Secara umumnya, lelaki di negara Barat mempunyai risiko kebotakan yang lebih tinggi, iaitu sekitar 40 peratus. Lelaki di negara Asia pula kurang berisiko, namun angka tersebut bukanlah sifar. Di Malaysia, isu kebotakan menjejaskan sekitar 30% lelaki pada tahun 2024, dengan kebanyakannya mula mengalami penipisan rambut seawal usia 21 tahun. Situasi ini boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mental kerana ia melibatkan soal keyakinan diri. Di sinilah persoalannya timbul, apakah punca utama keadaan ini, dan bagaimana ia boleh ditangani?
Fasa kebotakan pada asalnya berlaku secara semula jadi. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "semula jadi", dan apakah akar puncanya yang sebenar? Jawapannya: terdapat beberapa faktor, dan malangnya, genetik memainkan peranan yang besar. Jika genetik anda sensitif terhadap hormon DHT yang terhasil daripada testosteron, maka keguguran rambut cenderung berlaku dengan lebih mudah.
Faktor-faktor luaran selain itu termasuklah kurang sumber nutrisi seperti Vitamin D dan protein. Tidak dilupakan juga merokok, serta sesetengah medikasi seperti zoloft, kemoterapi dan accutane.
Pernahkah anda dengar orang kata kebotakan berlaku kerana terlalu kerap memakai topi? Kedengaran agak kelakar, bukan? Fikirkan sahaja, jika logik ini benar, semua wanita yang berhijab juga pasti akan botak! Dan tidak, stres atau penggunaan syampu juga bukanlah puncanya. Kedua-duanya mungkin menyebabkan keguguran rambut sementara, tetapi bukan secara ketara atau kekal.
1. Suplemen
Jika kebotakan anda adalah genetik, boleh cuba makan suplemen penghalang DHT yang boleh dibeli di kaunter farmasi. Bahan-bahannya dapat membantu memulihkan dan menumbuhkan rambut, mengawal tahap testosteron, meningkatkan sistem imun dan mengurangkan kesan stres. Atas rekomendasi adik-beradik ELLE yang merupakan ahli farmasi, dia mengesyorkan suplemen Hyemor Botanical Beverage Prune with Keratin Protein dan Chew Chew Biotin Multi.
2. Serum anti-gugur
Di samping itu, gunakan juga serum anti-gugur atau serum yang menggalakkan pertumbuhan rambut. Dengan pilihan yang melimpah, jenama yang ELLE perhatikan paling disukai ramai sekarang adalah daripada Kahf.
3. Urutan kulit kepala
Mengurut kulit kepala dapat melancarkan pengaliran darah yang seterusnya dapat merangsang pertumbuhan rambut. Rutin ELLE adalah menggunakan alat urut kulit kepala seperti sikat gua sha setiap kali syampu.
4. Jaga pemakanan
Tips yang terakhir sangat basic tapi ramai yang renyah bila tiba masanya untuk diterapkan. Terdapat makanan penghalang DHT semulajadi seperti tembikai, edamame dan tomato. Banyakkan juga protein untuk menggalakkan pertumbuhan rambut— dan pesanan yang terakhir, cuba untuk berhenti merokok. Easier said than done, tapi seperti iklan dulu-dulu, anda mampu mengubahnya!