
Daripada jenama underground ke kedai yang telah pun sinonim dengan komuniti sukan papan luncur atau skateboard, budaya skateboard di Malaysia semakin berkembang dengan adanya ruang-ruang perniagaan milik sendiri ini. Kedai-kedai atau skateshop ini bukan sahaja menjual peralatan papan luncur tapi juga menjadi titik pertemuan komuniti skateboard di Malaysia.
Ditubuhkan pada tahun 2009, Wheel Love Skateshop menawarkan seleksi skateboard, inline skates, scooter serta pakaian skate, semuanya dipilih susun oleh ahli-ahli komuniti sukan papan luncur sendiri. Namun ruang di Bangsar ini bukan sekadar kedai sahaja tetapi telah pun membina reputasi sebagai pengasuh ramai pemain papan luncur dengan mengadakan pelbagai bengkel untuk beginner dan juga suasana yang menjemput pemain papan luncur dari segala tahap kemahiran. Pendekatan ini dicerminkan dalam falsafah #AllSkateNoHate mereka.
Beroperasi di Berjaya Time Square sejak tahun 1999, Zone 5 Skateshop merupakan antara kedai peralatan papan luncur yang paling lama beroperasi di Malaysia. Kedai ini menjadi antara tempat asas untuk mencari barangan untuk setup skateboard dan juga apparel sukan papan luncur. Bertempat di pusat bandar Kuala Lumpur, kedai ini senang dicapai menjadikannya perhentian pilihan ramai. Daripada beginner ke skater lama, Zone 5 terus berkekalan menjadi ruang penting dalam sejarah komuniti skateboard tempatan.
Antara nama baharu dalam komuniti skateboard tempatan adalah Burrow Skateshop. Diasaskan oleh seoarang skater sendiri, kedai ini dipenuhi dengan barangan niche. Keunikan barangan papan luncur di kedai ini hanya boleh dihargai oleh peminat tegar sukan papan luncur, menetapkan tempatnya dalam komuniti ini. Kedai ini telahpun berpindah dan kini beroperasi di Semua House, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Tersorok dibelakang Berjaya Time Square dan bertempat di Pudu, Showroom Kuala Lumpur cukup sinonim dengan komuniti skateboard tempatan. Kedai ini mengangkat semangat DIY yang kuat, segar dan bebas, selari dengan budaya skate sebenar. Selain menjual barangan papan luncur, Showroom Kuala Lumpur juga berkait rapat dengan video skate, jenama independen dan komuniti kreatif tempatan. Lokasinya yang tersembunyi juga memberikan aura penuh misteri kepada ruang itu, if you know, you know.
Berpusat di Taman Permata, Shipwreck Skateboards menawarkan pengalaman skate shop yang lebih intim dengan pilihan deck, hardware dan apparel untuk komuniti skate tempatan. Selain beroperasi sebagai kedai independen, mereka juga aktif menganjurkan event dan pertandingan skate di seluruh Malaysia. Peranan ini menjadikan Shipwreck Skateboards lebih daripada ruang membeli-belah, tetapi juga penggerak budaya skate tempatan.