Seni boleh berkembang apabila batas konvensional dicabar dengan fokus yang baik. Melalui fokus dan semangat tersebut, RHB Art with Heart kembali untuk edisi ketujuh dengan tema 'Breaking Boundaries'. Tahun ini, program tersebut menghimpunkan lebih 80 karya daripada 66 penggiat seni dan dipamerkan di Bangsar Shopping Centre.
Sebagai platform seni visual unggulan RHB Banking Group, pameran ini sudah tentunya untuk mempersembahkan pelbagai karya dan wadah mempertemukan para penggiat seni. Ini termasuklah dengan pengumpul, pencinta seni dan khalayak masyarakat yang lebih luas. Melalui kepelbagaian pendekatan, medium dan perspektif, setiap karya mengajak pengunjung memahami perkara yang lazim dalam kehidupan daripada sudut yang berbeza.
Sejak diperkenalkan pada 2016, Art with Heart telah berkembang sebagai platform yang memberi ruang kepada penggiat seni mempamerkan serta mengkomersialkan hasil karya mereka. Enam edisi terdahulu menyaksikan penyertaan 306 seniman dengan keseluruhan 772 karya. Selain itu, edisi lepas turut telah berjaya menjana jualan melebihi RM1.57 juta dan kadar jualan sekitar 46 peratus. Angka tersebut mencerminkan potensi besar seni tempatan apabila diberikan platform yang tepat.

Edisi tahun ini turut mencatat satu pencapaian istimewa apabila 14 belia neurodivergen daripada program RHB #Empower mengambil bahagian.

Sepanjang program selama 12 minggu, mereka meneroka seni lukisan menerusi sesi berpandu yang menggalakkan kreativiti, ekspresi diri dan keyakinan. Hasilnya, sebanyak 28 karya dipersembahkan bersama untuk pameran ini. Hal tersebut menandakan penyertaan sulung RHB #Empower dalam platform Art with Heart.
Penyertaan tersebut juga menjadi antara manifestasi paling bermakna buat tema 'Breaking Boundaries'. Perkara ini dijelaskan dengan matlamat bahawa seni tidak seharusnya mempunyai sempadan. Sesiapa sahaja boleh berkarya, berkongsi perspektif atau menemukan barisan audiensnya. Dengan mengangkat karya mereka sebaris dengan penggiat seni Malaysia yang telah lama berkarya, RHB jelas membuka ruang yang lebih inklusif untuk pelbagai suara kreatif diraikan.
Di sebalik terciptanya tema 'Breaking Boundaries', pameran ini juga dianjurkan untuk meraikan keberanian penggiat seni dalam bereksperimen. Antaranya dengan menggunakan pelbagai teknik, material dan pendekatan kebiasaan. Hasilnya siap sebuah himpunan karya yang pelbagai. Hal ini menjelaskan lagi bagaimana subjek yang dekat dengan kehidupan seharian boleh diterjemahkan semula melalui imaginasi dan perspektif yang lebih segar.

Anjuran kali ini turut memberi perspektif kepada RHB bahawa Art with Heart boleh menjadi cerminan kepada kepelbagaian landskap seni visual Malaysia. Ia sentiasa dinamik, inklusif dan sentiasa berubah mengikut cita rasa yang melihatnya. Dengan menjadikan seni lebih mudah diakses serta menghubungkan ramai penggiat seni, RHB mahu meneruskan komitmennya menyokong bakat tempatan. Mereka juga mahu memperkukuh kedudukan seni sebagai sebahagian daripada identiti serta khazanah budaya Malaysia.