LANGGAN

Ini Punca Kulit Wajah Lelaki Cepat Menua, Mula Rawat Daripada Sekarang!

Walaupun kulit lelaki secara biologi lebih tebal dan mempunyai kadar kolagen yang lebih tinggi berbanding wanita, tanda-tanda menua tetap tidak dapat dielakkan.
Published: September 9, 2025

Walaupun kulit lelaki secara biologi lebih tebal dan mempunyai kadar kolagen yang lebih tinggi berbanding wanita, tanda-tanda menua tetap tidak dapat dielakkan. Jangan rasa selamat ya, wahai lelaki! Malah, tanpa penjagaan yang betul, kulit wajah lelaki boleh menua lebih cepat daripada yang dijangkakan. Faktor seperti gaya hidup, persekitaran dan rutin penjagaan diri memainkan peranan besar dalam menentukan sejauh mana kulit mampu mengekalkan ketegangan dan keserian. Sudah bersedia?

Sinaran matahari merupakan penyebab utama penuaan pra-matang atau photoaging. Pendedahan berlebihan kepada sinaran UVA dan UVB merosakkan kolagen dan elastin, menyebabkan kulit kehilangan keanjalan, berpigmentasi serta timbul garis halus. Ramai lelaki masih mengabaikan penggunaan pelindung sinar harian, menjadikan kulit lebih cepat menua walaupun pada usia muda. Maka, para lelaki di luar sana, baik anda seorang yang lasak, gemar bersukan atau tidak terlalu aktif, penggunaan pelindung sinar ini amat penting.

Tidur adalah masa tubuh membaiki sel dan menghasilkan hormon penting untuk regenerasi kulit. Apabila tidur terganggu, kulit kelihatan kusam, lingkaran gelap terbentuk dan proses pemulihan menjadi perlahan. Tekanan kronik pula meningkatkan paras kortisol yang mempercepatkan kerosakan kolagen dan mempercepatkan pembentukan kedutan. Yang penting, jangan stress dan jangan sesekali tidur lambat, lagi-lagi jika usia sudah meningkat tua.

Lelaki Cepat Menua

Semua harus tahu dan sematkan di dalam minda, nikotin dalam rokok ini sangat bahaya, ia mampu menyempitkan saluran darah, mengurangkan bekalan oksigen dan nutrien ke kulit. Hasilnya, kulit akan lebih ketara tampak pucat, kusam dan cepat berkedut. Alkohol pula bersifat diuretik, menyebabkan dehidrasi yang menjadikan kulit kering dan lebih mudah menampakkan tanda penuaan. Ingat, kurang-kurangkan gaya hidup tidak sihat ini.

Lelaki Cepat Menua

Ramai lelaki masih menganggap sabun mandi sudah memadai untuk mencuci wajah. Hakikatnya, bahan pencuci yang terlalu keras boleh menanggalkan minyak semula jadi kulit, lalu merosakkan lapisan pelindung (skin barrier). Tanpa rutin asas yang melibatkan pembersih muka khusus, pelembap dan pelindung sinar, kulit lebih terdedah kepada kekeringan, minyak berlebihan dan tanda penuaan awal.

Debu, asap rokok dan pencemaran udara menghasilkan radikal bebas yang merosakkan sel kulit. Kerosakan ini mempercepatkan proses oksidatif yang berkait rapat dengan kehilangan keanjalan dan tekstur tidak sekata. Tanpa pembersihan menyeluruh atau perlindungan antioksidan, kulit akan mudah kelihatan letih dan kusam. Pastikan setiap kali pulang ke rumah selepas seharian di luar, cuci muka dengan bersih dan betul!

Aspek genetik turut mempengaruhi kadar penuaan kulit. Ada lelaki yang secara semula jadi cenderung beruban atau mengalami penipisan rambut lebih awal. Selain itu, perubahan hormon khususnya penurunan testosteron juga boleh menjejaskan ketegangan kulit dan kadar regenerasi sel. Walaupun faktor ini tidak dapat dielakkan, kesannya boleh diminimumkan dengan gaya hidup sihat dan rutin penjagaan yang konsisten.

Penuaan merupakan proses semula jadi, maka anda semua tidak perlu risau. Akan tetapi banyak faktor yang mempercepatkannya boleh kita kawal. Lelaki perlu melihat penjagaan kulit bukan sekadar soal estetika, tetapi juga kesihatan jangka panjang. Dengan rutin asas yang konsisten seperti pembersih, pelembap dan pelindung sinar, ditambah pula dengan gaya hidup sihat, kulit dapat mengekalkan kekuatan, ketahanan dan keremajaan dengan lebih lama. Ingat, kulit tetap akan menua, tetapi memperlambatkan kedutan adalah satu proses yang boleh kita usahakan. Maka, tidaklah kita tua sebelum usia!

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down