Setiap permulaan tahun baru boleh membawa kita kepada motivasi baharu yang pelbagai untuk setiap individu. Kebanyakan daripada kita khususnya generasi muda hari ini dilihat sudah mula sedar akan kepentingan menetapkan azam masing-masing. Ia dilakukan sebagai usaha memperbaiki diri dan mencapai impian masing-masing yang lama terpendam.
Azam yang dilaksanakan dengan usaha dan disiplin teguh pasti mampu memberi impak besar kepada kehidupan. Dalam masa sama menjadi refleksi diri dalam penetapan hala tuju kehidupan yang jelas.

Dalam memastikan azam tahun baru kita tercapai ia perlulah bersifat realistik dan spesifik. Contohnya semudah azam untuk kita mula bersenam ke gimnasium seminggu sekali atau azam untuk menabung dengan jumlah tertentu setiap bulan. Pemantauan berkala kepada apa yang ingin dicapai itu serta ganjaran kecil pada setiapnya akan mengekalkan motivasi menyempurnakan azam kita. Selain itu dengan berkongsi azam bersama-sama keluarga atau rakan terdekat turut mampu meningkatkan nilai tanggungjawab dan sokongan moral.
Selanjutnya cabaran seperti kehilangan motivasi atau masalah kekangan masa menyempurnakan azam boleh diatasi melalui jadual yang teratur dan fokus kepada tujuan asal. Konsistensi sudah tentunya menjadi kunci kejayaan dan langkah kecil yang berterusan boleh membawa hasil besar. Dengan penetapan tema tahunan seperti fokus kepada kesihatan atau kewangan akan lebih membantu usaha anda mencapai azam dengan lebih tercapai. Sebagai contoh dalam kewangan, bajet bulanan dan tabiat berjimat akan memastikan matlamat azam itu tercapai. Dalam pembangunan diri pula azam untuk mengikuti kursus menambah nilai diri atau membaca buku akan meningkatkan ilmu pengetahuan dan keyakinan. Azam memperbaiki hubungan sosial antara manusia pula boleh diperkukuh melalui komunikasi yang berkualiti dan masa yang dimanfaatkan bersama keluarga serta rakan-rakan.
Tahun 2026 yang semakin hampir ini boleh dilihat sebagai peluang untuk kita sama-sama mencipta perubahan positif. Dengan pemfokusan mencapai azam yang jelas dan usaha yang berterusan setiap impian mampu menjadi kenyataan.