LANGGAN

Apple Memperkasa Sektor Kesihatan Dengan Digitalisasi

Teknologi Apple mengutamakan mobiliti, prestasi dan inovasi keselamatan data.
Published: July 1, 2026

Perkembangan teknologi hari ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh pelbagai sektor di dunia termasuklah kepada sistem penjagaan kesihatan moden. Bermula daripada hal urusan pengrekodan pesakit sehinggalah analisis imej diagnostik dan kolaborasi antara pakar perubatan. Penggunaan peranti pintar kini berpotensi mempercepatkan proses membuat keputusan serta meningkatkan kecekapan operasi di hospital dan klinik.

Menerusi satu sesi perkongsian khas yang diadakan di Singapura minggu lalu, Apple berkongsi mengenai ekosistemnya untuk dimanfaatkan oleh institusi kesihatan. Fokus utama sesi perkongsian ini juga untuk memperkenalkan barisan pembangun aplikasi yang menyokong dengan lebih lagi tugasan klinikal harian. 

Pendekatan Apple ini untuk memperlihatkan kelebihan gabungan perkakasan, perisian dan aplikasi khusus dalam menghasilkan penyelesaian praktikal kepada para petugas kesihatan termasuk pesakit sendiri.

Mobiliti Dan Prestasi Peranti

Sesi perkongsian ini dimulakan dengan menerangkan solusi isu mobiliti. Melalui penggunaan iPhone dan iPad, petugas kesihatan dapat mengakses maklumat pesakit, menyemak rekod perubatan, berkomunikasi dengan pasukan lain dalam atau luar organisasi dengan lebih cepat. Seterusnya dapat menjalankan penilaian klinikal tanpa perlu bergantung kepada satu stesen kerja tetap. Keupayaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membolehkan rawatan diberikan dengan lebih pantas, khususnya dalam situasi yang memerlukan tindakan segera.

Selanjutnya, pada masa yang sama Apple turut menekankan kelebihan perkakasannya dalam menyokong tugasan klinikal yang memerlukan ketepatan visual. Kamera beresolusi tinggi pada iPhone dan iPad membolehkan doktor merakam imej seperti luka pesakit serta video berkualiti tinggi untuk tujuan dokumentasi dan analisis menerusi aplikasi pihak ketiga.

Bagi tugasan yang lebih kompleks, paparan Liquid Retina XDR pada MacBook Pro pula menawarkan ketumpatan piksel yang lebih tinggi. Ini sekali gus membantu pakar perubatan meneliti imej diagnostik dengan sangat terperinci.

Prestasi cip Apple Silicon turut menjadi antara faktor yang memperkukuhkan bersama pengalaman penggunaan di sektor kesihatan. Keupayaan pemprosesannya membolehkan aplikasi profesional menjalankan analisis data serta pemprosesan kecerdasan buatan (AI) secara terus pada peranti. Pendekatan on-device processing ini bukan sahaja meningkatkan lagi prestasi kerja malah mengurangkan kebergantungan kepada pelayan awan bagi tugasan khas tertentu.

Ekosistem Yang Terus Memacu Inovasi

Seterusnya dalam industri yang mengendalikan pelbagai maklumat sensitif, aspek privasi dan keselamatan data kekal tetap menjadi teras keutamaan Apple. Mereka menjelaskan bahawa ciri keselamatan dibangunkan secara menyeluruh pada peringkat perkakasan dan perisian termasuk keupayaan pemprosesan AI secara on-device. Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko pendedahan data pesakit, di samping menyokong pematuhan terhadap piawaian keselamatan maklumat dalam sektor penjagaan kesihatan.

Selain pembangunan teknologi, inovasi Apple ini turut dipacu kerjasama berterusan dengan komuniti pembangun aplikasi. Apple menyediakan pelbagai API (Application Programming Interface) dan rangka kerja pembangunan yang membolehkan syarikat perisian menghasilkan aplikasi khusus mengikut keperluan institusi kesihatan. Penyelesaian ini jelas merangkumi pengurusan asas aliran kerja klinikal, analisis imej perubatan, dokumentasi digital serta komunikasi antara pasukan perubatan.

Perkongsian bersama institusi besar seperti SingHealth dan beberapa pembangun aplikasi juga turut memperlihatkan usaha Apple menggabungjalinkan kemajuan teknologi untuk disesuaikan dengan cabaran di lapangan. Dengan pemanfaatan setiap keupayaan perkakasan Apple serta integrasi perisian yang serba mantap, pelbagai penyelesaian berjaya dibangunkan bagi meningkatkan produktiviti petugas kesihatan. Dalam masa sama, aliran kerja lebih diperkemaskan dan seterusnya menyokong penyampaian rawatan yang lebih cekap kepada pesakit.

Seiring perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan, penggunaan peranti pintar dalam sektor penjagaan kesihatan dijangka terus berkembang. Gabungan inovasi perkakasan, perlindungan privasi dan ekosistem aplikasi yang komprehensif berpotensi membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi. Fokus utama membangun teknologi yang berterusan daripada Apple sudah tentunya akan dapat memperkasa petugas kesihatan dan mempertingkatkan lagi kualiti penjagaan pesakit pada masa hadapan. 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down