Prada Group dan Versace mengumumkan pelantikan Pieter Mulier sebagai Ketua Pegawai Kreatif baharu. Pelantikan ini akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, selepas Dario Vitale yang hanya mempersembahkan satu koleksi untuk Versace. Pelantikan ini juga menandakan permulaan satu bab baharu buat jenama tersebut.

Sepanjang kerjayanya, Mulier telah membentuk estetika yang tersendiri dan menyumbang kepada kejayaan jenama-jenama terkemuka seperti Raf Simons, Jil Sander, Dior dan Calvin Klein. Dan kini Alaïa, di mana beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Kreatif. Pieter akan melapor kepada Pengerusi Eksekutif Versace, Lorenzo Bertelli.
“Ketika kami mempertimbangkan pengambilalihan Versace, kami mengenal pasti Pieter Mulier sebagai individu yang tepat untuk jenama ini. Kami percaya dia mampu membuka sepenuhnya potensi Versace dan menjalinkan dialog yang bermakna dengan warisan kukuh jenama ini. Kami teruja untuk memulakan perjalanan ini bersama-sama,” kata Lorenzo Bertelli.
Selepas mengikuti pengajian dalam bidang reka bentuk dan seni bina, Pieter Mulier telah dipilih oleh Raf Simons untuk bekerjasama dengannya di Jil Sander. Di sana, dia berkhidmat sebagai Ketua Aksesori, Kasut dan Beg, sebelum dilantik sebagai Pengarah Reka Bentuk di Christian Dior. Dia kemudiannya menjadi Pengarah Kreatif Global di Calvin Klein, sebelum dilantik sebagai Pengarah Kreatif Maison ALAÏA.