Filem biografi Michael Jackson akhirnya tampil ditayangkan di pawagam pada penghujung April lalu. Ia merupakan biografi musikal yang menceritakan rentetan kisah hidup Micheal Jackson. Dalam masa sama menceritakan detik perjalannnya bermula sebagai penyanyi dengan dididik bapanya sendiri Joe Jackson (Joseph) sedari kecil lagi.

Filem biografi Michael Jackson ini dilihat cuba untuk menyelami kehidupan figura paling berpengaruh dalam sejarah muzik pop dunia secara menyeluruh. Namun, walaupun filem ini telah berupaya menggambarkan betapa besarnya fenomena itu dan kemasyhuran muziknya yang telah menguasai kuasa pop dunia, ia dilihat masih bergelut untuk benar-benar menyelami cerita sejarah manusia di sebalik legenda tersebut.
Permulaan filem ini boleh dikatakan cukup meyakinkan. Penonton dibawa menelusuri zaman kanak-kanak Michael Jackson di Gary, Indiana terlebih dahulu menerusi lakonan Juliano Valdi. Babak-babak awal ini bukan sahaja menyerlahkan bakat luar biasanya sejak kecil, malah memperlihatkan lagi suasana keluarga Micheal Jackson yang penuh tekanan dan serba sederhana. Apatah lagi mereka yang datang daripada keluarga kulit gelap. Ditambah juga didikan keras bapanya, Joseph Jackson lakonan Colman Domingo yang menambah lagi plot penceritaan. Joseph digambarkan sebagai seorang figura bapa dan pengurus kumpulan Jackson 5 yang terlalu obses terhadap kejayaan dan keuntungan. Sehingga suatu masa kebajikan emosi anak-anaknya kelihatan terabai dan tidak menghadirkan diri ke sekolah.
Walaupun permulaan filem mempunyai pintasan kekuatan emosi yang ketara, pengarah Antoine Fuqua dilihat sekadar menyentuh secara sedikit sisi-sisi gelap zaman kanak-kanak Michael Jackson. Antaranya termasuk dakwaan bahawa Joseph membawa anak-anaknya ke ruang persembahan dewasa seperti kelab bogel. Selain isu yang lebih besar mengenai bagaimana Michael dieksploitasi dan dipaksa matang terlalu awal masuk ke dunia hiburan.
Naratif penceritaan kemudian diarahkan terus ke plot era dewasa Michael Jackson yang dibawakan oleh anak saudaranya sendiri, Jaafar Jackson. Meskipun tidak mempunyai pengalaman lakonan yang banyak sebelum ini, Jaafar dilihat berjaya memberikan lakonan yang meyakinkan. Caranya melontarkan skrip, gaya nyanyian serta koreografi yang ditampilkan berjaya menangkap aura dan keunikan Michael Jackson sendiri. Mungkin disebabkan latihan intensif dan pengalaman sendiri melihat kejayaan Michael semasa kecil. Tidak salah untuk menyatakan bahawa Jaafar berjaya meniru seakan sama hingga terasa seolah-olah ikon tersebut benar-benar hidup kembali di layar perak.

Selanjutnya, babak persembahan muzik sememangnya menjadi kekuatan terbesar filem ini. Tenaga persembahan yang dipersembahkan, bunyi lagu-lagu ikonik dan visual pentas dilihat memukau dan bertenaga. Ia menjadikan penonton mudah hanyut dalam pengalaman muzik nostalgik Michael Jackson. Suara lembut Jaafar ketika berdialog pula membantu lagi memperlihatkan sisi Michael yang lebih rapuh dan kesunyian. Seakan seorang bintang besar yang cepat meningkat naik namun sebenarnya sarat dengan rasa terasing dalam dunia glamor.
Namun begitu, elemen muzik yang menjadi daya tarik utama filem ini akhirnya turut dilihat menjadi salah satu kelemahan terbesar daripada sudut keseimbangan penceritaan.
Apabila kisah memasuki fasa hidup dewasa Michael Jackson, filem ini mula terasa lebih seperti sebuah filem konsert sahaja berbanding biografi yang mendalam. Antoine Fuqua terlalu lama memberi ruang kepada babak persembahan sehingga perkembangan naratif kisah hidup menjadi seakan terpinggir. Lagu-lagu yang dipersembahkan sememangnya masih hebat dan menghiburkan serta mengimbau betapa besarnya Michael Jackson, tetapi banyak adegan muzik itu tidak benar-benar menggerakkan jalan cerita atau memperkayakan perjalanan emosi watak Micheal sendiri.

Lebih menarik perhatian lagi, filem ini diakhiri dengan pernyataan 'His story continues'. Seolah-olah memberi bayangan bahawa kesinambungan atau sekuel bakal diterbitkan nanti. Walaupun kehidupan Michael Jackson sememangnya terlalu panjang untuk dihimpunkan dalam durasi 128 minit, keputusan tersebut terasa kurang didorong oleh keperluan artistik. Sebaliknya lebih kepada usaha memanjangkan nilai komersial francais ini.
Secara keseluruhannya, filem 'Michael' menawarkan gabungan momen menghiburkan dan beberapa detik yang benar-benar menyentuh perasaan mengenai seorang lagenda muzik. Namun, filem ini masih hanya mempersembahkan penceritaan di permukaan. Muziknya kekal mempesona dan pengalaman audio di pawagam sememangnya mengagumkan tetapi apa yang paling kurang ialah keberanian untuk menyelami konflik dalaman, trauma dan sisi kemanusiaan Michael Jackson dengan lebih mendalam jalan ceritanya. Mungkin juga kerana isu hak cipta dalam beberapa video Micheal Jackson yang perlu dibayar produksi kepada mereka yang berkenaan. Hal tersebut juga sudah tentunya meningkatkan kos.
Andai sekuel seterusnya benar-benar direalisasikan, harapan terbesar tentunya agar kisah selanjutnya tampil lebih berani dan mendalam. Tidak hanya sekadar untuk meraikan legenda yang sudah tiada tetapi menyelami kisah hidup manusia hebat di sebalik nama besar arena muzik tersebut.