LANGGAN

Crazy Rich Asians Bakal Kembali Dengan Siri Baru!

The elite family is back!
Published: November 14, 2026

Fenomena ‘Crazy Rich Asians’ bakal kembali dengan kisah baru yang lebih panjang menerusi sebuah siri drama. Kali ini, HBO Max merancang untuk membawa semula dunia keluarga Young ke layar kaca. Siri asli ini bakal diadaptasi daripada novel terlaris hasil karya Kevin Kwan.

Kembali Menyelami Dunia Elit Keluarga Young

Mengambil latar selepas peristiwa filem terdahulu, siri ini bakal membawa penonton kembali ke dunia golongan elit Asia. Kisahnya terus berputar sekitar kehidupan mewah, hubungan rumit dan perebutan pengaruh dalam keluarga. Dengan lapan episod berdurasi satu jam setiap satu, siri ini bakal membuka lembaran baharu dalam dunia 'Crazy Rich Asians'.

Lebih menarik, projek ini turut menyaksikan Adele Lim kembali menggalas tanggungjawab besar di sebalik pembikinannya. Penulis skrip dan penerbit kelahiran Malaysia yang pernah terlibat dalam filem asal itu kini bakal mengetuai siri berkenaan sebagai showrunner dan penerbit eksekutif. Dia akan bergandingan bersama Kevin Kwan serta beberapa nama lain dalam industri hiburan.

Barisan Pelakon Asal Kembali Bergandingan

Keterujaan peminat pastinya bertambah apabila beberapa wajah yang sinonim dengan filem terdahulu turut disenaraikan dalam barisan pelakon tetap. Antaranya termasuk Constance Wu, Henry Golding, Michelle Yeoh dan Ronny Chieng yang bakal kembali menghidupkan watak masing-masing.


Untuk mengimbas kembali, ‘Crazy Rich Asians’ mengikuti kisah Rachel Chu (Constance Wu), seorang pensyarah dari New York yang menyangka dirinya sudah mengenali teman lelakinya, Nick Young (Henry Golding), dengan cukup baik. Namun, segalanya berubah apabila dia dibawa pulang ke Singapura dan mula mengenali latar belakang sebenar Nick. Rupa-rupanya, Nick bukan sekadar lelaki biasa, sebaliknya pewaris kepada sebuah keluarga hartawan yang cukup berpengaruh. Pertemuan Rachel dengan keluarga Young turut membuka lembaran baru dalam hidupnya, apabila dia perlu berdepan dengan kemewahan, adat keluarga dan tekanan untuk diterima dalam dunia sosial yang jauh berbeza.

Hubungan Rachel dan Nick turut diuji apabila dia berdepan penerimaan keluarga Nick, khususnya ibunya, Eleanor Young (Michelle Yeoh). Di sebalik pelbagai perselisihan dan cabaran, kisah cinta mereka akhirnya membawa kepada lamaran Nick yang mendapat restu daripada ibunya.

Adakah Jalan Cerita Bakal Mengikuti Novel Seterusnya?

Walaupun HBO Max masih belum mendedahkan perincian jalan cerita siri ini, peminat novel karya Kevin Kwan pastinya sudah mempunyai teori tersendiri. Ini kerana ‘Crazy Rich Asians’ merupakan sebahagian daripada trilogi. Dua novel susulannya ialah ‘China Rich Girlfriend’ dan ‘Rich People Problems’.

Dalam ‘China Rich Girlfriend’, kisah Rachel kembali menjadi tumpuan apabila kemunculan bapa kandungnya membuka rahsia tentang asal-usul keluarganya. Lebih mengejutkan, latar belakang bapanya turut memperkenalkan Rachel kepada dunia kekayaan yang jauh lebih besar daripada keluarga Nick.

Sementara itu, ‘Rich People Problems’ meneruskan kisah keluarga Young dengan lebih banyak konflik, perebutan harta dan rahsia dalam kalangan golongan elit.

Namun begitu, masih belum ada pengesahan sama ada siri HBO Max ini akan mengadaptasi kedua-dua novel tersebut secara langsung atau sekadar mengambil inspirasi daripada jalan cerita asal. Apa yang pasti, kepulangan ‘Crazy Rich Asians’ membuka peluang untuk peminat kembali menikmati dunia penuh glamor, percintaan dan drama keluarga Young dengan perspektif yang lebih luas.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down