
Hanya lapan peratus daripada lautan dunia kini dilindungi, satu angka kecil bagi keluasan biru yang menjadi nadi kepada semua kehidupan di bumi. Namun begitu, lebih 100 negara telah berikrar untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2030. Taruhannya amat besar. Lautan adalah sumber kehidupan planet ini. Ia membekalkan oksigen, menstabilkan iklim, menjadi sumber makanan, menggerakkan ekonomi global serta menyimpan rahsia ubat-ubatan yang masih belum ditemui. Melindungi lautan bererti melindungi diri kita sendiri.
Tiada siapa yang memahami hakikat ini lebih mendalam daripada Dr. Sylvia Earle. Seorang ahli oseanografi, peneroka, penulis dan pendokong pemuliharaan laut. Dia telah mendedikasikan seluruh hidupnya untuk menyingkap misteri dunia bawah air. Dr. Sylvia telah mengetuai lebih daripada 100 ekspedisi, menghabiskan ribuan jam di dasar lautan, dan kekal sebagai salah satu suara paling berpengaruh dalam usaha pemuliharaan marin, enam dekad selepas perjalanan luar biasanya bermula.

Sebagai Rolex Testimonee sejak tahun 1982, minat Dr. Sylvia terhadap lautan bermula sejak zaman kanak-kanaknya di New Jersey. Di halaman belakang rumahnya, dia sering meluangkan masa di tepi kolam kecil, memerhati ikan dan berudu. Rasa ingin tahu yang kelak berkembang menjadi kerjaya saintifik yang membuka jalan baharu. Setelah memperoleh PhD dari Universiti Duke di Amerika Syarikat, dia memulakan penyelidikan perintis terhadap alga laut sebelum menjalankan salah satu misi paling beraninya.
Pada tahun 1970, Dr. Sylvia mengetuai ekspedisi bawah laut selama dua minggu di atas kapal Tektite II di Kepulauan Virgin, Amerika Syarikat. Hidup dan bekerja 50 kaki di bawah permukaan laut, pasukannya mengkaji ekosistem marin serta kesan kehidupan bawah air terhadap tubuh manusia.

Antara pencapaian terbesarnya, Dr. Sylvia menubuhkan Mission Blue pada tahun 2009 selepas memenangi Anugerah TED Prize atas visinya untuk “membangkitkan sokongan awam terhadap rangkaian kawasan perlindungan marin global.” Kawasan ini dikenali sebagai Hope Spots, wilayah penting bagi kesihatan lautan, termasuk Kepulauan Galapagos dan Kepulauan Azores. Melalui Mission Blue, komuniti tempatan diberi kuasa untuk melindungi dan memulihkan ekosistem penting ini.
Dengan sokongan Rolex dan inisiatifnya Perpetual Planet sejak tahun 2014, rangkaian Hope Spots telah berkembang daripada 50 kepada lebih 160 lokasi di seluruh dunia. Inisiatif ini turut menyokong Mission Blue Champions yang teridiri daripada barisan individu dan organisasi yang mengetuai usaha pemuliharaan di perairan masing-masing.

Pada tahun 2022, Rolex meraikan 40 tahun kerjasamanya bersama Dr. Sylvia satu perkongsian yang berpaksikan tujuan bersama dan visi jangka panjang. Kini, ketika dia memasuki dekad kesembilan kehidupannya, suaranya terus memberi inspirasi di seluruh dunia.