LANGGAN

SUARA LEGASI: Bersama Jojo Yusof

Meneruskan legasi yang diturunkan daripada seorang legenda seni halus negara.
Published: October 23, 2025
Jojo Yusof

Bidang seni yang menjadi pilihan hidupnya ini semestinya datang daripada pengaruh dan pengalaman membesar bersama arwah ayahnya yang juga seorang seniman ternama, Yusof Gajah. Menerusi seni, Jojo Yusof menemukan sebuah riwayat penuh warna kelangsungan hidupnya. 

Pendedahan dalam bidang seni sudah semestinya datang daripada arwah ayah, Yusof Gajah. Tapi untuk melibatkan diri secara sepenuh masa sebagai artis itu atas keinginan sendiri atau sebaliknya?

Memang betul, pendedahan pertama saya dalam dunia seni datang daripada arwah ayah, Yusof Gajah. Sejak kecil, ayah cuba biasakan kami sekeluarga dengan suasana seni lukis, antaranya bila saya terlibat dalam rancangan seni ‘Kerengga’ terbitan RTM di mana arwah ayah menjadi hos. Rancangan itu bersiaran selama dua penggal dan dari situ saya mulai nampak setiap warna ada rasa dan seniman nyalakan jiwa.

Ketika sekolah menengah pula, saya mula ikut ayah ke bengkel seni dan pernah menjadi fasilitator dalam woksyop beliau. Dalam masa yang sama, saya dan Jaja (Kakak) aktif menyertai pameran lukisan secara berkumpulan. Saya masih ingat, pada tahun terakhir di sekolah, arwah pernah bertanya, “Joe, bila besar nanti kau nak jadi apa?” Saya jawab, “I want to be either one of these things… to be like you, or better than you, Yah.” Saat itu saya sedar, seni bukan sekadar sesuatu yang saya warisi, tetapi satu jalan hidup yang saya pilih sendiri.

Apa satu hal yang paling penting dititik beratkan setiap kali anda berkarya?

Bagi saya, setiap karya merupakan medan untuk bereksperimen dan mengekspresikan diri tanpa batasan gaya. Saya sentiasa menitik beratkan kekuatan visual agar setiap hasil bukan sahaja menghidupkan ruang, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada yang melihat.

Dalam masa yang sama, karya saya harus hadir dengan kejujuran. Ia membawa lapisan emosi, kegembiraan dan refleksi kehidupan peribadi. Seni bagi saya bukan sekadar objek untuk dipandang tetapi pengalaman yang perlu dirasai.

Siapa antara rujukan awal Jojo dalam mendalami seni halus secara am?

Rujukan awal saya dalam mendalami seni halus ialah arwah ayah, sebab dia sendiri seorang pelukis. Sejak kecil saya sudah terdedah dengan seni dan seawal pagi saya buka mata dah lihat dia bangun untuk berkarya. Masa mula-mula saya tunjuk minat dalam seni lukis, arwah perkenalkan saya dengan Keith Haring, Heri Dono, dan Eddie Hara. Daripada situ perjalanan saya dan seni bermula.

Kalau boleh ditafsirkan sifat karya-karya Jojo itu apa sebenarnya?

Kalau nak tafsirkan sifat karya saya, ia banyak berakar daripada gaya naif, spontan, terus terang dan tidak terlalu terikat dengan teknik akademik. Saya memang terdedah dengan dunia seni melalui keluarga, jadi secara tak langsung ada juga nilai warisan yang membentuk identiti dan cara orang melihat karya saya.

Bila saya melukis, bentuk manusia, bangunan, haiwan atau landskap biasanya saya ‘simplified’ kan. Saya suka beri watak tersendiri pada elemen-elemen itu. Ia bukan salinan sempurna tapi lebih kepada tafsiran kreatif saya sendiri.

Sepanjang bergelar artis catan, apa pencapaian yang dibanggakan sepanjang karier anda?

Kalau cakap pasal pencapaian yang saya banggakan, antara momen awal yang cukup bermakna ialah pada tahun 1998. Masa itu ada pameran Artifact on Canvas di Islamic Museum of Arts, Kuala Lumpur. Lukisan saya dilelong dan dibeli oleh Datin Seri Endon, isteri Perdana Menteri ke-5 ketika itu.

Beberapa tahun kemudian, 2002, sekali lagi beliau membeli karya saya melalui pameran ‘Heart To Art’. Yang lebih menyentuh, karya itu dihadiahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), jadi ada rasa macam karya saya dapat beri sedikit semangat kepada orang lain.

Kemudian pada 2008, saya menerima Honourable Award dalam pertandingan ‘Out of Line’ di The Annexe Gallery, Central Market. Bagi saya, anugerah itu tanda pengiktirafan yang menguatkan lagi keyakinan untuk terus berkarya.

Inspirasi pastinya berubah setiap masa, kalau boleh dikongsikan apa yang memberi inspirasi untuk Jojo akhiran ini? 

Akhir-akhir ini inspirasi saya datang daripada benda-benda yang dekat dengan hidup. Keluarga, alam, dan momen harian yang kecil tapi bermakna. Dalam masa sama, ada juga self motivation yang jadi penggerak utama. Saya selalu cakap pada diri kalau nak terus berkarya, kena terus jujur dengan rasa sendiri. Jangan berhenti belajar dan sentiasa cuba jadi lebih baik daripada semalam. 

Satu nasihat atau azimat yang ditinggalkan oleh seorang Yusof Gajah untuk Jojo Yusof?

Arwah Yusof Gajah sentiasa dikenali sebagai seorang yang suka menasihati sama ada untuk orang luar mahupun keluarga. Antara pesanan beliau yang paling berbekas dalam hidup saya adalah satu nota ringkas yang ditampal di meja belajar ketika saya di sekolah menengah: ‘fuck lazy people.’ Nota itu masih saya simpan sehingga hari ini.

Walaupun kedengaran keras, mesejnya sangat jelas  iaitu jangan malas. Daripada situ saya sedar bagaimana beliau mampu berkarya dengan konsisten. Beliau seorang yang luar biasa rajin, memulakan kerja seawal jam empat pagi setiap hari tanpa pernah jemu.

Satu hal yang paling anda banggakan tentang seorang figura bernama Yusof Gajah?

Satu hal yang paling saya banggakan tentang Yusof Gajah adalah beliau setia dengan gaya lukisan naif yang konsisten dan unik. Beliau membuktikan bahawa it’s okay to be different. Malah perbezaan itulah yang menjadikan beliau begitu menonjol.

Saya juga bangga kerana beliau berjaya membawa seni illustrasi Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan identiti yang begitu jujur dan asli. Dan meskipun sudah dikenali ramai, beliau tetap seorang yang sangat rendah diri. Bagi saya, dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara adalah antara kekuatan sebenar seorang seniman.

Penyelaras : Hafizan Mohd & Nurhani Natasha | Arahan seni : Nabihah Nizam | Fotografi : Aiman Yazid 

*Baca temu bual penuh menerusi ELLE Men isu Okt / Nov 2025

Topics:
Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down