Pernahkah kita teringat bagaimana ibu dahulu menyediakan bekalan makanan seawal pagi sebelum keluar bekerja? Suatu ketika dahulu, membawa bekal ke tempat kerja seolah-olah menjadi sebahagian daripada rutin harian. Namun, seiring perubahan gaya hidup dan kesibukan masyarakat moden, amalan ini semakin digantikan dengan kebiasaan membeli makanan di luar. Menariknya, rutin membawa bekal kini kembali mendapat tempat dengan pendekatan yang lebih segar, terancang dan menitikberatkan aspek nutrisi. Dalam kesibukan kehidupan moden, semakin ramai pekerja mula melihat penyediaan makanan sendiri sebagai alternatif kepada rutin makan di luar.
Tidak dinafikan, peningkatan kos sara hidup dan harga makanan di luar menjadi antara faktor utama. Perbelanjaan harian yang kelihatan kecil sebenarnya boleh memberi kesan besar terhadap bajet bulanan. Pada masa yang sama, ada juga yang memilih untuk membawa bekal bagi memastikan kualiti makanan lebih terjaga. Dengan menyediakan hidangan sendiri, seseorang berpeluang menentukan kuantiti nasi, sumber protein, penggunaan minyak dan bahan perasa mengikut keperluan pemakanan masing-masing.

Gambar Ihsan NY Post
Selain faktor ekonomi, kesedaran terhadap pemakanan seimbang turut memainkan peranan dalam menghidupkan semula rutin ini. Penyediaan makanan sendiri memberi ruang untuk mengawal bahan yang digunakan, sekali gus memudahkan seseorang mengamalkan corak pemakanan yang lebih teratur. Perkongsian pakar kesihatan, Dr. Syazwani Syaza menerusi aplikasi Threads turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga pemakanan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit. Malah, hidangan ringkas seperti ubi keledek, telur, sayuran dan sumber protein lain juga semakin mendapat perhatian sebagai pilihan bekal yang mudah disediakan.
Media sosial turut menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula trend membawa bekal. Video meal prep mencetus idea menu mingguan dan perkongsian rutin makan tengah hari oleh pempengaruh menjadikan aktiviti ini lebih menarik serta mudah dicontohi. Antara hidangan yang sering mencuri perhatian ialah gabungan nasi, tempe goreng, sumber protein dan sambal gesek yang ringkas tetapi menyelerakan. Perkongsian sebegini bukan sahaja mencetuskan inspirasi menu, malah mendorong lebih ramai pengguna untuk kembali menyediakan makanan dari rumah.

Gambar Ihsan ECOlunchbox
Seiring populariti budaya membawa bekal, bekas makanan juga melalui evolusi tersendiri. Daripada bekas plastik biasa kepada pilihan minimalis dengan pembahagian ruang yang praktikal, aspek visual kini turut menjadi sebahagian daripada pengalaman menyediakan bekal. Susunan hidangan yang berwarna-warni, kombinasi makanan yang menarik serta bekas makanan yang estetik menjadikan rutin makan tengah hari lebih menyeronokkan. Kandungan seperti What's in My Lunchbox? dan Lunchbox Diaries di media sosial memperlihatkan bagaimana hidangan harian boleh diterjemahkan sebagai ekspresi gaya hidup.
Daripada sekadar menyediakan bekal untuk keesokan hari, masyarakat kini semakin mengenali konsep meal prep sebagai cara merancang hidangan lebih awal. Trend seperti Meal Prep in One Day for the Entire Week yang tular di media sosial memperlihatkan bagaimana makanan boleh disediakan dan dibahagikan mengikut kuantiti untuk beberapa hari. Kaedah ini membantu kita merancang menu lebih awal, just grab and go.
Menurut perkongsian HAVIT Medical Advisory dalam artikel berkaitan penyediaan makanan mingguan, meluangkan masa sekitar dua hingga tiga jam untuk menyediakan hidangan lebih awal berpotensi membantu seseorang mengekalkan konsistensi pemakanan. Malah, perancangan menu turut mengurangkan keperluan membuat keputusan secara spontan setiap hari, khususnya bagi individu yang mempunyai jadual kerja padat. Walaupun kelihatan praktikal, penyediaan makanan untuk beberapa hari turut menimbulkan persoalan tentang aspek kebersihan dan keselamatan makanan. Menariknya, amalan melabel bekas makanan dengan nama hidangan dan tarikh penyediaan turut menjadi kebiasaan dalam kalangan pengamal meal prep. Label tersebut bukan sekadar mencantikkan bekas makanan, malah membantu pengguna mengenal pasti tempoh penyimpanan dan mengurus bekalan dengan lebih teratur.
Video Ihsan TikTok @mynameistiffanie
Realitinya, membawa bekal tidak bermaksud setiap hidangan perlu sempurna atau mengikut pelan diet yang ketat. Apa yang lebih penting ialah membina rutin pemakanan yang realistik, seimbang dan sesuai dengan kemampuan individu. Evolusi rutin membawa bekal hari ini memperlihatkan perubahan daripada sekadar menyediakan makanan dari rumah kepada pemilihan nutrisi, penggunaan bekas makanan yang lebih praktikal, konsep meal prep hinggalah kepada pelabelan makanan. Walaupun pendekatannya semakin moden, amalan ini tetap membawa kita kembali kepada satu memori iaitu usaha seorang ibu menyediakan makanan sejak awal pagi demi memastikan anak-anak tidak keluar bekerja dengan perut kosong.