LANGGAN

Destinasi Kafe Outdoor Untuk Pencinta Suasana

Lima kafe outdoor ini menjanjikan pengalaman menikmati kopi dengan suasana yang cukup istimewa.
Published: November 12, 2026

1. Localbarat

Lokasi: 22 Jalan Gurney 3, Dato Keramat

Waktu operasi: 11 pagi hingga 3 pagi

Localbarat merupakan sebuah kafe yang menggabungkan pesona seni bina retro dengan sentuhan moden uniknya. Kafe ini mengangkat estetika rustic bungalow dengan pengaruh seni bina Inggeris moden yang cukup tersendiri. Menawarkan pilihan ruang indoor dan outdoor, Localbarat memberikan fleksibiliti kepada pengunjungnya untuk menikmati suasana mengikut keselesaan masing-masing.

Tarikan utama di sini sudah tentu terletak pada ruang outdoor yang mampu menampung hampir 100 pelanggan pada satu-satu masa. Reka bentuk interior yang menyerlahkan setiap sudutnya lagi sebagai latar fotografi menjadikan ruang ini bukan sahaja menarik malah sedia sempurna untuk pelanggan mengabadikan kenangan. Antara menu yang wajib dicuba di sini tentunya aneka pastri, pasta dan piza yang melengkapkan pengalaman bersantap di sini.

2. Kofh

Lokasi: 18, Jalan Gurney 1, Kampung Datuk Keramat

Waktu Operasi: 7 petang hingga 5 pagi

Berkongsi kawasan kejiranan sama dengan Localbarat, Kofh mempunyai karakter tersendiri yang menjadikannya antara destinasi kafe menarik buat penggemar kafe berkonsepkan outdoor. Jika kebanyakan kafe hari ini menjadikan ruang outdoor sekadar pelengkap ruang, Kofh sebaliknya memberikan penekanan terhadap pengalaman pelanggan melalui kawasan tempat duduk yang luas serta sistem pengurusan pelanggan yang teratur.

Lebih menarik lagi, Kofh turut berfungsi sebagai lokasi penganjuran pelbagai acara dan aktiviti komuniti termasuk tayangan perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia sebelum ini serta sambutan perayaan tertentu. Tidak ketinggalan, pameran motosikal dan kereta berjenama turut menjadi antara tarikan yang memberikan kelainan kepada pengalaman pengunjung. Gabungan sajian dan aktiviti komuniti menjadikan Kofh lebih daripada sekadar destinasi kafe menjamu selera.

3. Kopi dan Keju

Lokasi: Jalan Kolam Air, Taman Melawati

Waktu Operasi: 4 petang hingga 2 pagi (Isnin cuti)

Mengangkat konsep nature-inspired café dengan pengalaman menikmati minuman sambil merendam kaki di dalam aliran sungai yang cetek. Istimewanya, haiwan ternakan seperti arnab dan ayam yang bebas berkeliaran menambahkan lagi suasana desa yang cukup autentik. Malah, pendekatan kafe ini dalam mengekalkan elemen tradisional turut dapat dilihat menerusi cara kopi dihidangkan. Secangkir kopi kampung pekat turut disajikan bersama biskut tawar di atas talam kecil, lengkap dengan pilihan gula, kopi kosong dan susu pekat mengikut cita rasa pelanggan. Biskut yang boleh dinikmati tanpa had pula menjadi pelengkap kepada pengalaman tersebut.

Selain itu, pengunjung kafe ini turut boleh memilih hidangan tempatan seperti nasi lemak dan kuetiau. Dengan iringan deruan air sungai serta angin siang yang bertiup perlahan, suasana di sini tentunya cukup mendamaikan. Ada kalanya, pengunjung akan dihiburkan dengan petikan gitar dan nyanyian santai.

4. Coofie

Lokasi: Eco grandeur, Puncak Alam

Waktu Operasi: 6 petang hingga 2 pagi

Bagi mereka yang gemarkan variasi dan suasana kafe yang lebih meriah, Coofie menawarkan pendekatan kafe outdoor yang cukup menarik. Dikenali menerusi pilihan minuman yang berubah mengikut seasonal offerings, kafe ini memastikan setiap pengunjungnya sentiasa mempunyai sesuatu yang baharu untuk diterokai setiap kali berkunjung ke sana.

Bertapak bersama beberapa vendor lain yang menyediakan pilihan pencuci mulut, hidangan barat dan aneka makanan, Coofie turut menjadi sebahagian daripada destinasi santai yang lebih menyeluruh. Suasana di sini turut diserikan dengan persembahan busking yang memberikan sentuhan hiburan secara langsung. Bukan sekadar destinasi untuk menikmati kopi, Coofie menjadi ruang rehat, meneroka persekitaran anak muda dan menghabiskan masa bersama rakan-rakan.

5. Kopi Village

Lokasi: 24, Jalan Changkat Setia, Kg Changkat Gombak

Waktu Operasi: 6 petang hingga 2 pagi

Seperti namanya, Kopi Village menawarkan pengalaman menikmati kopi dengan suasana yang cukup dekat dengan persekitaran kampung. Dikelilingi pelbagai jenis tumbuhan dan kehijauan alam, kafe outdoor ini menawarkan ruang santai yang memberikan kontras tersendiri daripada kesibukan rutin harian kota.

Selain pilihan minuman yang menarik di sini, aspek penyediaannya turut diberikan perhatian menerusi persembahan yang lebih artistik dan kreatif. Bagi menghidupkan suasana, Kopi Village turut menyediakan permainan papan dan daun kad yang membolehkan pengunjungnya meluangkan masa dengan lebih interaktif. Kehadiran DJ sebagai penghibur pula memberikan dimensi berbeza kepada pengalaman bersantai di sini. Gabungan kehijauan, hiburan dan aktiviti santai menjadikan Kopi Village sebuah destinasi yang mengangkat konsep kafe sebagai ruang sosial dan tidak hanya sebagai tempat persinggahan untuk membeli secawan kopi.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down