Ramadan, bulan puasa, kembali menjelang dan membawa perubahan rutin harian sepanjang sebulan. Sejauh mana persediaan kesejahteraan diri untuk kita menghadapinya?
Semestinya bulan mulia ini antara bulan yang dinanti-nantikan oleh semua Muslimin juga Muslimat. Semua tidak sabar untuk menunaikan ibadah wajib ini dan tidak kurang juga ada yang sudah mula melengkapkan persediaan seperti barang-barang dapur, menyediakan air minuman yang cukup dan sebagainya. Namun, pernahkah anda terfikir persediaan daripada segi kesejahteraan diri?
Apabila menyebut tentang puasa, perbincangan sering tertumpu pada disiplin fizikal seperti lapar, dahaga dan ketahanan tubuh. Namun sebenarnya bagi lelaki, persediaan sebenar adalah melangkaui soal itu. Kesejahteraan mental adalah sama penting dengan kesejahteraan fizikal.
Reset Secara Realistik

Antara langkah yang boleh diamalkan adalah seperti menguruskan tenaga dengan bijak. Seeloknya kurangkan jadual yang terlalu padat dan pastikan tubuh mendapat tidur dan rehat yang secukupnya untuk anda menempuh hari yang panjang. Kurang tidur boleh mengakibatkan tekanan. Jadi, sebaiknya rancang hari anda dengan betul bermula dari pagi hingga ke malam.
Bagi yang gemar bersukan, tiada salah untuk kekal aktif, namun elakkan daripada memaksa diri dengan melakukan rutin yang berat setiap hari. Pendekatan sederhana dan berpada-pada lebih membantu mengekalkan stamina sepanjang bulan ini. Saranan kami, lakukan senaman kebiasaan anda (elakkan mengangkat berat) pada sebelah petang dan hanya meluangkan masa selama 30 minit. Jangan bersukan pada sebelah pagi atau tengahari ini kerana senaman akan mengeluarkan peluh. Ini akan buat anda kurang hidrasi dalam tempoh yang lama.
Bercakap tentang pemakanan, elakkan sikap terlalu gopoh sewaktu bersahur. Seringkali orang memilih untuk bercakap tentang berbuka, namun disini tekanan harus turut diberikan pada waktu bersahur. Sahur itu penting, jangan sesekali skip! Namun, sebaiknya memilih menu pemakanan yang menyokong dan bukannya sekadar mengenyangkan.
Sebagai contoh, pilih seperti menu berunsur protein, serat juga air. Gabungan ini membantu untuk melepaskan tenaga secara berperingkat sepanjang hari serta mengurangkan rasa lesu dan tidak bermaya. Kurangkan juga makanan yang bergoreng baik sewaktu berbuka atau juga pada sahur. Ini bagi mengelakkan stamina keesokan hari anda terjejas.

Kopi antara yang menjadi kegemaran ramai lelaki di luar sana. Tetapi, harus diingat, pengambilan kopi yang berlebihan sewaktu sahur boleh menyebabkan keletihan dan mengganggu kesegaran diri sepanjang hari. Ingat, kafein memberi lonjakan tenaga jangka pendek. Sebelah pagi mungkin anda akan berasa segar, tetapi menginjak ke petang, anda mungkin akan mengalami caffeine crash.
Anda mungkin merasakan tip seterusnya kelihatan agak remeh, namun kesannya terhadap tubuh ketika berpuasa tidak wajar dipandang ringan. Rutin mandi khususnya memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesegaran diri.
Kebiasaannya, diri sudah sebati dengan aktiviti menahan lapar kerana setiap daripada kita akan melakukan serta melaluinya saban tahun. Namun, sebiasa mana juga diri, tubuh tetap akan mengalami gejala keletihan, suhu badan meningkat, pening kepala serta bermacam lagi.
Jika terjadinya perkara sebegini, cuba anda amalkan mandi dengan air sejuk. Ini mampu memberikan kesegaran. JIka terjadi simptom yang tidak selesa pada tubuh sewaktu kerja, ambilkan tuala kecil yang basah dan usap bahagian dahi, dada dan belakang badan untuk meredakan kepanasan.