Jenama Dyson sekali lagi menampilkan pendekatan reka bentuk unik mereka dengan mengecilkan peranti sedia ada sehingga hampir menyerupai penyapu konvensional. Ia kini dipastikan lebih kecil, ringan dan mudah dibawa. Jika sebelum ini, konsep tersebut diperkenalkan terlebih dahulu menerusi PencilVac, vakum paling kecil keluaran mereka. Dalam erti kata lain, ia kecil sehingga mampu menempatkan motor di dalam batang pemegang yang sangat nipis.
Oleh itu, pendekatan sama kini diterapkan mereka pula untuk peranti lain, Dyson PencilWash. Ini menjadikannya antara pencuci lantai bermotor paling kecil pernah dihasilkan jenama Dyson.

Mesin ini menggunakan air untuk membersihkan permukaan lantai dan direka sebagai alternatif kepada mop tradisional, khususnya untuk kediaman bersaiz kecil sekitar 1,000 kaki persegi.
Pemegangnya berdiameter hanya 3.8 cm dengan berat keseluruhan sekitar 2.2 kg, menjadikannya lebih ringan berbanding model WashG1 yang diperkenalkan pada 2024.
Walaupun bersaiz kompak, ia masih dilengkapi tangki air bersih berkapasiti 295 ml serta tangki air kotor 355 ml yang terbina dalam badan peranti.

Dari segi penggunaan pula, PencilWash mampu beroperasi sehingga 30 minit bagi setiap sekali pengecasan penuh. Proses pengecasan semula hanya mengambil masa kira-kira 3.5 jam sahaja. Ia ditawarkan pada harga $349 yakni bersamaan sekitar RM1,364 seunit.
Layari https://www.dyson.my/ untuk lebih informasi.