Semalam, selepas hampir sembilan tahun, deruman jentera Formula 1 kembali menggemakan Litar Antarabangsa Sepang dan selesainya acara tersebut. Tentunya acara ini mengembalikan nostalgia kepada mereka yang pernah hadir dulu. Dalam masa sama menyorot momen istimewa kepada mereka yang menonton di sini kali pertama. Meskipun tidak langsung menggunakan nama Grand Prix Malaysia pada papan tanda penganjuran, sebaliknya pemilihan Sepang sebagai tuan rumah kepada Grand Prix Bahrain yang dipindahkan ke Malaysia susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat dilihat telah membuka mata ramai. Lebih-lebih lagi kepada apa jua tarikan dan keunikan yang ada di Malaysia.
Namun selepas tiga hari aksi di Sepang, persoalan yang lebih menjentik tidak lagi tentang usaha dan bila Formula 1 untuk kembali dianjurkan di Malaysia. Tetapi sama ada kepulangan ini boleh menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Sebanyak lebih 100,000 tiket dilaporkan berhasil terjual dengan kehadiran peminat yang datang sejak sesi latihan bebas pada Jumaat. Menjelang sesi kelayakan dan hari perlumbaan pula, litar dipenuhi penyokong yang mahu merasai semula pengalaman yang telah hilang daripada kewajipan kalendar Malaysia sejak 2017. Kini selepas hampir sedekad, nama Sepang sekali lagi menjadi sebahagian daripada perbualan Formula 1 global.

Bagi generasi peminat yang membesar selepas tahun 2017, kepulangan ini juga membawa pengalaman yang berbeza. Buat pertama kali, sebahagian daripada mereka dapat melihat sendiri jentera Formula 1 berlumba di sebuah litar yang sebelum ini hanya mereka kenali di kaca TV atau media sosial.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir melihat sambutan tersebut sebagai petunjuk bahawa minat terhadap Formula 1 masih ramai dalam kalangan rakyat tempatan. Daripada sudut kemampuan litar pula, dia percaya Sepang masih mempunyai segala yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia seperti itu.
Persoalannya kini lebih tertumpu kepada kemampuan kewangan dan nilai ekonomi yang boleh dibawa Malaysia oleh penganjuran tersebut. Sebarang keputusan untuk membawa Formula 1 kembali secara tetap akhirnya perlu dipertimbangkan oleh kerajaan. Ini termasuklah dengan kesan ekonomi dan kesan gandaan kepada sektor lain menjadi antara perkara yang perlu dinilai.

Mokhzani turut menyatakan, manfaat Formula 1 juga tidak terhenti di sekitar litar. Pelawat yang datang untuk perlumbaan boleh menginap di Kuala Lumpur, bergerak ke destinasi lain, melancong dan berbelanja di pelbagai sektor. Dalam konteks itu, Formula 1 bukan hanya sebagai sebuah perlumbaan selama beberapa jam pada hari perlumbaan tetapi sebuah acara antarabangsa yang berpotensi membawa kesan lebih luas kepada sosio-ekonomi dan pelancongan negara.
Cadangan untuk menggunakan kontrak lima tahun dengan formula 3+2 juga memberikan gambaran tentang bagaimana Malaysia mungkin boleh melihat penganjuran F1 pada masa hadapan. Tempoh lebih panjang memberikan kepastian kepada penganjur, Formula 1 dan peminat, selain membolehkan pelawat luar negara merancang perjalanan lebih awal. Hal ini juga sudah tentunya menjadikan perlumbaan sebahagian daripada pengalaman melancong di Malaysia.
Namun, nostalgia sahaja tidak cukup untuk membawa Formula 1 kembali. Malaysia pernah menjadi sebahagian daripada kalendar F1 dari 1999 hingga 2017. Hal ini berlaku sebelum perlumbaan itu dihentikan, antara lain disebabkan peningkatan kos penganjuran dan penurunan jualan tiket. Formula 1 hari ini pula sudah berubah. Nilai komersialnya semakin besar, capaian globalnya semakin meluas dan jumlah peminatnya turut berkembang menerusi generasi baharu yang mengenali sukan ini melalui platform digital serta dokumentari. Apa yang perlu dinilai sekarang ialah sama ada semua perubahan itu mampu diterjemahkan kepada nilai kewangan yang cukup besar. Seterusnya menjadikan penganjurannya satu pelaburan jangka panjang buat Malaysia.
Kepulangan tahun ini berlaku dalam keadaan yang tidak pernah dirancang. Malaysia menjadi lokasi gantian untuk Bahrain dan mendapat peluang untuk menghidupkan semula Sepang sebagai sebahagian daripada kalendar Formula 1. Tetapi jika pintu itu mahu dibuka semula secara kekal, ceritanya perlu lebih besar daripada sebuah perlumbaan yang dipindahkan. Sepang perlu kembali menjadi sebuah destinasi, bukan hanya sebuah litar.
Itulah mungkin cabaran sebenar selepas hujung minggu ini berakhir. Sambutan lebih 100,000 penonton membuktikan bahawa permintaan masih wujud, sementara keupayaan Sepang menampung jentera dan operasi Formula 1 moden tidak menjadi persoalan besar. Yang tinggal ialah usaha menjadikan minat tersebut boleh diterjemahkan kepada model penganjuran yang berdaya tahan. Selanjutnya memberikan manfaat yang lebih luas kepada negara.

Max Verstappen pula memberikan penutup yang hampir sempurna kepada kepulangan ini. Pemandu yang memenangi perlumbaan terakhir F1 di Sepang pada 2017 kembali ke litar yang sama sembilan tahun kemudian dan sekali lagi berdiri di tempat tertinggi podium. Bezanya kali ini, dia tidak memenangi Grand Prix Malaysia, tetapi Grand Prix Bahrain yang berlangsung di Malaysia.
Ada sesuatu yang istimewa tentang bagaimana perlumbaan yang sepatutnya berlangsung ribuan kilometer dari sini akhirnya membawa Formula 1 kembali ke Sepang. Selepas sembilan tahun, litar ini sekali lagi dipenuhi manusia, bunyi dan keramaian yang pernah menjadi sebahagian daripada hujung minggu istimewa di Malaysia. Sambutan yang diterima membuktikan bahawa minat itu masih ada, begitu juga keupayaan Sepang untuk menjadi pentas kepada perlumbaan bertaraf dunia.

Kini, yang tinggal ialah persoalan tentang apa yang boleh berlaku selepas ini. Jika Malaysia benar-benar mahu membuka kembali pintu kepada penganjuran Formula 1, nostalgia dan sambutan peminat hanyalah sebahagian daripada pertimbangan. Kemampuan kewangan, kesan ekonomi dan komitmen jangka panjang perlu dilihat bersama. Sepang mungkin sudah bersedia untuk menerima Formula 1 sekali lagi. Persoalannya kini, adakah segenap aspek Malaysia juga bersedia untuk membawa penganjurannya kembali di sini?