Dunia gastronomi mewah bakal menyaksikan satu perkembangan baharu menerusi pelancaran The GAYA Guide. Sebuah panduan restoran antarabangsa yang memberi tumpuan khusus kepada pengalaman fine dining terbaik di seluruh dunia. Diperkenalkan oleh ITP Media Group, inisiatif ini membawa pendekatan tersendiri dalam menilai keistimewaan sesebuah restoran. Ia bukan hanya berdasarkan hidangan yang disajikan, malah keseluruhan pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung.
Dubai dipilih sebagai destinasi pertama bagi memperkenalkan The GAYA Guide pada 17 November 2026. Pemilihan bandar ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Dubai semakin mendapat perhatian sebagai antara destinasi gastronomi antarabangsa yang menghimpunkan pelbagai budaya, tradisi dan pengaruh kulinari dari seluruh dunia.

Apa yang membezakan The GAYA Guide daripada panduan restoran konvensional ialah pendekatannya yang melihat pengalaman menjamu selera secara menyeluruh. Kualiti makanan sememangnya menjadi aspek utama. Namun penilaian turut merangkumi mutu perkhidmatan, layanan hospitaliti, suasana restoran, reka bentuk ruang, pilihan minuman serta konsistensi pengalaman yang diberikan. The GAYA Guide mahu meraikan kepelbagaian dunia gastronomi tanpa mengehadkan definisi kecemerlangan kepada satu gaya atau konsep tertentu.

Pelancaran di Dubai hanyalah permulaan kepada perancangan lebih besar The GAYA Guide untuk membina rangkaian panduan restoran bertaraf antarabangsa.
Edisi sulung Dubai dijadualkan diterbitkan pada Februari 2027. Selepas itu, Singapura, London dan Hong Kong bakal menyusul pada tahun yang sama, sebelum Paris dan New York menyertai senarai destinasi pada 2028.
Perkembangan ini memperlihatkan aspirasi The GAYA Guide untuk menghubungkan landskap gastronomi dari pelbagai benua menerusi satu platform yang menghargai keunikan setiap destinasi.


Selain penerbitan panduan restoran, The GAYA Guide turut membangunkan sebuah platform digital bagi memudahkan penggemar gastronomi menemui restoran istimewa di seluruh dunia.
Usaha ini dijangka membuka ruang kepada pengalaman pencarian restoran yang lebih menyeluruh. Ia khusus buat pengembara mewah yang menjadikan pengalaman kulinari sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka.
Dengan gabungan kepakaran tempatan, penilaian bebas dan perspektif antarabangsa, The GAYA Guide hadir dengan matlamat untuk mengubah cara dunia mengenali serta menghargai kecemerlangan fine dining. Bermula di Dubai, perjalanan ini bakal membawa nama-nama restoran istimewa dari pelbagai bandar ke dalam satu panduan yang meraikan seni gastronomi pada tahap tertinggi.
