
Pelaburan ideal tahun ini? Bertolak daripada pertunjukan Versace Musim Bunga/Panas 2026 yang dikepalai oleh Dario Vitale (sebelum dia berundur), pernyataan konkrit yang menjentik lingkungan tanggap kita adalah, “This is the staple. A must-have!” Apa yang melewati pentas peragaan Versace ketika itu – sniker yang mereplikakan rekaan corak asas Onitsuka Tiger, yang mencungkil permintaan keterangan. Ya, benar. Ia adalah rangkaian kolaborasi Onitsuka Tiger x Versace!
Menerusi lensa ideologi Versace dalam menterjemahkan kolaborasi ini, “Penjelmaan terbentuk dalam bentuk serta tenaga, meraikan pergerakan badani.” Rangkaian ini memperlihatkan daya inovasi sniker Tai-Chi Sakura dan dikatakan memenuhi segala ‘leksikon’ yang menggambarkan item fesyen terhangat masa kini.

Pertembungan dua aspek seperti logo Medusa bersebati dengan siluet slim sniker Tai-Chi Sakura bukan sekadarkan cuma mengahwinkan kedinamikan antara inventif Versace dan warisan yang bersimpan dalam ‘gedung sejarah’ Onitsuka Tiger. Ia malah diolah melalui kurasi pemilihan material Italian secara teliti dan proses pembuatannya dihasilkan oleh tukang mahir yang memberi perhatian kepada kualiti kraftangan.
Berlanjutan daripada bicara tentang pembuatan Onitsuka Tiger x Versace ini, penghasilan kasut ini dibuat di Onitsuka Innovative Factory yang berlokasi di Tottori, di rantau Sanin, Jepun. Kecirian ketara dalam ciptaan ini adalah jahitan berganda pada motif jalur Onitsuka Tiger dan mengekalkan simbol Medusa dan butiran stud pada bahagian lidah kasut. Bahagian upper digarap menggunakan teknik gilapan bagi menghidupkan tekstur vintaj.
Kempen kolaborasi ini memvisualkan kedualan penyatuan tubuh dengan minda. Onitsuka Tiger x Versace bekerjasama dengan Frank Lebon, merakam tenaga kuat yang menyelami ekspresi pergerakan dan kekuatan fizikal pada warisan Onitsuka Tiger serta Versace.
Kempen ini menampilkan Tai-Chi Sakura yang disuntik tafsiran baharu, sebagai ‘watak utama’ dan memperlihatkan sebarisan model ‘melentur’ jasmani, meligatkan aksi untuk menayangkan tema “body in motion.”