Perkembangan fesyen lelaki di Malaysia kini semakin memperlihatkan keterbukaan terhadap eksperimen gaya dan pengaruh budaya global. Seluar jorts sering dianggap sebagai pilihan kasual untuk aktiviti santai, kini helaian tersebut kembali mencuri perhatian sebagai antara elemen penting dalam persalinan streetwear lelaki. Potongannya yang longgar, siluet oversized serta panjang yang mencecah paras lutut menjadikan jorts pilihan yang cukup signifikan dalam kalangan Gen-Z. Kebangkitan ini seolah-olah menghidupkan kembali estetika era 90-an.

Gambar Instagram @svgwrldwide
Tarikan jorts tidak lagi terikat dengan satu identiti pemakaian. Evolusi streetwear menyaksikan helaian ini merentasi pengaruh skate culture, hip-hop dan Y2K sebelum berkembang menjadi pilihan yang lebih eksperimental. Dalam kalangan lelaki tempatan, ada yang menggemari potongan baggy bersama oversized graphic tee untuk penampilan yang lebih santai. Ada sesetengahnya memilih kombinasi jorts bersama kemeja, polo atau tailored outerwear bagi menghasilkan kontras antara gaya kasual dan clean look.

Koleksi Jorts dari HDPC, Against Lab dan Cotton On
Dari segi rekaan, jorts hadir dengan kepelbagaian karakter yang menjadikannya lebih menarik untuk diterokai. Selain denim klasik, pilihan seperti distressed denim, washed denim, potongan cargo-inspired, siluet oversized dan motif camouflage memberikan kebebasan untuk bereksperimen. Karakter gaya pemakaian turut ditambah melalui pemilihan kasut yang bersesuaian, sama ada sneakers untuk sentuhan kasual, Dr. Martens bagi estetika grunge mahupun Timberland boots untuk penampilan yang lebih rugged. Lengkapkan persalinan dengan tali pinggang, stoking panjang dan beg silang bagi memberikan dimensi tambahan. Hasilnya, jorts bukan sekadar menyerlahkan sisi maskulin, malah membawa elemen boyish charm yang lebih playful dalam interpretasi streetwear moden.
SVG, HDPC dan Against Lab antara jenama tempatan yang boleh diketengahkan dalam perbincangan mengenai perkembangan streetwear tempatan. Menerusi permainan potongan, fabrik dan perincian rekaan, jorts tidak lagi dilihat sebagai helaian bermusim. Malah, sifatnya yang versatil turut menjadikan jorts pilihan merentas jantina, sekali gus memperlihatkan bagaimana fesyen kontemporari semakin terbuka terhadap batasan konvensional dalam berpakaian.

Gambar Instagram @ashrafanuar & @____qodeem____
Pengaruh trend ini turut dapat diperhatikan menerusi figura fesyen dan selebriti tempatan yang menjadikan jorts sebahagian daripada gaya peribadi mereka. Pengasas SVG, Ashraf Anwar serta penyanyi dan penulis lagu seperti Syed Qodeem antara nama yang mempunyai interpretasi streetwear masing-masing. Kehadiran figura seperti mereka bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian cara jorts digayakan, malah menjadi sumber inspirasi kepada Gen Z yang menjadikan fesyen sebagai medium ekspresi diri. Perkongsian gaya melalui media sosial, khususnya menerusi kandungan OOTD, turut mempercepatkan penyebaran trend ini dalam komuniti fesyen tempatan.
Tidak dapat dinafikan, pengaruh fesyen antarabangsa turut memainkan peranan besar dalam membentuk penerimaan jorts sebagai helaian gender-fluid. Figura seperti A$AP Rocky dan Billie Eilish sering memperlihatkan bagaimana denim shorts boleh digayakan tanpa terikat kepada stereotaip gender. Pendekatan mereka yang mengutamakan keselesaan, siluet longgar dan ekspresi personaliti membuktikan bahawa fesyen tidak semestinya memerlukan aturan tertentu. Pengaruh budaya popular ini akhirnya meresap ke dalam komuniti fesyen tempatan, memperlihatkan betapa pantasnya sesuatu trend global diterima, disesuaikan dan diberikan identiti tersendiri oleh generasi muda Malaysia.

Gambar Instagram @billieeilish & @lilbieber
Melangkaui populariti bermusim, kebangkitan jorts mencerminkan perubahan cara lelaki moden melihat fesyen dan identiti peribadi. Daripada helaian denim yang dahulunya dianggap ringkas, kini jorts berkembang menjadi pernyataan gaya yang membawa pengaruh budaya, kreativiti dan keberanian untuk bereksperimen. Barangkali inilah daya tarikan sebenar jorts yang bukan tentang mengikuti trend semata-mata, tetapi bagaimana setiap individu mampu memberikan tafsiran tersendiri kepada helaian yang sama.