LANGGAN

Anda Seorang Compartmentalizer? Get Yourself Checked

Bila ia menjadi kronik... itulah yang mendatangkan masalah.
Published: September 4, 2026

Memetakkan diri dalam ‘kompartmen’ yang berasingan: membawa keburukan daripada kebaikan? Apakah menjadi compartmentalizer dan glamourize ragam tersebut tidak berakhir dengan kegembiraan?

Berselindung di balik kerja. Biar bayangan kerja menampakkan ‘keunggulan’ diri di media sosial. Mendambakan validation orang luar tentang kerjanya menerusi media sosial, sehinggakan pengesahan kerja tersebut digunakan sebagai mekanisme untuk menopengi masalah peribadi. Dan boleh jadi… berlarutan kepada taasub dengan kerja sendiri. Bermakna anda mungkin seorang compartmentalizer dan ada isu Narcissistic Personality Structure.

Hal ini berangkat daripada pengalaman duduk bersantai bersama dua tiga kenalan, berembuk dan berbicara tentang perkembangan kehidupan masing-masing. Namun, segalanya bertumpu kepada salah seorang teman yang berlaku jujur dengan kemurungan yang dialami dalam kehidupan peribadinya. Dia tidak gembira, IRL. Namun, terbit persoalan dalam jiwa kami yang lain kerana pelik dengan sikapnya hari itu. Bila ditanya, “But you post fasal kerja, macam OK je you. And you seem so proud of what you are working on. I honestly wouldn’t have expected you to say you are ‘not happy’.”

Balasnya, dia sebenarnya tidak mencapai kebahagiaan dalam kehidupan peribadinya. Dia alami kesuraman pelbagai tingkat. Dia menjelaskan bahawa uploading suapan di media sosial tentang kerja-kerja atau hasil kerjanya ‘menyuntik’ kepuasan dalam dirinya. Apalagi bila suapan-suapan itu mendapat validation orang luar, maka bertindih-tindih rasa sukanya. Dia menyambung perbualan lagi, yang hanya hal itu sahajalah yang menaruh kegembiraan dalam diri. Sungguhpun kehidupan peribadinya serba kekurangan.

Sehinggakan dia menjadi taasub dengan hasil kerjanya sendiri. Bila ada masa lapang waktu cuti kerja, dia akan upload suapan hasil kerjanya di media sosial, lalu menantikan validation orang lain. Walhal orang-orang di sekelilingnya berseronok dengan kehidupan masing-masing – berlibur, bersama keluarga, pergi merantau jauh, mengunjungi festival dan seumpamanya. Tatkala, dia? Memikirkan hasil-hasil kerjanya sahaja. Tambahnya, itulah caranya dia menyelindungi kemasyghulan. Mengambus rasa kurang bahagianya.

compartmentalizer

Dia sebenarnya adalah seorang compartmentalizer dan punya struktur personaliti narsisistik. Iya, barangkali seandainya diteliti menerusi pemahaman ‘kasar’, compartmentalization atau pemetakan diri itu ada kebagusan. Bermakna dia mengidentifikasikan masalah atau kenegatifan siap-siap, memetakkan ia dalam satu ‘kotak’ yang berbeza dan memfokuskan kepada hal-hal yang membentukkan kepositifan sahaja. Ia dianggap sebagai mekanisme bela diri kerana secara mentalnya, dia mengasingkan pemikiran konflik, emosi serta pengalaman dalam satu pojok distingtif dalam kotak mindanya.

Apakah ia sepertikan short-term coping mechanism? Boleh juga dianggap sebegitu. Ia membenarkan si compartmentalizer ini mengasingkan ketidakselesaan rasa atau tekanan hidup, trauma, percanggahan kognisi atau persekitaran toksik, agar memudahkan dirinya menjalani rutin hariannya. Tetapi, jika pemetakan diri ini berlebih-lebihan sehingga menghindarkan realiti atau kebenaran… bagaimana? Itu bermakna ia berubah menjadi permasalahan. Sampai memuja atau mengagumi diri. Sudahnya, tiada solusi kepada suatu permasalahan. Justeru, jadilah dia seorang yang memiliki struktur personaliti narsisistik.

