Dunia gastronomi kita sentiasa meraikan cita rasa, kreativiti dan pengalaman makan yang eksklusif. Bersama Nobu Kuala Lumpur, idea itu ternyata diinterpretasikan dengan pelantikan Chef Mauro Baldari sebagai Ketua Chef Eksekutif. Berbekalkan pengalaman merentas negara serta perjalanan kerjaya bersama rangkaian Nobu, dia membawa pendekatan yang menggabungkan kemahiran memasak teknikal, pemahaman budaya dan layanan hospitaliti yang teliti.
Kerjayanya bermula di Itali, perjalanan kulinari Chef Mauro berkembang ke London dan Dubai. Setersunya memperkenalkannya kepada pelbagai budaya serta pengaruh gastronomi yang membentuk gaya kepimpinan dan pendekatannya terhadap penciptaan menu makanan. Pengalaman tersebut kemudiannya diteruskan bersama Nobu Dubai sebelum dia akhirnya menyertai Nobu Doha. Di sanalah tempat dia memperdalam lagi pemahaman terhadap falsafah masakan Jepun-Peru yang menjadi identiti restoran berkenaan.

Sepanjang tempohnya di Doha, restoran tersebut terpilih dalam MICHELIN Guide selama dua tahun berturut-turut. Selain menerima beberapa pengiktirafan, termasuk Best Brunch in the City, Best Japanese Restaurant dan Best Ladies’ Night. Pencapaian ini mencerminkan kepentingan kerjasama pasukan, konsistensi serta komitmen terhadap pengalaman pelanggan yang menyeluruh.
Di Kuala Lumpur, Chef Mauro membawa pengalaman tersebut untuk sebuah persekitaran kulinari yang kaya dengan kepelbagaian budaya. Pendekatannya bukan sekadar mengekalkan standard jenama Nobu, malah turut memberi ruang kepada pertukaran idea dan pemahaman terhadap cita rasa tempatan.

Ketibaan Chef Mauro turut bertepatan dengan kunjungan semula Chef Hervé Courtot, Chef Korporat Nobu ke Kuala Lumpur dari 10 hingga 14 Oktober 2026. Pertemuan silang kepakaran ini menghimpunkan pengalaman dan kebolehan dua figura kulinari yang berkongsi pemahaman terhadap falsafah Nobu. Ia sekali gus memperlihatkan kesinambungan identiti jenama tersebut merentas destinasi antarabangsa.
Sempena kunjungan itu, Signature Osusume hasil sentuhan Chef Hervé Courtot turut ditawarkan di Nobu Kuala Lumpur. Terhad bermula dari 10 hingga 31 Oktober 2026 sahaja. Pilihan istimewa untuk tempoh semasa ini menampilkan pendekatan beliau terhadap keseimbangan rasa, tekstur dan teknik memasak. Dalam masa sama memberikan dimensi baharu kepada pengalaman menjamu selera sepanjang Oktober.

Di sebalik acara istimewa tersebut, Nobu Kuala Lumpur terus menawarkan pengalaman gastronomi yang sesuai dinikmati pada pelbagai waktu. Sajian tengah hari ditawarkan dalam suasana sofistikated, ideal untuk pertemuan perniagaan, makan santai atau pertemuan bersama kenalan. Menjelang malam, latar langit Kuala Lumpur memberikan suasana berbeza untuk menikmati pilihan sushi, koktel dan hidangan ikonik restoran ini.
Keistimewaan Nobu sudah tentu terletak pada gabungan teknik masakan Jepun dengan pengaruh Peru, disokong pemilihan bahan berkualiti dan layanan yang memberi perhatian kepada setiap perincian. Gabungan ini menjadikan pengalaman menjamu selera di sini tidak hanya tentang hidangan tetapi juga suasana dan cara setiap elemen masakan disatukan.



Di bawah kepimpinan Chef Mauro, Nobu Kuala Lumpur sudah tentunya meneruskan tradisi tersebut sambil membuka ruang kepada perspektif baharu untuk semua pelanggan. Sama ada untuk makan tengah hari yang panjang atau makan malam berlatarbelakangkan panorama kota, setiap kunjungan menawarkan peluang untuk menikmati menu kulinari dalam suasana yang mewah dan tersendiri.