LANGGAN

Kodak Charmera Millenium Edition

Nostalgia Y2K dalam saiz poket yang mini dan eksklusif.
Published: July 30, 2026

Kodak terus memanfaatkan gelombang kebangkitan estetika Y2K yang diminati Gen Z menerusi pelancaran Charmera Millenium Edition Keychain Camera. Model terbaharu ini hadir sebagai evolusi daripada siri Charmera dengan rekaan yang diinspirasikan kamera digital kompak awal tahun 2000-an. Ia diperbaharui namun turut mengekalkan DNA asal Charmera yang berakar daripada Kodak Fling yang diperkenalkan pada tahun 1987.

Keunikan koleksi ini terletak kepada konsep blind box. Di mana para pembeli hanya mengetahui warna kamera yang diterima selepas kotak dibuka yang memberi keterujaan. Terdapat enam rekaan standard dalam kemasan hijau metalik, oren, merah jambu, perak dan hitam. Selain itu satu edisi rahsia berkemasan liquid metal yang lebih eksklusif dengan kebarangkalian 1 daripada 48 unit. Bagi pengumpulnya, Kodak turut menawarkan pilihan Whole Set yang mengandungi enam kotak tanpa rekaan berulang.

Gabungan Gaya Retro dan Teknologi Moden

Walaupun bersaiz kecil dengan ukuran hanya 58 x 24.5 x 20mm dan berat sekitar 30 gram, Charmera Millenium Edition dilengkapi sensor CMOS 1.6 megapiksel. Ia juga dilengkapi lensa bersamaan 35mm f/2.4. Kamera ini mampu merakam video sehingga resolusi 1440 x 1080 pada 30fps serta menggunakan kad microSD sehingga 128GB untuk storan.

Kodak turut memperkenalkan empat bingkai foto baharu dan tujuh penapis warna yang diinspirasikan daripada era kamera digital awal milenium. Antaranya termasuk kesan skrin televisyen lama, antaramuka pemain video klasik serta tona warna Coral, Honey, Teal dan Violet Pixel. Ia sudah tentunya menghidupkan semula karakter imej digital suatu ketika dahulu.

Paparan skrin di bahagian belakang dipadankan dengan optical viewfinder. Ini tentunya memudahkan proses merakam gambar, manakala bateri boleh dicas semula berkapasiti 200mAh membolehkan penggunaan harian yang lebih praktikal. Setiap kotak turut didatangkan bersama rantai kunci dan kabel USB-C untuk pengecasan serta pemindahan fail.

Tertanya, Kodak Charmera Millenium Edition berjaya menyatukan dua fenomena yang semakin mendapat perhatian hari ini iaitu budaya mengumpul blind box dan kebangkitan semula estetika digital Y2K. Ia bukan sahaja menjadi aksesori bergaya, malah menawarkan pengalaman fotografi yang sarat elemen nostalgia. Tarikan utama tentunya buat generasi yang membesar bersama kamera digital kompak.

Topics: ,
Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down