Compartmentalizer Yang Menjadi Kronik dan Bermasalah

compartmentalizer

Menurut pengkaji, Dr. Carolin Showers, seorang Profesor Psikologi, konsep kendiri manusia terbahagi kepada dua yakni Integrated Self-Concept dan Compartmentalized Self-Concept. Integrated Self-Concept atau konsep kendiri terintegrasi adalah manusia yang menerima pertumbuhan seiring antara kepositifan dengan kenegatifan dalam kehidupan. Manakala Compartmentalized Self-Concept atau konsep kendiri yang terbahagi adalah seorang manusia yang memetakkan kepositifan – berkaitan dengan kerja dan sebagainya – dalam ‘kompartmen’ yang mencerminkan dirinya dan menguburkan kenegatifan – kehidupan peribadi dan sebagainya – dalam ‘kompartmen’ tersembunyi.

Namun bila ia menjadi kronik… itulah yang ‘bahayanya’! Bila dia terbiasa mengasingkan aspek-aspek kehidupan ini sehingga berpanjangan, lalu cuba menjalani hidup dalam ‘kompartmen’ yang mereka percaya ‘bawa kegembiraan’ itu – contohnya, bergantung kepada validation media sosial dan menganggap ia sebagai ‘perisai’ diri – dan seolah-olah percaya fragmen ‘kompartmen’ kehidupan yang satu lagi tidak memberi kesan, makanya itu mendatangkan masalah.

Ia mampu menggagalkan kesihatan mental. Antaranya ketidakstabilan diri dalam menangani sesuatu isu. Ia terjadi kerana mereka yang tidak melihat kepositifan dan kenegatifan wujud seiring dalam kehidupan. Jadi tercetusnya kecelaruan dan nilai diri mulai menjadi rapuh. Selagi berada dalam ‘kompartmen’ yang menggembirakan hati mereka, sudah tentu keyakinan diri itu menggergasi. Tetapi bila berlakunya kesilapan, kejatuhan harga diri menjadi nyata, kerana tiada aspek positif dalam ‘kompartmen’ yang satu lagi, lalu rumit untuk memulihkan keadaan.

Ledakan emosi yang tiba-tiba juga adalah sesuatu yang wajar diberi perhatian jika anda seorang compartmentalizer yang punya struktur personaliti narsisistik. Kerana anda tidak acknowledge masalah kehidupan yang tiada penyelesaian dan memendam ia hidup-hidup. Sedangkan, anda harus acknowledge dan mencari jawapan pasti untuk mengatasinya. Makanya, jangan sekali-kali tidak mengendahkan emosi diri. Apa yang disorokkan tidak semestinya hilang; kadangkala ia hanya menunggu masa untuk muncul dalam bentuk yang lebih sukar dikawal.

Bila anda mempunyai rakan-rakan yang menormalisasikan struktur personaliti narsisistik, ia menjurus kepada penafian emosi atau keterbukaan, atas sebab kecenderungan mengasingkan aspek kehidupan bersandarkan ‘kompartmen’. Ia bertunas ke kesukaran membina hubungan mendalam. Apalagi sesuatu hubungan itu perlu ada ketelusan. Pabila menyentuh hal-hal yang berkaitan peribadi, mereka berdiam diri atau mengelak daripada bermuzakarah. Lalu, lama-kelamaan, menjauhkan diri dan keseorangan.

Seperkara lagi tentang compartmentalizer yang memiliki struktur personaliti narsisistik adalah moral atau adabnya boleh terkikis. Berperangai bermuka-muka bila mendepani sesuatu atau seseorang. Memuja tinggi hasilan sendiri sehingga merendah-rendahkan yang lain. Si compartmentalizer yang melampau selalu dikaitkan dengan kebiasaannya dalam berpura-pura dan bersikap toksik. Dia terbabit dengan penipuan dan terkadang tingkah lakunya tidak beretika. Ianya kerana dia taasub dengan ‘kepositifan palsu’, lalu mengelakkan rasa bersalah yang sepatutnya mendorong mereka untuk berubah.

