Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur menjadi lokasi pilihan Tannin Hill untuk memperkenalkan pengalaman menikmati hidangan teh yang lebih istimewa dan bermakna.
Berinspirasikan laluan perdagangan Selat Melaka, jenama ini mengangkat kisah perjalanan teh yang dipengaruhi pertembungan budaya agung Melayu, Cina dan India. Ia turut mengiktiraf legasi sejarah yang membentuk identiti Malaysia hari ini.

Lebih sebagai sebuah kafe untuk menikmati secawan teh, setiap kunjungan tetamunya disusuli sebuah pengalaman yang menghubungkan sejarah dengan kehidupan kontemporari. Melalui pendekatan yang menggabungkan penceritaan, seni penyediaan teh dan padanan hidangan, Tannin Hill cuba menghidupkan semula budaya minum teh dalam bentuk lebih moden dan relevan.

Aspek penyediaan menu teh menjadi nadi kepada pengalaman di Tannin Hill menerusi penggunaan TEASPEC Easy Brew System. Satu sistem yang memastikan setiap cawan diseduh dengan sukatan daun teh yang tepat. Suhu juga optimum antara 85 hingga 100 darjah Celsius serta perkakasan khas termasuk TEASPEC Lazy Pour Teapot. Hasilnya terhidang seduhan yang konsisten, seimbang dan menyerlahkan karakter sebenar daun teh.
Falsafah Tannin Hill dibina berasaskan tiga prinsip utama yakni Experience, Pairing dan Mastery. Pengalaman menikmati teh diterjemahkan melalui keseimbangan aroma, tekstur dan rasa, manakala seni padanan teh dengan makanan diraikan sebagaimana seorang sommelier menghargai wain. Pada masa sama, ketelitian dalam setiap proses penyediaan memastikan setiap sajian memenuhi standard yang sama. Ini sekali gus memperkukuhkan aspirasi Tannin Hill sebagai antara jenama yang membawa warisan teh Malaysia ke pentas yang lebih luas.

Kini dibuka di Pejabat Pos Besar Lama Kuala Lumpur, Tannin Hill menawarkan sebuah destinasi baharu buat mereka yang menghargai secawan teh. Ia bukan hanya kafe minuman biasa tetapi sebagai pengalaman yang meraikan sejarah, budaya dan seni hospitaliti Malaysia.