Bukan hanya sebuah jenama seluar dalam yang ikonik, Calvin Klein terus menghangatkan pentas fesyen antarabangsa dengan kempen yang menampilkan nama-nama popular. Jenama asal Amerika Syarikat tidak ketinggalan dari memilih bintang-bintang dari rantau Asia sebagai wajah kempen mereka. Antaranya Jungkook daripada BTS, Jennie daripada BlackPink, Mingyu, Bright Vachirawit, Mark Tuan dan ramai lagi.
Terbaharu, Calvin Klein melancarkan kempen untuk rantau Asia yang menampilkan barisan nama baharu. Pelakon dari Korea Selatan, Rowoon dan Nana terpilih sebagai bintang kempen, bersama bintang popular dari Thailand, Tu Tontawan. Visual kempen ini membawakan rekaan seluar dalam signature jenama ke peringkat yang lebih menyerlah.
Rowoon merupakan pelakon dan bekas penyanyi untuk kumpulan K-pop, SF9. Bintang berusia 28 tahun itu terkenal melalui siri K-drama popular seperti ‘Extraordinary You’, ‘The King’s Affection’ dan banyak lagi. Nana pula adalah pelakon, penyanyi dan model yang juga dikenali sebagai Im Jin-ah. Dia pernah menganggotai kumpulan dari Korea Selatan, After School dan beberapa subgroup seperti Orange Caramel dan After School Red.
Tontawan Tantivejakul atau lebih dikenali sebagai Tu merupakan aktres dan model terkenal dari Bangkok, Thailand. Bintang berusia 24 tahun mula mencipta nama selepas memegang watak utama dalam ‘F4 Thailand: Boys Over Flowers’. Ia adalah adaptasi Thai daripada manga Jepun, Hana Yori Dango.
Kempen kali ini merakamkan keyakinan penuh magis daripada setiap bintang yang penuh berbakat ini. Setiap visual menonjolkan sisi gaya yang kemas, lebih sleek dengan sentuhan sensual dalam menyerlahkan persona yang bold. Rangkaian seluar dalam terbaharu ini merangkumi koleksi Icon Cotton Modal, Heritage Cotton dan Perfectly Fit.