Topi bukan lagi sekadar aksesori pelengkap gaya streetwear. Kini, topi mempunyai identiti, sasaran pemakai serta estetika tersendiri yang menjadikannya relevan dalam pelbagai situasi. Daripada kunjungan santai ke pasar hinggalah ke pusat beli-belah, topi semakin menjadi pilihan masyarakat tempatan untuk melengkapkan penampilan harian. Menariknya, setiap jenama hadir dengan interpretasi berbeza, sekali gus membuktikan bahawa aksesori ini mempunyai ruang yang lebih luas dalam dunia fesyen. Berikut lima jenama topi tempatan pilihan ELLE Men Malaysia yang wajar diberi perhatian.
Mengangkat identiti tempatan menerusi rekaan baseball cap yang dihiasi sulaman bermotifkan elemen kebangsaan seperti harimau. Pilihan rekaannya yang pelbagai, daripada permainan grafik hingga perincian sulaman, menyerlahkan karakter yang cukup kuat dan mudah dikenali. Lebih daripada sekadar jenama aksesori, The Cap City turut mempunyai komuniti tersendiri, khususnya dalam kalangan gen Z yang menggemari estetika streetwear serta mengangkat koleksi keluarannya juga memperlihatkan bagaimana topi mampu menjadi simbol ekspresi diri dan rasa kebersamaan.

Koleksi 'KL LEGACY' & 'AGAINST THE WORLD' dari The Cap City
Nama High Cultured pastinya tidak asing lagi dalam landskap streetwear tempatan. Jenama ini turut menawarkan variasi topi yang menggabungkan elemen klasik dengan pendekatan lebih eksperimental. Daripada curved cap hingga flat cap dan snapback, setiap rekaan hadir dengan permainan grafik, corak serta estetika yang cukup ekspresif. Antara yang mencuri perhatian ialah pendekatan kolaborasinya bersama Selangor Red Giants menerusi perincian sulaman kaligrafi yang memberikan sentuhan unik. Dengan harga yang lebih mudah dimiliki, High Cultured menjadi pilihan buat mereka yang gemarkan aksesori berkarakter tanpa perlu berkompromi dengan gaya.

Racing Baseball Cap, Trucker Cap & SRG Classic dari High Cultured
Bagi mereka yang lebih menggemari gaya bersahaja, Pestle & Mortar Clothing dikenali menerusi inspirasi budaya Asia Tenggara, nostalgia dan identiti tempatan, jenama ini turut menterjemahkan DNA rekaannya melalui koleksi aksesori kepala. Berbeza daripada rekaan yang sarat dengan grafik, pilihan topinya tampil lebih minimalis dan bersifat versatil. Pengaruh gaya club hat dan polo cap memberikan sentuhan klasik yang cukup elegan, sekali gus sesuai buat pemakai yang cenderung kepada estetika Barat tanpa mengetepikan akar budaya tempatan.

Koleksi kolaborasi Royal Pahang Polo bersama Pestle & Mortar Clothing
Buat peminat estetika minimalis dan gaya indie, Futuremade Studio atau FTMD. hadir dengan pendekatan rekaan yang lebih bersih serta bersahaja. Identitinya banyak diterjemahkan menerusi siluet praktikal, perincian utilitarian dan pilihan warna neutral yang mudah dipadankan dengan pelbagai helaian. Menariknya, koleksi topi jenama ini turut bermain dengan rona pastel serta kombinasi warna kontras yang memberikan sentuhan lebih lembut dan segar. Tidak terlalu sarat dengan elemen grafik, rekaannya sesuai buat individu yang mengutamakan keselesaan, fungsi dan gaya kontemporari dalam satu penampilan.

9Fifty Retro Crown Cap, Short Brim Cap & 59fifty Retro Crown Cap dari Futuremade Studio (FTMD.)
Tidak terlalu menonjol dalam arus perdana, namun ASAL Lelaki mempunyai karakter tersendiri dalam menawarkan pilihan aksesori kepala. Koleksinya merangkumi rekaan flat cap dan curved cap yang mengangkat pendekatan minimalis menerusi permainan tekstur serta material seperti korduroi. Selain itu, penggunaan corak camouflage dan sulaman bermotifkan elemen menyeronokkan memberikan dimensi berbeza kepada setiap rekaan. Antara perincian yang menarik perhatian ialah penggunaan charm berbentuk inisial ASAL dengan kemasan perak yang menjadi identiti tersendiri jenama ini. Satu sentuhan kecil yang menjadikan topi tampil lebih eksklusif tanpa kelihatan berlebihan.

Koleksi Forest Night, ASAL Cap & ASAL X MOKKYS dari ASAL LELAKI
Banyak jenama tempatan yang tampil dengan interpretasi tersendiri dalam menghasilkan topi. Daripada rekaan yang sarat dengan identiti streetwear hinggalah pendekatan minimalis dan klasik, setiap satunya membuktikan bahawa topi bukan sekadar pelengkap penampilan. Malah, kreativiti jenama tempatan dalam menterjemahkan identiti, budaya dan cita rasa fesyen memperlihatkan bahawa rekaan Malaysia mampu berdiri sebaris dengan jenama antarabangsa.