Dan memetakkan diri dalam ‘kompartmen’ yang berbeza-beza sebenarnya melesukan mental. Tenaga mental tidak mampu untuk menampung emosi dalam mengasingkan beberapa perihal kehidupan dalam ‘kompartmen’ tertentu dan memerlukan kewaspadaan subconsciously. Kerja, emosi, kesilapan diri atau hal-hal berkaitan hubungan semuanya bercampur-aduk dan akhirnya, memecah-belahkan identiti. Memainkan pelbagai peranan dan tidak menjalani kehidupan yang setujuan dengan diri sendiri.

Seperti apa yang dijelaskan oleh Christena E. Nippert-Eng dalam bukunya, membincangkan pembentukan segmentasi mendesak kita menjadi ‘kameleon’ dan bergantung dengan sosial kognitif tertentu. Kita berpotensi untuk mengubah kewujudan diri yang sedia ada kepada olahan lain, berpandukan sosial kognitif tersebut. Ada kerisauan yang tercetus bila berubah menjadi ‘kameleon’ ini. Di samping rasa berasingan – seperti yang dijelaskan di atas – adalah menenggelami diri dalam peranan kita, sampai menghalangi pemikiran reflektif yang praktikal dan maruah diri serta komitmen juga turut terjejas.

Tanggungjawab moral terhalang kerana terdorong oleh ‘peranan yang dimainkan’, memindai sesuatu berdasarkan satu perspektif praktikal sedangkan perspektif yang lain-lain harus diberi perhatian juga. Dan terbit rasa untuk menghindari konflik tertentu.

Yang lebih meresahkan, compartmentalization yang terlalu kronik boleh membuat seseorang begitu selesa dengan ‘versi’ dirinya yang tertentu sehingga dia lupa untuk bertanya: siapakah dirinya apabila tiada pekerjaan, tiada pujian, tiada likes, tiada validation dan tiada sesiapa yang sedang memandang? Kalau seluruh rasa berharga itu bergantung kepada satu kompartmen sahaja, maka apabila kompartmen itu runtuh, apakah yang tinggal?

Berdamai Dengan Diri

Pandangan kami, cuba untuk berdamai dengan diri. Berdamai bukan hanya bertumpu kepada mengamankan jiwa dan seumpamanya, namun berkaitan dengan penerimaan. Belajar menerima, agar tidak menjadi compartmentalizer yang kronik. Acknowledge segala aspek kehidupan, jangan menolak kewujudan positif dan negatif yang bertumbuh seiring.

Kerana kehidupan tidak pernah benar-benar hadir dalam kotak-kotak yang kemas. Kita boleh memisahkan kerja daripada kehidupan peribadi, tetapi emosi tidak mengenal sempadan pejabat. Kita boleh menutup luka dan terus bekerja, tetapi luka itu tetap sebahagian daripada diri. Kita boleh menerima pujian orang luar, tetapi ia tidak semestinya mampu menyelesaikan kesunyian di dalam.

Maka, sesekali matikan skrin. Tinggalkan seketika hasil kerja yang mahu dipamerkan. Duduk dengan diri sendiri dan tanyakan apa yang sebenarnya sedang berlaku. Bukan untuk menghukum diri, jauh sekali untuk melabel diri sebagai narsisistik, tetapi untuk memahami diri dengan lebih jujur.

Kerana validation yang paling penting barangkali bukan datang daripada mereka yang melihat kita dari luar. Tetapi daripada keberanian kita sendiri untuk melihat seluruh diri – yang baik, yang buruk, yang berjaya dan yang masih belum selesai – tanpa perlu menyembunyikan mana-mana bahagiannya dalam ‘kompartmen’ yang lain.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down