
Saat memancarkan haruman Oud Zarian daripada Creed ini pada tubuh, ia merangsang hiduan woody serasa keranuman buah-buahan. Aura oud begitu kuat, melekat rapi pada kulit pada mulanya. Dan lama-kelamaan, bau itu bertunas kepada serakan yang seakan-akan lembut berbancuh kepedasan. Itu adalah impresi awal sewaktu diperkenalkan dengan Oud Zarian.
Berkalih kepada al-kisah menarik tentang oud yang digunakan oleh Creed, umur bahan semula jadi ini adalah 80 tahun dan dituai di dalam hutan purba Sylhet di Bangladesh. Ia diperlihara seeloknya sepanjang merentasi pelbagai generasi dan amalan ini bertumpu kepada menjadi cerminan tradisi bumi. Para penjaga hutan tersebut menghormati pokok-pokok Aquilaria, malah mengawasi penghasilan damar langka.

Tradisi Jalali Oud di Sylhet mengerti benar kitaran hayat pokok-pokok yang tersimpan di hutan. Mereka tahu kesesuaian masa yang tepat untuk mengambil damar oud dan memproseskan ia sebagai haruman. Proses-proses ini memerlukan kesabaran tinggi serta ketelitian, kerana ia tidak dituai dengan tergesa-gesa. Mereka membenarkan pokok-pokok ini ‘mendewasa’ untuk beberapa dekad lamanya.
Bahan oud yang sudah lama menghuni di hutan purba ini sudah berabad-abad dihargai oleh golongan diraja, ahli mistik dan penggemar setia bahan tersebut. Berselindung selama lapan dasawarsa dalam pokok-pokok Aquilaria, kematangan damar oud itu bertumbuh seiring dengan perubahan cuaca serta pergantian masa.
Creed ‘mengutip’ asas ini, lalu diolah menjadi haruman bernama Oud Zarian, yang diadunkan bersama bergamot, kemenyan dan halia berempah untuk mencetuskan semburan haruman. Di pertengahan bahagian terasnya, haruman ini segar mekar dengan aura elegan bunga ros centifolia. Manakala bahagian lapisan dasarnya membuatkan kita menerokai ketelitian bau oud yang berumur tua itu.
Haruman yang bermula dengan semburan bergamot, ada sedikit sentuhan halia berempah dan aura bunga-bungaan serta kayuan beriringan sekali ini adalah untuk mereka yang faham bahawa keindahan sejati diperoleh melalui kesabaran. Setiap nota yang dipancar umpama memerihalkan sebuah ceritera yang terjalin dalam proses pembuatan Oud Zarian. “This is the art of waiting, rewarded.”