastikan kandungan kekal berskala secara berkadar ketika peranti dibuka atau ditutup.

Daripada segi rekaan badan, iPhone Duo menggunakan titanium gred 5 dengan kemasan cermin berkilat, selain engsel bercetak 3D yang didatangkan dengan kemasan micro-blasted berbeza. Bahagian belakangnya dilindungi Ceramic Shield, manakala bahagian hadapan menggunakan Ceramic Shield 2 yang menawarkan ketahanan calar sehingga tiga kali lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Ia turut mempunyai penarafan IP68 untuk ketahanan terhadap percikan air, air dan habuk.

Engselnya pula dibangunkan menggunakan lebih daripada 100 komponen bagi mengawal pergerakan ketika dibuka dan ditutup, selain menyokong bahagian tengah skrin. Struktur dalaman turut diperkuatkan dengan rangka sokongan dan sisipan gentian seramik pada antena untuk meningkatkan ketegaran peranti.

Perincian Kamera

Untuk perincian fotografi, iPhone Duo dilengkapi kamera utama 48MP Fusion. Ia mampu merakam imej sehingga resolusi 48MP tanpa shutter lag dengan 24MP sebagai resolusi lalai. Kamera ini turut menawarkan zum 2x berkualiti optikal serta sistem pemprosesan imej baharu yang membantu menghasilkan perincian lebih tajam, termasuk dalam keadaan cahaya rendah.

Kamera 48MP Fusion Ultra Wide pula menawarkan sudut pandangan lebih luas serta keupayaan fotografi makro. Front Camera Centre Stage boleh mengambil foto dan video dalam pelbagai orientasi secara automatik. Antara ciri baharu yang didatangkan khusus menerusi reka bentuk boleh lipat ialah Smart Take. Ciri tersebut yang menggunakan model AI pada peranti membolehkan pengguna mengenal pasti subjek bersedia sebelum mengambil gambar secara automatik. Pengguna juga boleh menggunakan kamera belakang beresolusi lebih tinggi untuk swafoto sambil melihat pratonton pada skrin luaran.

Reka bentuk dua skrin ini turut membuka beberapa pengalaman baharu seperti Duo Preview. Ciri tersebut membolehkan subjek melihat pratonton gambar dan memastikan posisi serta komposisi sebelum foto dirakam. Kid Cue pula menggunakan animasi Peanuts pada skrin luaran untuk menarik perhatian kanak-kanak ketika bergambar,. Selanjutnya, Duo FaceTime membolehkan individu lain menyertai panggilan video melalui skrin luaran.

Daripada segi video, kamera utama menyokong rakaman 4K pada 120fps dalam Dolby Vision, selain keupayaan menghasilkan kesan gerak perlahan. Pengguna juga boleh menambah kesan sinematik selepas rakaman sehingga 60fps, sementara Audio Mix menggunakan algoritma baharu untuk meningkatkan kualiti suara dan mengasingkan muzik dengan lebih baik.

Peranti Sisstem

iPhone Duo turut menerima versi iOS 27 yang diolah khusus untuk reka bentuk boleh lipatnya. Antara perubahan utama ialah kawalan Lock Screen, Dock dan navigasi aplikasi yang diletakkan pada bahagian sisi untuk memaksimumkan ruang menegak. Apabila dibuka, skrin memaparkan dua halaman Home Screen bersama Today View, manakala Dynamic Island turut direka semula agar sesuai dengan susun atur skrin luaran dan dalaman.

Keupayaan multitugas juga menjadi antara fokus utama. Split View membolehkan dua aplikasi dibuka bersebelahan buat kali pertama pada iPhone, selain keupayaan membuka dua tetingkap daripada aplikasi yang sama seperti Safari dan menyimpan pasangan aplikasi untuk diakses semula kemudian.

Di sebalik reka bentuknya yang nipis, iPhone Duo dikuasakan cip A20 Pro yang sama digunakan pada iPhone 18 Pro. Sistem pengurusan haba baharu menggabungkan cip tersebut dengan ruang wap khusus bagi membantu mengekalkan prestasi ketika melakukan tugasan berat seperti multitugas, permainan dan pemprosesan AI. Apple menyatakan iPhone Duo menawarkan sehingga 35 peratus prestasi berterusan lebih baik berbanding iPhone 17 Pro.

Jangka Hayat Bateri

Bateri pula menggunakan seni bina dwi-bateri, dengan satu bateri ditempatkan pada setiap bahagian peranti. Menurut Apple, iPhone Duo mampu menawarkan sehingga 31 jam main balik video menggunakan skrin dalaman. Ia bertahan sehingga 44 jam menggunakan skrin luaran dan sehingga 24 jam penggunaan apabila kedua-dua skrin digunakan secara seimbang. Ia juga boleh dicas sehingga 50 peratus dalam kira-kira 20 minit menggunakan pengecasan berwayar pantas. Dalam bahasa lebih jelas lagi, sekitar 30 minit secara tanpa wayar menggunakan MagSafe atau Qi2.

Untuk sambungan, iPhone Duo menggunakan reka bentuk eSIM sahaja di seluruh dunia bagi menjimatkan ruang dalaman dan memaksimumkan kapasiti bateri. Ia menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 6 dan Thread menerusi cip rangkaian tanpa wayar N1, manakala sistem modem selular C2 baharu menawarkan peningkatan berasaskan AI. Kebolehan ini meningkatkan kualiti serta kebolehpercayaan sambungan selular.

Aksesori

Apple turut memperkenalkan aksesori baharu untuk iPhone Duo. Ia termasuk iPhone Duo Folio dengan kickstand terbina dalam yang hadir dalam warna navy blue dan taupe. iPhone Duo Case pula ditawarkan dalam sand dan navy blue. Ia turut direka bentuk dengan dua bahagian yang melindungi kedua-dua sisi peranti. Kedua-duanya menyokong MagSafe, Qi2 25W dan pengecas Qi.

Kelestarian Dan Penawaran

Dalam aspek kelestarian, iPhone Duo menggunakan 35 peratus bahan kitar semula secara keseluruhan. Selain itu 100 peratus kobalt kitar semula pada bateri dan 100 peratus titanium kitar semula pada penutup engsel bercetak 3D. Proses pengilangannya pula menggunakan 60 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam rantaian bekalan.

Di Malaysia, iPhone Duo ditawarkan bermula RM9,499 untuk kapasiti 256GB, dengan pilihan storan 512GB, 1TB dan 2TB. Ia hadir dalam dua warna, iaitu star white dan night sky. Tempahan awal dibuka pada 16 Oktober 2026, jam 8 malam MYT, sebelum mula tersedia pada 23 Oktober 2026.

iPhone Duo Case dijual pada harga RM319, manakala iPhone Duo Folio dengan Kickstand berharga RM529. Kedua-dua aksesori tersebut turut mula boleh ditempah pada 16 Oktober.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down