Dua nama besar asal London, Huntsman dan Truefitt & Hill, bergabung untuk satu kolaborasi istimewa menerusi pelancaran Huntsman Cologne. Satu haruman baru yang meraikan warisan ketukangan British serta seni dandanan lelaki yang cukup berpengaruh. Menggabungkan hampir empat abad pengalaman dalam dunia fesyen dan grooming, kolaborasi ini menyatukan identiti dua jenama yang sinonim dengan kehalusan kemewahan dan eksklusiviti tersendiri.

Dikenali sebagai rumah jahitan Savile Row yang telah beroperasi selama 177 tahun, Huntsman mempunyai reputasi tersendiri dalam menghasilkan busana untuk kerabat diraja, pemimpin dunia serta individu yang menghargai seni berpakaian. Sementara itu, Truefitt & Hill pula memegang gelaran sebagai jenama dandanan lelaki tertua di dunia. Ia kekal dengan legasi yang berteraskan kecemerlangan dan sofistikasi tersendirti. Pertemuan dua jenama ini diterjemahkan melalui sebuah haruman yang meraikan kemewahan secara lebih bersahaja, tanpa perlu terlalu menonjolkan kehadirannya.

Huntsman Cologne dihasilkan dengan karakter aromanya hasil gabungan bergamot, buah pelaga, lada merah jambu dan lemon yang memberikan kesegaran bau maskulin serta menyenangkan. Komposisi ini kemudiannya berkembang kepada lapisan tengah bauan yang lebih kompleks menerusi bunga ros damask dan ekstrak tembakau. Ia turut diseimbangkan dengan daun violet serta petitgrain. Gabungan nota floral dan elemen beraroma smoky ini menghasilkan karakter bau yang elegan dengan sentuhan tidak terlalu mencocok yang tersendiri.
Melengkapkan keseluruhan komposisi, vanilla pod dan kayu cedar membentuk lapisan asas yang hangat, mendalam serta memikat. Karakter aromanya kekal pada kulit dengan meninggalkan jejak haruman yang cukup tersendiri, tanpa menghilangkan sisi kelembutan dan kesederhanaannya.


Hangat, floral dan berkarakter, Huntsman Cologne dicipta untuk lelaki yang memahami nilai gaya serta kepentingan setiap perincian. Seperti sut yang sedang dijahit sempurna, haruman ini dijual bukan hanya untuk melengkapkan penampilan malah menjadi cerminan keyakinan dan cita rasa individu yang memakainya.