Menyoroti dunia moden dengan kecerdasan buatan hari ini, masih wujud satu warisan yang kekal teguh sebagai penanda jati diri dan dalam gaya hidup Melayu-Islam. Kain samping yang sering dilihat sebagai pelengkap kepada baju Melayu sebenarnya menyimpan lapisan makna jauh lebih mendalam daripada sekadar estetika. Ia adalah bahasa senyap yang berbicara tentang adab, kedudukan dan kehalusan budaya orang Melayu.
Mengapakah kain samping begitu penting dalam budaya orang Melayu? Sebagai pelengkap baju Melayu sama ada cekak musang atau teluk belanga, kain samping atau turut dikenali sebagai kain dagang. Ia tidak dipakai hanya untuk hiasan tetapi membawa makna lambang yang sebenarnya mendalam dalam adab berpakaian. Dipakai sebagai lapisan tambahan selepas seluar, ia berfungsi menutup bentuk tubuh agar lebih sopan, sekali gus menjaga maruah pemakainya. Dalam konteks gaya hidup, ini mencerminkan satu nilai yang semakin dihargai kembali yakni kesederhanaan yang berlapis makna.
Menariknya, kain samping juga menjadi penanda status seseorang. Bagi lelaki yang masih bujang, samping lazimnya dipakai di atas lutut atau diikat dengan gaya ‘ikat teruna’. Sebaliknya, lelaki yang sudah berkahwin memakainya lebih labuh hingga melepasi lutut, menjadi satu simbol kedewasaan dan tanggungjawab. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pula hulubalang pula diberi kelonggaran memakai samping lebih singkat. Hal ini untuk memudahkan pergerakan dalam pertarungan, menunjukkan bagaimana fungsi praktikal turut mempengaruhi gaya pemakaian.
Jenis ikatan juga tidak kurang pentingnya. Ikatan pancung dikhaskan untuk raja dan kerabat, ikatan kembung untuk golongan pembesar, manakala ikatan lingkup dipakai oleh rakyat biasa. Perbezaan ini memperlihatkan bagaimana sehelai kain boleh menjadi sistem komunikasi sosial yang halus. Tanpa kata, namun sarat makna.

Lebih unik lagi, cara mengikat kain samping berbeza mengikut negeri serta acara yang dihadiri. Dalam majlis rasmi atau adat istiadat, pemakaian samping menuntut ketelitian dan penghormatan terhadap etika tertentu. Ia juga tidak hanya berkisar soal gaya tetapi tanda hormat kepada tuan rumah atau penganjur, ahli majlis dan tradisi yang diwakili.
Dalam landskap gaya hidup hari ini di mana identiti Melayu sering dituntut untuk dikekalkan dalam pelbagai perkara, kain samping dipakai mencerminkan akar budaya yang tidak lapuk dek zaman. Daripada simbol maruah diri, penanda status sosial hingga lambang adat yang kaya. Kain samping terbukti lebih kepada pelengkap baju Melayu sahaja. Ia juga adalah warisan hidup yang terus mendefinisikan kehalusan dan identiti budaya Melayu merentasi zaman.