Setiap barangan mempunyai jangka hayat tersendiri, namun itu tidak bermakna nilainya berakhir apabila tidak lagi digunakan. Menerusi pendekatan yang menggabungkan kelestarian dan tanggungjawab sosial, Samsonite memperkenalkan inisiatif terbaru dengan mengubah bagasi terpakai menjadi perabot khas untuk kanak-kanak di Yayasan Chow Kit (YCK).
Sebagai jenama global, usaha ini meneruskan komitmen Samsonite terhadap kelestarian alam sekitar dan sokongan kepada komuniti setempat. Lebih daripada sekadar mengurangkan sisa, inisiatif ini memperlihatkan bagaimana bahan terpakai mampu diberi fungsi baru yang membawa manfaat kepada kehidupan orang lain.

Bekerjasama dengan Precious Plastic, sebuah inovator tempatan dalam bidang kitar semula plastik lestari. Komponen terpilih daripada bagasi terpakai dikitar semula menjadi perabot berwarna-warni yang direka khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak di YCK.

Sebanyak 90 buah bagasi yang dikumpulkan menerusi kempen Luggage Trade-In Samsonite berjaya ditransformasikan menjadi 10 set perabot unik. Antaranya termasuk tiga meja lipat, enam set kerusi boleh tindan dan sebuah set catur.
Menariknya, meja lipat ini bukan sekadar berfungsi sebagai ruang untuk aktiviti harian. Apabila tidak digunakan, meja tersebut boleh dipamerkan sebagai karya seni berbingkai. Gabungan fungsi dan kreativiti ini menjadikan setiap hasil transformasi lebih daripada sekadar perabot.

Menjadikan inisiatif ini lebih dekat dengan komuniti yang menerima manfaatnya, YCK turut diberi peluang untuk menghasilkan salah satu karya seni bagi projek tersebut. Diberi nama Tree of Hope, karya ini mencerminkan aspirasi, pengalaman dan harapan anak-anak terhadap masa depan mereka.
Tema tersebut turut membawa makna tersendiri buat pusat berkenaan. Ia juga menjadi peringatan tentang peranan YCK dalam menyediakan sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan. Kehadiran karya ini bukan sahaja menceriakan ruang, malah memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengekspresikan diri melalui kreativiti.
Bagi Samsonite, kolaborasi ini membuktikan bahawa amalan kelestarian boleh diterjemahkan melalui penyelesaian kreatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menerusi kenyataan jenama itu, Samsonite menyatakan harapan agar perabot yang dihasilkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak YCK, di samping memupuk penghargaan terhadap amalan lestari sejak usia muda.

Sementara itu, pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Dato’ Dr Hartini Zainudin, menyatakan penghargaan atas kreativiti dan kemurahan hati Samsonite dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Menurut beliau, usaha ini bukan sahaja mengetengahkan kepentingan kelestarian, malah menunjukkan bagaimana kerjasama yang dirancang dengan teliti mampu menghasilkan impak bermakna dan berpanjangan. Perabot yang dihasilkan juga membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk anak-anak di YCK.